Ibu kepada dua orang anak yang dikenali sebagai ‘Dinahnahnah’ di Threads menjadi tular selepas berkongsi pengalamannya di cawangan Paparch di Arab Street, sebuah jenama tempatan yang terkenal dengan hidangan Basque Burnt Cheesecake.

Menurutnya, beliau diminta membayar $4.90 selepas salah seorang anaknya secara tidak sengaja menyentuh kek keju yang dipamerkan sehingga menyebabkan ia lekuk.

Dalam perkongsiannya, beliau sedang memilih perisa yang ingin dibeli sebelum seorang kakitangan memaklumkan bahawa beliau perlu membayar ganti rugi bagi kek pameran yang rosak.

“Saya tidak memberi perhatian kepada anak-anak kerana terlalu fokus memilih kek. Tiba-tiba seorang kakitangan datang memberitahu bahawa saya perlu membayar ganti rugi kerana kek pameran itu sudah kemek,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Baginya, kejadian tersebut turut menjejas perasaannya kerana ia berlaku pada hari lahirnya sendiri.

Meskipun beliau akui terdapat label kecil bertulis ‘Do Not Disturb’ (Jangan Sentuh), beliau berpendapat anaknya masih terlalu kecil untuk membaca dan memahami peraturan tersebut.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kek pameran berkenaan dibiarkan terdedah tanpa sebarang penutup.

Namun, beliau diberitahu bahawa cadangan untuk menutup kek pameran pernah disampaikan kepada pihak pengurusan, namun tiada perubahan dibuat.

Cik Dinah menjelaskan bahawa perkongsiannya bukan bertujuan memburukkan nama Paparch, malah mengakui menyukai kek yang dijual di sana.

“Mereka memang menjual kek yang sedap dan saya menyukainya. Saya cuma berharap ibu bapa lain tidak mengulangi kesilapan saya yang terlalu fokus memilih kek sehingga terlepas pandang anak-anak.

“Saya juga tidak sedar terdapat kek pameran yang mudah rosak diletakkan pada paras yang mudah dicapai kanak-kanak di sudut lain dalam kedai,” katanya.

Sebaliknya, beliau berharap pengalaman itu dapat menjadi peringatan kepada ibu bapa dan pada masa sama menggesa premis tersebut mengambil langkah lebih proaktif, seperti meletakkan penutup pada kek pameran.

Cik Dinah turut memuat naik foto tangkap layar perbualannya dengan pihak Paparch menerusi Instagram, yang menunjukkan syarikat itu menawarkan untuk memulangkan semula bayaran $4.90 sebagai tanda muhibah.

“Kami amat kesal mendengar pengalaman anda, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku pada hari lahir anda...

“Kami ingin memulangkan semula bayaran sebanyak $4.90 sebagai tanda muhibah,” menurut mesej yang dihantar oleh Paparch.

Hantaran yang dimuat naik Cik Dinah turut disertai dengan kapsyen:

“Isunya bukan tentang $4.90. Jumlah itu pun tidak cukup untuk membeli hidangan lengkap di Singapura.

“Apa yang lebih penting ialah langkah pencegahan kerana saya yakin akan ada lagi kanak-kanak yang menyentuh kek pameran itu pada masa akan datang.”

Dalam perbualan mereka di Instagram, beliau enggan menerima balik wangnya kerana ingin bertanggungjawab atas perbuatan anaknya.

Sebaliknya, Cik Dinah turut menyarankan beberapa cadangan termasuk memastikan kek pameran diletakkan di lokasi yang lebih sukar dicapai atau dilindungi dengan penutup.

Beliau turut berpendapat kakitangan yang menyedari anak-anaknya berada berhampiran kawasan pameran boleh memberikan peringatan lebih awal kepada ibu bapa bagi mengelakkan kejadian tersebut.

Perkongsian tersebut turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Ada yang berpendapat ibu bapa bertanggungjawab mengawasi anak-anak mereka ketika berada di tempat awam serta mengajar mereka supaya tidak menyentuh barangan pameran.

Pengguna nama ‘ja66athehutt’ berkata:

“Belajarlah menjadi ibu bapa yang lebih baik. Didikan yang baik sepatutnya mengajar anak supaya tidak sewenang-wenangnya menyentuh atau mengambil barang yang bukan milik mereka tanpa kebenaran.

“Tetapi apa yang anda lakukan di sini hanya mendedahkan kelemahan cara anda mendidik anak.”

Namun, tidak kurang juga yang berasakan Paparch sepatutnya mengambil langkah pencegahan, lebih-lebih lagi jika isu tersebut dikatakan telah dibangkitkan oleh kakitangan sebelum ini.

Pengguna nama ‘nanozee’ berkata:

“Dalam kebanyakan situasi, saya akan menyalahkan ibu bapa kerana tak mampu kawal anak, namun dalam kes ini premis berkenaan juga perlu memikul tanggungjawab kerana tidak mengambil langkah yang mencukupi untuk mengelakkan kejadian tersebut.”

Ada juga yang berpendapat bukan kanak-kanak sahaja, malah orang dewasa juga kadangkala cenderung menyentuh barangan kerana rasa ingin tahu, sekali gus menyifatkan situasi itu sebagai tanggungjawab bersama antara pelanggan dan premis.

Antaranya ialah pengguna nama ‘realisticsoul’:

“Saya sering mengingatkan anak-anak saya yang berusia lapan dan 11 tahun supaya hanya melihat dan jangan menyentuh, tetapi mereka kadangkala tetap terlupa.

“Kadang-kadang orang dewasa sendiri ada yang gagal untuk menahan diri dari menyentuh barang-barang pameran, apatah lagi kanak-kanak?”