Topik diikuti
Pergi ke BHkuKek batik jadi hidangan istimewa sambut Presiden Tharman ke KL
Kek batik jadi hidangan istimewa sambut Presiden Tharman ke KL
Kek batik jadi hidangan istimewa sambut Presiden Tharman ke KL
KUALA LUMPUR: Pada awalnya, tempahan kek yang diterima Cik Nurliza Mohd Jonis tidak kelihatan berbeza daripada tempahan-tempahan lain.
Namun, beliau kemudian mengetahui bahawa kek batik yang dihasilkannya bakal menjadi sebahagian daripada jamuan rasmi bagi mengalu-alukan kedatangan Presiden Singapura, Encik Tharman Shanmugaratnam, dan isterinya, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam, di Istana Negara baru-baru ini.
Kek batik ialah pencuci mulut tanpa bakar yang diperbuat daripada biskut Marie dan campuran coklat, dengan corak yang menyerupai kain batik apabila dipotong.
Cik Nurliza, yang merupakan pemilik Crazepop, bakeri berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia, berkata pihaknya pada mulanya hanya dimaklumkan bahawa tempahan itu adalah untuk pihak Istana Negara sebelum mengetahui tujuan sebenar kek berkenaan.
“Rasa terharu, tetapi pada masa yang sama datang satu tanggungjawab yang sangat besar.
“Apabila sesuatu karya mewakili negara dalam majlis rasmi seperti ini, setiap perincian perlu diberi perhatian.
“Kami bukan sekadar menghasilkan sebiji kek, tetapi membawa bersama identiti Malaysia melalui seni yang kami hasilkan,” terang Cik Nurliza, 46 tahun, kepada Berita Harian baru-baru ini.
Beliau juga memuat naik video di Instagram dan Facebook akaun ‘crazepop’ pada 20 Julai yang menunjukkan proses di sebalik tabir menghasilkan kek tersebut.
Tertera di kapsyen video itu adalah:
“Daripada Yang di-Pertuan Agong Malaysia kepada Presiden Singapura. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa besarnya makna ini buat kami. Alhamdulillah.”
Video tersebut, yang memaparkan proses mengangkut dan menghasilkan kek itu ke Istana Negara, menjadi tular di media sosial dan meraih hampir sejuta tontonan serta menarik perhatian ramai warganet dari Malaysia dan Singapura.
Rata-rata, warganet meninggalkan komen memuji kehalusan seni pada kek batik itu, malah ada yang menyifatkannya sebagai hasil kerja yang membanggakan.
Seorang pengguna Instagram ‘makyaskitchen’ berkata:
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Saya rasa bangga untuk kakak dan pasukan kakak. (Saya) peminat dari Singapura.”
Seorang pengguna Facebook ‘Sarima Sharbini’ menulis:
“Unik tangan orang Malaysia. Orang Barat mungkin mengagumi kreativiti mereka, tetapi (orang) Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dalam mempersembahkan kek batik ini. Saya suka sangat melihatnya dan tumpang bangga.”
Menurut Cik Nurliza, pelanggan sememangnya membuat tempahan kek batik dengan hiasan bercorak seni, lazimnya menggunakan rekaan ‘Bunga Bangsa’, iaitu rekaan yang pernah memenangi tempat kedua dalam acara Cake Piknik sempena festival Art & Soul Artober anjuran CIMB Bank pada 2025.
Walaupun proses melakar dan menyediakan reka bentuk menjadi lebih mudah kerana konsep itu pernah dihasilkan sebelum ini, penghasilan kek berukuran 15 inci kali 22 inci dengan berat melebihi tujuh kilogram tetap mencabar.
“Melukis menggunakan coklat sentiasa mencabar kerana ia memerlukan ketelitian dan kawalan yang baik,” jelas Cik Nurliza, sambil menambah bahawa beliau dan pasukannya mengambil masa dua hari untuk menyelesaikan tempahan tersebut.
Baginya, setiap perincian pada kek tersebut perlu dilakukan dengan penuh perhatian kerana ia bukan sekadar pencuci mulut, tetapi sebuah karya seni yang membawa identiti tempatan.
Mengulas sambutan terhadap video yang dimuat naiknya, Cik Nurliza teruja apabila melihat karyanya turut mendapat perhatian daripada rakyat Singapura.
“Saya sangat teruja melihat video itu bukan sahaja mendapat perhatian di Malaysia, malah turut dikongsi dan menerima banyak komen daripada rakyat Singapura.
“Saya rasa itu sesuatu yang sangat bermakna kerana kek ini dihasilkan khas sempena lawatan rasmi Presiden Singapura.
“Saya anggap itu sebagai satu penghargaan terhadap karya kami dan juga seni Malaysia,” katanya.
Bagi Cik Nurliza, yang memulakan Crazepop pada 2013, tempahan itu menjadi satu titik penting dalam perjalanan perniagaannya.
Menurutnya, ia turut membuktikan bahawa produk tempatan yang dihasilkan secara konsisten, teliti dan penuh keikhlasan, mampu mendapat kepercayaan untuk berada di pentas lebih besar.
“Jangan terlalu fokus untuk cepat tular. Sebaliknya, fokuslah untuk menjadi lebih baik setiap hari.
“Peluang besar selalunya datang selepas bertahun-tahun melakukan perkara kecil dengan bersungguh-sungguh secara konsisten,” nasihat beliau.
Cik Nurliza turut berharap lebih banyak produk tempatan dapat dijadikan wadah untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia.
Katanya, makanan bukan sekadar sesuatu untuk dinikmati, tetapi juga boleh menjadi satu bentuk seni dan budaya yang menceritakan identiti sesebuah negara.
“Jika melalui Kek Batik Artsy, kami dapat membawa sedikit keindahan seni Malaysia ke pentas antarabangsa, itu sudah menjadi satu penghormatan yang sangat besar buat kami,” ujar beliau lagi.