Brotherhood (persaudaraan) bagi Mikhail Abdul Razak, atau lebih dikenali sebagai Nick Mikhail, bermaksud untuk sentiasa berada di sisi seseorang dalam susah dan senang – tidak kira sama ada mereka betul atau salah.

Selama bertahun-tahun, itulah bentuk sokongan yang diberikan oleh pelakon kelahiran Singapura itu kepada penyanyi Aliff Aziz, yang dianggapnya sebagai seorang “adik”.

Namun, hubungan antara mereka kini kelihatan sedang bergolak selepas Nick secara terbuka meluahkan kekecewaannya terhadap Aliff yang didakwa membatalkan satu persembahan pada saat-saat akhir.

Difahamkan Nick telah menghubungi Aliff pada 19 Mei untuk menjemputnya membuat persembahan menyanyikan dua buah lagu di majlis pelancaran produk isterinya, King Coco, yang berlangsung pada 21 Jun.

Dalam video luahan Nick yang dimuat naik pada 20 Jun sepanjang lapan minit di Instagram miliknya, beliau menyatakan bahawa beliau membuat bayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus iaitu RM1,500 ($469) kepada Aliff.

“Seminggu sebelum acara, saya bertanya kepadanya sama ada beliau bersedia untuk persembahannya... tapi Aliff kata beliau masih di Indonesia dan berdepan kesukaran untuk balik,” kata Nick, yang kini merupakan seorang perunding pinjaman.

Nick turut mendedahkan beliau mendapat tahu Aliff mengambil tawaran untuk berlakon di Indonesia pada 29 Mei, selepas menerima tawaran daripadanya.

Difahamkan penyanyi lagu Sayang Sayang tersebut sedang terlibat dalam penggambaran di Indonesia bersama penyanyi dan pelakon, Acha Septriasa.

Sehari sebelum acara berlangsung, Aliff menelefon Nick untuk memberitahunya bahawa beliau tidak dapat hadir ke majlis pelancaran King Coco.

“Saya meminta semula wang pendahuluan yang telah diberikan, namun sehingga jam 10.30 malam (20 Jun), wang tersebut masih belum dipulangkan,” katanya.

Berita Harian (BH) telah menghubungi Nick untuk bertanya sama ada wang tersebut telah dipulangkan setakat ini namun belum dibalas.

Menurut Nick, tujuan beliau memuat naik video tersebut adalah untuk menjelaskan bahawa beliau tidak lagi menyokong Aliff.

“Bila ramai yang mengganggu Aliff, saya yang tampil mempertahankannya sejak 2017... tetapi saya minta tolong sekali namun Aliff tidak dapat menunaikan perkara itu untuk saya,” luahnya.

Ketika ditemu bual oleh media tempatan Malaysia, XTRA, Nick berkata beliau telah menyekat hubungan dengan Aliff kerana tidak mahu lagi mendengar sebarang penjelasan.

“Kalau Aliff tidak mahu memulangkan wang itu, dia boleh anggap ia sebagai sedekah,” katanya.

Setakat ini, BH telah menghubungi kedua-dua pihak untuk mendapatkan penjelasan lanjut.