Hasrat Muhammad Rauf Hidayat untuk mendalami ilmu ukhrawi sepanjang tempoh pengajiannya di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTI) tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia pada usia 16 tahun.

Allahyarham dikenali guru dan rakannya sebagai seorang pelajar yang memiliki kekuatan dan difahamkan berhasrat menyambung pembelajaran ukhrawi dan menghafal Al-Quran.

Menurut pengetua MWTI, Cik Masnia Nassim, arwah Rauf menunjukkan ketabahan yang luar biasa meskipun menghidap penyakit jantung kongenital yang jarang berlaku sejak kecil.

“Rauf diterima masuk ke MWTI selepas berjaya melepasi Ujian Kemasukan Madrasah (MET), walaupun ketika itu dia sudah menghidap penyakit tersebut.

“Sejak hari pertama persekolahan, kami sedar dia memerlukan sokongan khas bagi membolehkannya mengikuti pembelajaran dengan selesa,” kata Cik Masnia, 63 tahun.

Pada 18 Julai, MWTI mengesahkan pemergian arwah Rauf menerusi hantaran di akaun Facebook sekolah itu.

Cik Masnia berkata pihak sekolah menyediakan pelbagai sokongan termasuk bantuan rakan sekelas, penempatan kelas di lokasi yang mudah diakses menggunakan lif, serta pengecualian daripada aktiviti yang memerlukan tenaga fizikal.

Tambahnya, walaupun berdepan cabaran kesihatan, Allahyarham Rauf menunjukkan prestasi akademik yang membanggakan, khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Arab dan berjaya mengikuti kurikulum dwi aliran madrasah selama hampir 10 tahun.

Bagaimanapun ketika membuat persiapan menghadapi peperiksaan GCE peringkat ‘N’ pada awal 2026, Cik Masnia berkata arwah semakin lemah sehingga pihak sekolah menasihatinya supaya berehat di rumah.

“Rauf seorang yang pendiam, tenang dan sangat tabah. Hubungannya dengan guru-guru serta rakan-rakan juga sangat baik, manakala ibu bapanya sentiasa memberi kerjasama erat kepada pihak sekolah dalam memastikan kebajikan dan pembelajarannya terpelihara,” ujar Cik Masnia.

Sebelum ini, keluarga Allahyarham melancarkan kutipan dana menerusi wadah amal Give.Asia bagi menampung kos pembedahan anak tunggal mereka.

Pada Jun lalu, kemas kini terakhir yang dibuat oleh bapa arwah Rauf, Encik Hidayat, memaklumkan bahawa Allahyarham sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi proses pemulihan selepas menjalani pembedahan.
Pada Jun lalu, kemas kini terakhir yang dibuat oleh bapa arwah Rauf, Encik Hidayat, memaklumkan bahawa Allahyarham sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi proses pemulihan selepas menjalani pembedahan. - Foto TANGKAP LAYAR LAMAN GIVE.ASIA

Sasaran kutipan sebanyak $390,000 bukan sahaja berjaya dicapai, malah melepasi sasaran apabila sebanyak $391,188 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan hampir 7,000 penderma.

Menurut maklumat yang diberikan oleh bapa Allahyarham yang dikenali sebagai Encik Muhd Hidayat, 61 tahun, arwah Rauf dilahirkan dengan penyakit jantung kongenital yang jarang dan kompleks.

Penyakit itu dikenali sebagai single ventricle physiology, iaitu kecacatan jantung serius yang disertai pelbagai komplikasi lain.

Dalam hantaran di laman kutipan dana itu, Encik Hidayat berkata beliau berdepan kesukaran menanggung kos rawatan arwah Rauf selepas simpanan keluarga semakin susut akibat perbelanjaan rawatan, kemasukan ke hospital, ubat-ubatan dan keperluan penjagaan yang berterusan.

“Kami tidak pernah menyangka akan tiba saat untuk menyelamatkan nyawa anak kami bergantung kepada kemampuan mengumpulkan dana dalam tempoh yang singkat,” kata pencari nafkah tunggal keluarga itu dalam hantaran tersebut.

Dalam kemas kini terakhir yang dibuat Jun lalu, Encik Hidayat memaklumkan arwah Rauf sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi proses pemulihan selepas menjalani pembedahan.

Sementara itu, guru Bahasa Melayu Allahyarham, Cik Nurulhuda Saniff, berkata kekurangan fizikal arwah sudah jelas kelihatan sejak beliau menduduki MET.

“Walaupun pergerakan dan langkahnya tidak stabil, anak kecil itu tetap berusaha bersungguh-sungguh menyempurnakan ujian tersebut bersama-sama rakan-rakan seusianya.

“Prestasi cemerlang yang ditunjukkan Allahyarham dalam ujian itu meyakinkan pihak MWTI untuk menerimanya sebagai pelajar sepenuh masa,” kata guru berusia 46 tahun itu.

Sebagai pengiktirafan terhadap semangat juang yang luar biasa, pihak MWTI menganugerahkan arwah dengan Anugerah Daya Tahan Terunggul ketika dia tamat Darjah Enam.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan pertama seumpamanya yang diberikan kepada seorang pelajar atas ketabahan, kegigihan dan iltizamnya menuntut ilmu meskipun berdepan kekangan fizikal serta cabaran kesihatan yang berpanjangan.

Bagi sahabat baiknya, Muhammad Thaqif Mohamed Tahir, arwah merupakan seorang insan yang banyak meninggalkan pengajaran.

“Rauf ialah sahabat baik saya sejak Darjah Satu di MWTI. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran hidup, dia sentiasa mengukir senyuman dan tidak pernah menunjukkan rasa putus asa.

“Ketabahannya mengajar saya supaya sentiasa berfikiran positif walau dalam apa juga keadaan,” katanya.

Menurut Thaqif, arwah Rauf juga seorang yang gigih dalam pelajaran dan sentiasa menghormati guru, ibu bapa serta rakan-rakan, lantas pemergiannya memberi kesan yang amat mendalam kepada seluruh warga kelas.