Topic followed successfully
Go to BHkuJalil Hamid pergi sebelum pelancaran buku autobiografi di S’pura
Jalil Hamid pergi sebelum pelancaran buku autobiografi di S’pura
Jalil Hamid pergi sebelum pelancaran buku autobiografi di S’pura
Anak kelima kepada Allahyarham pelakon veteran Jalil Hamid, Cik Afiqah Jalil, berkongsi perancangan keluarga yang tidak sempat direalisasikan, termasuk pelancaran buku autobiografi Allahyarham di Singapura minggu depan.
“Kami memang sudah rancang untuk ke Singapura bersama-sama. Semua persiapan termasuk pasport sudah siap.
“Ayah sangat teruja dengan buku itu dan selalu buat siaran langsung untuk promosikan. Beliau sangat gembira dan bersemangat mengenainya,” kata Cik Afiqah kepada BH Online.
Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Alam Megah, Seksyen 28, Shah Alam kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 4 Mei.
Hasrat pelakon berusia 69 tahun itu untuk menunaikan ibadah haji tahun ini juga tidak kesampaian apabila beliau menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, selepas berdepan komplikasi jantung.
Cik Afiqah, 33 tahun, juga berkata bapanya amat terkilan kerana sudah melakukan pelbagai persiapan termasuk menghadiri kursus haji dan memperbaharui pasport, namun perancangan itu terhenti disebabkan masalah kesihatan.
“Memang ayah terkilan sebab tahun ini beliau sudah pergi kursus haji dan buat persiapan, tetapi tidak dapat menunaikan haji kerana masalah jantung.
“Tahun lalu pun ibu sahaja yang pergi menunaikan haji. Ayah memang kecewa, tetapi saya selalu pujuk dan cakap tidak mengapa,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengurusan jenazah Allahyarham Jalil di Masjid Al-Munawwarah.
Dalam pada itu, Cik Afiqah berkata beliau bersyukur kerana masih sempat mencipta banyak kenangan bersama Allahyarham meskipun hubungan mereka sering disulami gurauan dan usikan.
“Alhamdulillah, saya masih sempat ada banyak momen dengan ayah. Kadang-kadang kami bergurau kecil, tetapi semua itu jadi kenangan yang sangat berharga,” katanya.
Mengulas tahap kesihatan Allahyarham, Cik Afiqah berkata bapanya menerima rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dan menghadiri janji temu susulan seperti biasa.
“Semalam kali terakhir kami bersembang. Selepas subuh, ayah banyak berehat dan tidur di bilik,” kata beliau.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 selepas solat Asar, selepas diuruskan di Masjid Al Munawwarah pada 4 Mei lalu.
