Kedai gula-gula SGFR buka cawangan ke-8 di Bedok Mall
Ia cawangan keempat yang terletak di pusat beli-belah
Kedai gula-gula dan snek setempat SGFR membuka cawangan kelapan di pusat beli-belah Bedok Mall, yang dibanjiri peminat semasa pembukaan rasmi cawangan itu pada 17 Januari.
Cawangan itu dibuka hanya beberapa bulan selepas SGFR diiktiraf sebagai salah satu antara 14 penerima Anugerah Semangat Perusahaan, anjuran persatuan Spirit of Enterprise (SOE) pada Oktober 2025.
Pengasas SGFR, Encik Muhammad Haikkel Firdhaus, berharap kedai itu akan dapat menarik lebih ramai pelanggan dengan lokasi baru tersebut.
Encik Haikkel, 23 tahun, juga terharu dengan sambutan bagi majlis pembukaan kedai itu, yang beliau anggarkan menarik sekitar 700 orang.
Cawangan di Bedok Mall itu merupakan cawangan keempat SGFR yang terletak di pusat beli-belah, selepas cawangan di Harbourfront Centre, Wisteria Mall serta Kallang Leisure Park.
Cawangan terbaru yang terletak di Besmen 2 di Bedok Mall itu dipilih kerana lokasinya yang strategik serta trafik pelanggan yang lebih tinggi, berbanding di cawangan SGFR lain.
“Kami tidak menyangka sambutan daripada pelanggan begitu menggalakkan. Ada yang sanggup beratur seawal 7 pagi walaupun majlis perasmian bermula 2 petang,” kata Encik Haikkel ketika dihubungi Berita Harian (BH).
“Ia merupakan antara hari yang paling istimewa bagi saya,” kata Encik Haikkel, sambil menambah, hasrat membuka kedai sendiri di Bedok Mall telah tersemat dalam dirinya sejak kecil lagi.
SGFR sebelum ini dikenali dengan produk seperti Goal Crunch – snek bertema bola sepak pertama yang menampilkan wajah bintang muda bola sepak tempatan, Ilhan Fandi – serta minuman Quench.
Kini, sempena pembukaan cawangan baru mereka, SGFR turut memperkenalkan beberapa produk baru kepada para pelanggan.
Antaranya ialah Mix Pops Ice Cream, snek aiskrim berbentuk buah menampilkan inti aiskrim berkrim dan lapisan luar nipis yang diperbuat daripada coklat putih, hasil inspirasi daripada trend pencuci mulut di Qatar.
Acara ini turut dimeriahkan dengan pelancaran produk inovasi terbaru, Galactic Bites iaitu aiskrim kering beku yang dilapiskan di antara dua biskut yang menampilkan perisa Waffle Vanilla serta Cookies and Cream.
Sempena promosi hingga 14 Februari ini, SGFR menawarkan Mix Pops Ice Cream pada harga $12.90 setiap satu.
Pelanggan juga boleh menikmati harga istimewa $20 untuk pembelian dua Mix Pops, atau kombinasi satu Mix Pops bersama satu Mochi Meltz.
Encik Haikkel, yang turut dikenali sebagai pempengaruh, juga berkongsi bahawa SGFR merancang membuka satu lagi cawangan baru di Northpoint pada Februari.
Pada masa yang sama, cawangan di Holland Village akan ditutup bagi memberi laluan kepada pembukaan cawangan di lokasi yang menawarkan trafik pelanggan yang lebih baik.

