Baru-baru ini, masyarakat digemparkan dengan berita tentang kemalangan nahas di Tampines Avenue 12 melibatkan kereta yang telah dibatalkan pendaftarannya dan meragut nyawa sepasang ibu bapa pada malam 29 Oktober.

Namun, kewujudan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya bukanlah baru dan jumlah kenderaan demikian yang dilaporkan semakin meningkat dalam beberapa tahun lepas.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan media pada 8 September, jumlah kenderaan tersebut yang dikesan pihak berkuasa telah melonjak daripada 75 kes pada 2024 ke 245 pada 2025.

Malah, LTA berkata beberapa kenderaan tersebut digunakan untuk aktiviti jenayah seperti pengedaran dadah dan kemalangan langgar lari.

Apakah itu kenderaan yang dibatalkan pendaftarannya?

Kenderaan yang dibatalkan pendaftaran

Kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya merujuk kepada kenderaan termasuk kereta dan motosikal, yang pendaftaran rasminya telah dibatalkan dan tidak lagi mempunyai cukai jalan, insurans atau Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang sah.

Lazimnya, pemilik kenderaan akan membatalkan pendaftaran kenderaan menjelang tamat tempoh COE mereka.

Proses ini merupakan satu urusan pentadbiran untuk menyelesaikan segala urusan kewangan yang tertunggak serta mengemukakan bukti pelupusan kenderaan kepada LTA.

Menurut laman LTA, setelah pemilik kenderaan menghantarkan pembatalan kenderaan mereka dalam talian atau di Pusat Khidmat Pelanggan LTA, kenderaan tersebut tidak boleh digunakan dan mereka perlu melupuskan kenderaan itu melalui empat cara:

  1. Melupuskannya di limbungan kereta buruk yang dilantik LTA;
  2. Menyimpannya buat sementara waktu di Zon Memproses Eksport (EPZ) yang dilantik LTA;
  3. Mengeksportnya ke luar negara;
  4. Atau mendapatkan khidmat pengedar kenderaan untuk membantu melupuskan kenderaan itu

Sekiranya pemilik gagal melupuskan kenderaan tersebut dalam tempoh sebulan selepas membatalkan pendaftarannya, mereka akan dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan denda sehingga $2,000 atau dipenjarakan sehingga tiga bulan.

Jika kenderaan tersebut masih digunakan, pengguna boleh didenda sehingga $20,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun.

Apa yang berlaku semasa pelupusan kenderaan?

Semasa pelupusan, kenderaan tersebut akan dieksport ke luar negara untuk dileraikan supaya komponen tertentu dapat dijual, atau kenderaan tersebut akan dijual semula di pasaran luar negara.

Menurut pengarah syarikat pengeksport kenderaan PA Exports and Trading, Encik N Paulraj, selepas kereta dibatalkan pendaftaran, hak milik kereta tersebut akan dipindahkan kepada syarikatnya, sebelum dijual ke syarikat kereta lain di luar negara.

“Tapi, kereta yang dibatalkan pendaftarannya perlu dieksport dalam masa 30 hari selepas pembatalan pendaftaran.

“Sekiranya kami tidak dapat berbuat demikian, kami perlu mengalihkan kereta tersebut ke EPZ,” kata beliau yang telah memulakan syarikat tersebut sejak 2006.

Menurut beliau, bagi penyimpanan kereta yang telah dibatalkan pendaftaran di EPZ, mereka perlu membayar sekitar $300 sebulan.

Namun, beliau berkata kini pengeksportan kereta tergendala akibat konflik Timur Tengah dan memakan masa yang lebih lama.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), beliau berkata EPZ sudah penuh akibat konflik itu dan beliau perlu membuat rayuan kepada LTA untuk menyimpan kereta begitu di kedainya.

Sekiranya terdapat kenderaan yang sudah dibatalkan pendaftaran lebih 30 hari dan tidak berada di EPZ, syarikat beliau akan disaman.

Mengapa kenderaan sedemikian boleh membahayakan pengguna jalan raya?

Semasa dihubungi BH, pengasas syarikat kereta Gynacarlogist, Encik Farehan Hussein, berkata kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya mungkin tidak diselenggarakan dan tidak berada dalam keadaan selamat untuk dipandu.

Di samping itu, beliau berkata kenderaan sedemikian juga lazimnya tidak dilindungi insurans.

“Oleh itu, sesiapa yang mengalami kecederaan akibat kenderaan begitu akan menghadapai cabaran dalam mendapatkan pampasan atau membuat tuntutan insurans,” kata beliau, yang telah menubuhkan syarikat tersebut sejak 2022.

Justeru, LTA berkata dalam satu lagi kenyataan media pada Oktober bahawa penggunaan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan jalan raya.

Bagaimana kenderaan yang dibatalkan pendaftaran masih boleh dipandu?

LTA berkata pihak mereka tidak dapat mendedahkan bagaimana kenderaan demikian kembali digunakan di jalan raya Singapura atas sebab kerahsiaan siasatan.

Namun, beberapa kes mahkamah sebelum ini dapat memberi gambaran tentang perkara ini.

Pada 2021, seorang lelaki dipenjara kerana menjual dan menyewakan kereta yang telah dibatalkan pendaftarannya untuk digunakan dalam kegiatan jenayah.

Sindiket itu melibatkan pembelian kereta yang tempoh COE hampir tamat, dan menghakis nombor casis dan enjin kenderaan tersebut.

Nombor pendaftaran kereta itu kemudian digantikan dengan nombor pendaftaran kenderaan lain yang masih berdaftar dan mempunyai warna, jenama serta model yang serupa.

Unit Dalam Kenderaan (IU) kereta tersebut turut digantikan dengan unit milik kenderaan lain yang masih berdaftar.

Dokumen yang menunjukkan seolah-olah kenderaan tersebut telah dieksport atau sedang menunggu untuk dieksport turut diserahkan kepada pihak berkuasa.

Kereta tersebut kemudian dipasarkan sebagai kenderaan yang sukar dikesan, sebelum dijual atau disewakan tanpa sebarang pertanyaan lanjut mengenai latar belakang pembeli atau penyewa.

Terdapat juga kes melibatkan pengeksport tidak bertanggungjawab yang gagal melupuskan atau mengeksport kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya.

Untuk membanteras penyalahgunaan kenderaan, LTA juga menjalankan operasi dan pemeriksaan penguatkuasaan.

Baru-baru ini, LTA telah menjalankan operasi bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) pada September, di mana 91 kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya ditemui dan disita.

Di bawah skim itu, kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya dan akan dieksport untuk pelupusan wajib melakukannya melalui pengeksport yang diberi kuasa oleh LTA.

Pastikan kenderaan dilupuskan dengan betul

Menurut LTA, pemilik kenderaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan dokumen tertentu dikemukakan untuk memastikan kenderaan mereka dilupuskan dengan betul.

Dalam situasi di mana kenderaan itu ditukar beli, LTA menasihatkan agar pemilik memastikan hak milik kereta tersebut telah dipindahkan kepada pembeli sebelum membatalkan pendaftaran kenderaan itu.

Encik Farehan pula menasihatkan agar pemilik kenderaan merujuk kepada syarikat kenderaan yang boleh dipercayai untuk memastikan kenderaan mereka dilupuskan dengan betul.

Bagi Encik Farehan, beliau berkata syarikatnya memastikan mereka bekerjasama dengan syarikat pengeksport sah dan beliau juga memastikan terdapat dokumen kukuh seperti bil muatan (Bill of Lading) yang menunjukkan bahawa kenderaan yang dibatalkan pendaftarannya itu sedang dalam perjalanan ke negara lain.

Dokumen tersebut juga perlu dihantarkan kepada LTA sebagai bukti pelupusan.