Ibu kepada dua orang anak yang dikenali sebagai ‘Dinahnahnah’ di Threads menjadi tular selepas berkongsi pengalamannya di Paparch, sebuah jenama tempatan yang terkenal dengan hidangan Basque Burnt Cheesecake yang terletak di Arab Street.

Menurutnya, beliau diminta membayar ganti rugi $4.90 selepas salah seorang anaknya secara tidak sengaja menyentuh kek keju yang dipamerkan, sehingga menyebabkan kek tersebut kemik.

Dalam perkongsiannya, beliau sedang memilih perisa kek sebelum seorang kakitangan memaklumkan bahawa beliau perlu membayar ganti rugi bagi kek pameran yang rosak.

“Saya terlalu leka memilih kek sehingga tidak menyedari apa yang dilakukan oleh anak-anak.

“Tiba-tiba seorang kakitangan datang memberitahu bahawa saya perlu membayar ganti rugi kerana kek yang dipamerkan sudah kemik,” tulisnya di Threads.

Baginya, kejadian tersebut turut menjejas perasaannya kerana ia berlaku pada hari lahirnya sendiri.

Meskipun beliau mengakui bahawa terdapat label kecil bertulis ‘Do Not Disturb’ (Jangan Sentuh), beliau berpendapat anaknya masih terlalu kecil untuk membaca dan memahami peraturan tersebut.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kek yang dipamerkan telah dibiarkan terdedah tanpa sebarang penutup.

Namun, beliau diberitahu bahawa cadangan untuk menutup kek yang dipamer pernah disampaikan kepada pihak pengurusan, tetapi tiada perubahan dibuat.

Cik Dinah menjelaskan bahawa perkongsiannya bukan bertujuan memburukkan nama Paparch, malah mengakui suka dengan kek yang dijual di situ.

“Kek mereka sedap dan saya menyukainya.

“Saya hanya berharap ibu bapa lain tidak mengulangi kesilapan saya, iaitu terlalu leka memilih kek sehingga tidak menyedari apa yang dilakukan oleh anak.

“Saya juga tidak sedar terdapat kek yang diletakkan pada paras yang mudah dicapai kanak-kanak,” katanya.

Beliau juga menggesa premis tersebut mengambil langkah lebih proaktif, seperti meletakkan penutup pada kek pameran.

Cik Dinah turut memuat naik foto tangkap layar perbualannya dengan pihak Paparch menerusi Instagram, yang menunjukkan syarikat itu menawarkan untuk memulangkan semula bayaran $4.90 sebagai tanda muhibah.

“Kami amat kesal mendengar pengalaman anda, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku pada hari lahir anda.

“Kami ingin memulangkan semula bayaran sebanyak $4.90 sebagai tanda muhibah,” menurut mesej yang dihantar oleh Paparch.

“Isunya bukan tentang $4.90.

“Jumlah itu pun tidak cukup untuk membeli satu hidangan yang lengkap di Singapura.

“Apa yang lebih penting ialah langkah pencegahan, kerana saya yakin akan ada lagi kanak-kanak yang menyentuh kek dipamerkan pada masa hadapan,” kata Cik Dinah.

Dalam perbualan mereka di Instagram, beliau enggan wangnya dikembalikan kerana ingin bertanggungjawab atas perbuatan anaknya.

Sebaliknya, Cik Dinah turut menyarankan beberapa cadangan termasuk memastikan kek yang dipamerkan, diletakkan di lokasi yang lebih sukar dicapai atau dilindungi dengan penutup.

Beliau turut berpendapat kakitangan yang menyedari anak-anaknya berada berhampiran kawasan pameran boleh memberikan peringatan lebih awal kepada ibu bapa bagi mengelakkan kejadian tersebut.

Perkongsian tersebut turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Ada yang berpendapat ibu bapa bertanggungjawab mengawasi anak-anak mereka ketika berada di tempat awam serta mengajar mereka supaya tidak menyentuh barangan pameran.

Pengguna nama ‘ja66athehutt’ berkata:

“Belajarlah menjadi ibu bapa yang lebih baik. Didikan yang baik sepatutnya mengajar anak supaya tidak sewenang-wenangnya menyentuh atau mengambil barang yang bukan milik mereka tanpa kebenaran.

“Tetapi apa yang anda lakukan di sini hanya mendedahkan kelemahan cara anda mendidik anak.”

Namun, tidak kurang juga yang berasakan Paparch sepatutnya mengambil langkah pencegahan, lebih-lebih lagi jika isu tersebut dikatakan telah dibangkitkan oleh kakitangan sebelum ini.

Pengguna nama ‘nanozee’ berkata:

“Dalam kebanyakan situasi, saya akan menyalahkan ibu bapa kerana tak mampu kawal anak, namun dalam kes ini premis berkenaan juga perlu memikul tanggungjawab kerana tidak mengambil langkah yang mencukupi untuk mengelakkan kejadian tersebut.”

Ada juga yang berpendapat bukan kanak-kanak sahaja, malah orang dewasa juga kadangkala cenderung menyentuh barangan kerana rasa ingin tahu, sekali gus menyifatkan situasi itu sebagai tanggungjawab bersama antara pelanggan dan premis.

Antaranya ialah pengguna nama ‘realisticsoul’:

“Saya sering mengingatkan anak-anak saya yang berusia lapan dan 11 tahun supaya hanya melihat dan jangan menyentuh, tetapi mereka kadangkala tetap terlupa.

“Kadang-kadang orang dewasa sendiri ada yang gagal untuk menahan diri dari menyentuh barang-barang pameran, apatah lagi kanak-kanak?”