SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ibu muda kongsi makanan iftar masakan sendiri bagi yang memerlukan

Ibu muda kongsi makanan iftar masakan sendiri bagi yang memerlukan

Jadikan lebihan juadah berbuka peluang sebar kebaikan kepada masyarakat sepanjang Ramadan
Feb 27, 2026 | 5:20 PM

Ibu muda kongsi makanan iftar masakan sendiri bagi yang memerlukan

Nur Syairah Mohamad Shahid, ibu muda, sedekah, iftar
Walaupun sibuk bekerja sepenuh masa dan mempunyai perniagaan kecil, Cik Nur Syairah Mohamad Shahid, mengambil kesempatan bersedekah dengan memberi makanan yang dimasaknya sendiri kepada golongan memerlukan. - Foto ihsan NUR SYAIRAH MOHAMAD SHAHID

Pada Ramadan yang mulia ini, dengan pahala dilipat ganda dan perbuatan baik mendapat berkat, tidak hairanlah ramai umat Islam berlumba-lumba ingin membuat kebaikan, tidak kira sama ada dengan memberi sedekah, atau membantu mereka yang kurang bernasib baik mengikut kemampuan sendiri.

Bagi Cik Nur Syairah Mohamad Shahid, 26 tahun, beliau mengambil kesempatan membuat kebajikan sambil menyediakan juadah berbuka untuk keluarganya, termasuk suami, ibu bapa, serta anaknya yang baru berusia empat tahun.

“Oleh kerana ibu saya sudah membantu menjaga anak saya semasa saya bekerja, saya akan memasak untuk keluarga, dan kerap juga untuk nenek dan datuk saya yang tinggal berdekatan.

“Jadi, kami selalu ada makanan lebih, cukup untuk satu hingga tiga orang makan, jadi apa salahnya saya menawarkannya kepada mereka yang memerlukan?” kata ibu muda itu.

Ini merupakan kali pertama Cik Syairah, yang bekerja sepenuh masa sebagai Pengurus Pemasaran Serantau dalam sektor tenaga, berbuat demikian, dan beliau tidak menyangka daya usahanya mendapat sambutan baik.

“Saya tidak meletak sebarang syarat, melainkan saya berharap mereka yang mengambilnya ialah golongan yang berpuasa, berbadan dua atau warga emas.

“Tetapi saya tidak memeriksa latar belakang mereka sekiranya mereka datang ambil, saya ikhlas memberi,” tambah Cik Syairah.

Awalnya, ia sekadar niat untuk mengelakkan pembaziran makanan.

Kini, ia berkembang menjadi satu inisiatif kecil yang penuh makna.

Cik Syairah berkongsi usaha itu menerusi akaun Threads miliknya, @syairahshahid, kerana beliau tertarik dengan cara algoritma Threads berfungsi.

“Saya tertarik dengan cara algoritma Threads berfungsi dalam menyalurkan kandungan yang paling relevan kepada setiap pengguna secara unik, dan berasa ia merupakan wadah terbaik untuk inisiatif ini,” ujarnya.

Menurut Cik Syairah, idea tersebut tercetus selepas beliau mendapat inspirasi daripada perkongsian seorang pencipta kandungan, @angmohmakcik, di Instagram yang menawarkan makanan masakan hariannya kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

Melihat kebaikan itu, Cik Syairah berasa beliau juga mampu melakukan perkara sama sepanjang Ramadan.

“Pada mulanya saya bercadang untuk menawarkan makanan pada harga berpatutan untuk ibu bapa yang bekerja,” katanya.

“Sebagai seorang yang bekerja sepenuh masa, menguruskan perniagaan kecil dan anak, saya faham cabarannya.

“Namun, akhirnya saya putuskan untuk jadikannya makanan percuma untuk semua.”

Antara yang pernah tampil ialah seorang ibu dengan anak berkeperluan khas; ibu tunggal dan juga individu bukan Islam yang sekadar memerlukan makanan untuk keluarga mereka.

Seorang wanita juga pernah menghantar mesej meminta resipi kerana masakan Cik Syairah mengingatkannya kepada masakan ibunya.

Kata wanita itu, beliau tidak sempat mempelajari resipi tersebut sebelum ibunya disahkan menghidap demensia.

“Mendengar kisah mereka membuatkan usaha ini sangat bermakna,” kata Cik Syairah.

Selain wadah Threads, beliau turut berkongsi di kumpulan Telegram, SG Blessings, yang diperkenalkan oleh adiknya.

“Keluarga saya juga ikut serta ingin membantu.

“Nenek dan datuk saya pernah menyediakan sandwic telur, dan apabila kami kongsikan di Telegram, semuanya habis diambil orang dengan cepat,” tambahnya.

Bapa Cik Syairah turut terlibat apabila seorang ibu hamil mengidam Ayam Pop – hidangan Indonesia yang baru-baru ini menjadi tular selepas pempengaruh Malaysia, Khairul Aming, berkongsi resipi dan video cara penyediaannya.

Juadah itu tidak sempat diambil oleh wanita tersebut, dan dengan rela hati, bapanya menghantarkan makanan itu ke rumahnya yang tidak jauh dari kediamannya di Yishun.

“Berbuat baik adalah amalan baik yang ‘berjangkit’, tetapi sangat memuaskan,” kata Cik Syairah.

Walaupun sibuk dengan kerjaya sepenuh masa dan perniagaan naein.co, jenama tudung yang diasaskan bersama adiknya pada Disember 2024 dan menampilkan rekaan ilustrasi tangan oleh artis tempatan dan serantau, Cik Syairah berhasrat meneruskan inisiatif itu sehingga penghujung Ramadan.

“Insya-Allah, dengan izin-Nya yang memberi kesihatan dan keberkatan masa, saya akan teruskan,” katanya.

“... Kami selalu ada makanan lebih, cukup untuk satu hingga tiga orang makan, jadi apa salahnya saya menawarkannya kepada mereka yang memerlukan? ... Berbuat baik adalah amalan baik yang ‘berjangkit’, tetapi sangat memuaskan.”
Cik Nur Syairah Mohamad Shahid, Pengurus Pemasaran Serantau dalam sektor tenaga.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg