Sepanduk Hari Kebangsaan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan dipasang di estet Kampong Chai Chee telah digantikan selepas didapati memaparkan imej bendera yang tidak tepat, menurut Kelab Masyarakat (CC) Kampong Chai Chee.

Menurut laporan Stomp, sepanduk tersebut dipasang berdekatan Blok 409 Bedok North.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 21 Julai, CC Kampong Chai Chee berkata sepanduk tersebut dihasilkan dan dibiayai oleh sekumpulan penduduk yang telah bekerjasama untuk menghias estet berkenaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

“Ramai sukarelawan yang terlibat terdiri daripada warga emas yang telah berganding bahu dalam usaha memeriahkan lagi suasana estet untuk semua.

“Mereka tidak sedar bahawa sepanduk yang dijana AI itu mengandungi kesilapan.

“Sebaik sahaja perkara itu dibawa kepada perhatian kami, penduduk tersebut dengan segera menggantikan sepanduk itu pada hari yang sama,” ujar CC Kampong Chai Chee dalam kenyataan itu.

Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang tampil memaklumkan kesilapan tersebut.

“Ia (kejadian itu) menjadi peringatan bahawa walaupun AI boleh menjadi alat yang berguna, hasil yang dijananya perlu sentiasa disemak dengan teliti sebelum digunakan,” pesan kelab masyarakat itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas isu berkenaan mendapat perhatian ramai di media sosial.

Pada 20 Julai, pengguna ‘Zu Wee’ telah memuat naikkan gambar sepanduk itu dalam kumpulan Facebook ‘SG Creative & Cultural Community’.

Di bahagian kiri sepanduk itu, terdapat ilustrasi bendera merah putih yang tidak memaparkan bulan sabit dan lima bintang seperti yang terdapat pada bendera Singapura.

Hantaran tersebut setakat ini meraih lebih 200 reaksi dan hampir 100 komen.

Gambar sepanduk itu, yang juga mendapat perhatian pengguna lain, diedarkan di wadah Reddit dan juga kumpulan lain di Facebook.

Ramai menyifatkan ketiadaan bulan sabit dan lima bintang sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Bagaimanapun, penjelasan CC Kampong Chai Chee itu turut mengundang kritikan daripada sebahagian warganet yang berpendapat bahawa kenyataan tersebut seolah-olah meletakkan tanggungjawab atas kesilapan itu kepada sukarelawan warga emas.

Beberapa pengguna Facebook mempersoalkan mengapa kenyataan itu menekankan penglibatan sukarelawan warga emas, sambil berpendapat bahawa semakan akhir terhadap reka bentuk tersebut sepatutnya dilakukan sebelum ia dicetak dan dipasang.

Seorang pengguna Facebook ‘一沙’ berkata:

“Terima kasih kerana mengakui kesilapan ini, tetapi jangan sampai memberi tanggapan bahawa anda secara tidak langsung menyalahkan warga emas dengan menonjolkan penglibatan mereka.

“Pada pendapat saya, sepatutnya ada pihak yang melakukan semakan akhir sebelum sepanduk itu dipasang.

“Walaupun semakan itu mungkin tidak dilakukan, kesilapan pada bendera negara jelas sehingga agak menghairankan tiada siapa yang menyedarinya sehinggalah sepanduk itu dipasang.”

Pengguna ‘Patrk YJ’ pula berkata:

“Bukankah reka bentuk ini sepatutnya disemak dan diluluskan oleh Persatuan Rakyat (PA) sebelum ia dicetak?’”

Seorang lagi pengguna ‘TC Lolaa’ berkomen:

“Saya rasa tidak perlu menyatakan siapa yang menghasilkan sepanduk itu. Masalah sebenar ialah ia tidak disemak terlebih dahulu sebelum dipasang.”

Berita Harian (BH) telah menghubungi CC Kampong Chai Chee untuk penjelasan lanjut.