Warga emas S’pura hilang di KL belum dijumpa selepas 4 hari
Warga emas S’pura hilang di KL belum dijumpa selepas 4 hari
Sudah masuk hari keempat sejak warga emas Singapura, Encik Halim Yunos, 76 tahun, dilaporkan hilang di Kuala Lumpur sejak malam 7 Februari.
Menantunya, Encik Ridzwan Rahmat, 40 tahun, berkata bahawa keluarganya kini mengharapkan kebersamaan warga Malaysia dan warganet media sosial untuk menjadi mata dan telinga dalam usaha mencari bapa mentuanya, kongsinya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
“Kami amat memerlukan bantuan dari segi penyebaran maklumat yang meluas.
“Jika ada mana-mana komuniti di Facebook atau kumpulan WhatsApp penduduk di sekitar Kuala Lumpur, mohon kongsikan wajah bapa mentua saya.
“Setiap perkongsian anda amat bermakna buat kami sekeluarga pada saat ini,” kata Encik Ridzwan yang kini di Kuala Lumpur dalam membantu usaha pencarian pada 11 Februari.
Encik Halim disahkan menghidap demensia ringan sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Encik Ridzwan, bapa mentuanya itu seorang yang tidak banyak bercakap dan berkemungkinan besar akan menjauhkan diri jika didekati oleh individu yang tidak dikenali.
“Beliau seorang yang pendiam dan tidak akan memulakan perbualan dengan orang asing. Berikutan keadaannya, beliau mungkin kelihatan keliru atau mengalami halusinasi. Kadang-kadang dia seperti sedang ditemani oleh seorang rakan imaginasi,” jelas Encik Ridzwan, bapa kepada dua anak.
BH juga difahamkan Encik Halim tidak membawa telefon bimbit. Walaupun dompetnya dipercayai ada bersama, pasport dan barangan peribadi lain masih berada bersama keluarganya.
Ahli keluarga Encik Halim – termasuk isterinya, serta anak tunggalnya dan menantu, Encik Ridzwan, serta dua cucunya – kini berusaha untuk kekal positif walaupun keresahan kian memuncak.
Menjelaskan kronologi apa yang berlaku, Encik Ridzwan menceritakan bahawa mereka sekeluarga telah ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, 6 Februari, bagi menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka, dan telah merancang untuk pulang ke Singapura pada 8 Februari.
Menurutnya, selepas pulang daripada majlis tersebut pada malam Sabtu, mereka sekeluarga sempat membawa Encik Halim bersiar-siar di sekitar kawasan estet perumahan itu untuk mengambil udara segar sebelum kembali ke unit penginapan sementara itu di Anggun Residence terletak di 8 Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur.
“Beliau keluar tanpa ada sesiapa pun yang perasan. Kami hanya menyedari kehilangan beliau selepas satu tempoh masa yang agak lama,” katanya.
BH juga difahamkan semakan rakaman kamera litar tertutup di kawasan berkenaan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggalkan estet penginapan itu.
Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dalam satu kenyataan mengesahkan telah dimaklumkan mengenai laporan Kes Orang Hilang Warganegara Singapura pada 8 Februari 20206, sekitar 11.20 pagi.
Selain butiran mengenai pakaian terakhirnya iaitu baju warna hijau muda bercorak batik dan seluar panjang coklat, pihak polis turut memaklumkan ciri-ciri fizikal mangsa yang mempunyai ketinggian 164 sentimeter dan berat badan sekitar 58 kilogram.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi memohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan Orang Hilang (OH).
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat bolehlah menghubungi Balai Polis Dang Wangi di talian 03-26002264 atau Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Sazalee Hj Adam pada 10 Februari.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menjumpai individu dengan ciri-ciri tersebut diminta menghubungi Encik Ridzwan di talian +65 9487 7672 atau melaporkan ke balai polis berhampiran dengan segera.

