Ramai yang mengenali Singapura hari ini sebagai sebuah pulau kecil yang moden dan maju.
Namun, satu ketika dahulu terdapat pulau-pulau lebih kecil di perairan Singapura yang didiami penduduk dengan gaya hidup dan warisan unik tersendiri.
Beberapa aspek warisan mempunyai asal usulnya yang dikaitkan dengan pulau-pulau ini, termasuk seni mempertahankan diri Silat Seni Gayong dari Pulau Sudong; serta warisan kulinari melalui resipi yang diturunkan dari generasi ke generasi.
Aktivis seni dan bekas penduduk pulau memberitahu Berita Minggu (BM) sudah tiba masanya unsur-unsur warisan yang dihidupkan oleh keturunan Orang Pulau itu disulam menjadi sebahagian daripada kisah Singapura.
Sebagai seni mempertahankan diri yang mula diajar di Pulau Sudong pada zaman penjajahan Jepun, Silat Seni Gayong membawa bersama nilai adat, disiplin dan jati diri Melayu, kata Setiausaha Persatuan Silat Seni Gayong Naga Bura, Dr Saiful Nizam Subari.
“Anak muda hari ini perlu tahu asal usul mereka – bukan sekadar kisah, malah nilai yang membentuk kita,” kata Dr Saiful, seorang doktor keluarga, 48 tahun.
Bagi keturunan penduduk Pulau Semakau Cik Roziah Amat Rani, warisan resipi dan masakan orang pulau, wajar dipelihara dari zaman ke zaman.
Antara masakan klasik dan melambangkan kelainan cita rasa orang Semakau adalah seperti asam rebus, gulai nanas dan cempurun.
“Jika satu hari resipi-resipi ini dibukukan, generasi seterusnya dapat manfaat dan rasa masakan kami,” ujar Cik Roziah, 43 tahun, yang kerap memasakkan lauk-pauk Orang Pulau untuk empat anaknya.
Kisah-kisah dan warisan yang berkaitan dengan kehidupan di pulau-pulau ini diraikan dalam Hari Orang Pulau yang julung kali diadakan di Taman West Coast pada 14 Jun.
Sambutan Hari Orang Pulau memberi penghormatan kepada masyarakat pelaut yang pernah mendiami pulau-pulau ini.
Semasa berucap di acara itu, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, mengumumkan pemerintah akan menubuhkan kumpulan kerja baru bagi memelihara warisan serta kisah bekas penduduk pulau.
Sebelum pembangunan pesat dan penambakan tanah mengubah rupa bentuk pantai, pulau seperti Pulau Semakau, Pulau Sudong, Pulau Samulun dan Pulau Sekijang Bendera (yang kini dikenali sebagai St John’s Island) merupakan kampung-kampung laut yang didiami oleh Orang Pulau dan Orang Laut.
Masyarakat itu terkenal sebagai pelaut, nelayan dan pembuat perahu yang mahir dan pernah memainkan peranan penting dalam laluan perdagangan serantau.
Sebanyak 77 pulau dahulunya membentuk Singapura – termasuk nama-nama lama seperti Pulau Merlimau, Pulau Seraya dan Pulau Seletar.
Namun, akibat projek penambakan tanah seperti pembentukan Pulau Jurong yang kini terdiri daripada gabungan sembilan pulau asal, jumlah itu kini berkurangan kepada 64 sahaja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg