Haji Kadir agih bubur daging Ramadan, resipi isteri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Haji Kadir agih bubur daging Ramadan, resipi isteri

Feb 20, 2026 | 5:55 PM

Haji Kadir agih bubur daging Ramadan, resipi isteri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Isteri pemilik Haji Kadir Foods Pte Ltd, Cik Nazima Begam, masak bubur daging resipi khas, untuk diagihkan sepanjang Ramadan di cawangan Lavender dan Tampines.
Isteri pemilik Haji Kadir Foods Pte Ltd, Cik Nazima Begam, masak bubur daging resipi khas, untuk diagihkan sepanjang Ramadan di cawangan Lavender dan Tampines. - Foto ihsan HAJI KADIR FOODS PTE LTD

Kedai Haji Kadir mungkin sudah cukup sinonim dengan hidangan sup tulang merah, namun menjelang Ramadan ini, aroma bubur daging pula bakal menyelubungi cawangan mereka di Lavender dan Tampines.

Bagi pemilik generasi kedua Haji Kadir Foods Pte Ltd, Encik Mohamed Iqbal Abdul Kadir, 64 tahun, juadah berbuka puasa yang diagihkan secara percuma itu membawa nilai yang sangat peribadi kerana ia merupakan hasil air tangan isterinya sendiri.

Beliau sangat teliti dalam memastikan mutu rasa yang terbaik buat masyarakat, malah mengakui cita rasa isterinya, Cik Nazima Begam, sukar ditandingi oleh pilihan di luar sana.

View post on TikTok

“Bubur kami memang sangat istimewa. Malah bubur di luar pun saya tak makan, saya hanya makan bubur (masakan isteri) saya sendiri,” ujar Encik Iqbal.

Menurut beliau, resipi tersebut menggunakan bahan-bahan yang memberikan rasa unik. “Isteri saya letak bawang putih, cili dan daging kambing. Rasanya sangat berperisa. Dia juga letak kacang kuda,” jelas beliau lagi mengenai tekstur bubur yang berlemak dan katanya cukup mengenyangkan.

Tahun ini merupakan tahun keenam kedai itu mengagihkan bubur pada Ramadan, sejak pembukaan cawangannya di Lavender.

Meskipun tradisi ini sudah lama diamalkan, ini merupakan kali pertama keluarga itu menggunakan media sosial untuk menghebahkan agihan tersebut.

“Setiap tahun kami tak pernah buat iklan. Hanya pelanggan tetap sahaja yang tahu. Tapi tahun ini anak saya fikir mungkin lebih ramai orang boleh datang ambil, jadi dia buat video di TikTok,” kata beliau.

Agihan bubur Ramadan bermula pada sekitar 4 petang. Cik Nazima mengagihkan bubur pada hari pertama berpuasa pada 19 Februari.
Agihan bubur Ramadan bermula pada sekitar 4 petang. Cik Nazima mengagihkan bubur pada hari pertama berpuasa pada 19 Februari. - Foto ihsan HAJI KADIR FOODS PTE LTD

Video TikTok itu dimuat naikkan ke TikTok pada 16 Februari dengan kapsyen: “Bubur puasa percuma untuk 30 hari berturut-turut! Kami mungkin terlalu awal untuk Raya tetapi tepat masanya untuk Ramadan.

“Jemput datang ke Haji Kadir untuk dapatkan bubur percuma anda (selagi stok masih ada!). Komen di bawah pakej Raya apa yang anda ingin kami sediakan.”

Lazimnya, kedua-dua cawangan yang mengagihkan bubur Ramadan memasak satu periuk, sekitar 50 paket bubur.

Tetapi Encik Iqbal akur akan melihat juga jika agihan menjadi popular, beliau akan menambah jumlah bubur yang dimasak.

Langkah mempromosikan tradisi yang sudah masuk tahun keenam ini ternyata menarik minat netizen.

Antara maklum balas yang diterima termasuk cadangan daripada pelanggan yang mahukan promosi khusus untuk hidangan kegemaran mereka.

“Saya ada nampak orang komen minta promosi Tulang Merah. Itu idea yang bagus juga, kami boleh pertimbangkan beri percuma satu atau dua tulang jika mereka beli jumlah tertentu,” kongsi Encik Iqbal sambil tertawa.

Menurut Encik Iqbal, kedainya juga menyediakan juadah berbuka bagi masjid-masjid tempatan. Antaranya ialah Masjid Malabar, di mana mereka telah menyediakan hidangan set bento untuk hidangan iftar selama tiga tahun berturut-turut.

Niat Encik Iqbal mengagihkan bubur kekal sama iaitu untuk bersedekah.

“Ini adalah satu bentuk amal jariah yang kami berikan kepada orang ramai untuk berbuka puasa. Apa sahaja yang kami sumbangkan, Allah akan berikan ganjaran seperti pahala orang yang berpuasa,” tambah beliau lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg