Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes tuntutan dana lebih $10j wakaf Kassim: Waris harap hak dapat diperjuangkan
Kes tuntutan dana lebih $10j wakaf Kassim: Waris harap hak dapat diperjuangkan
Kes tuntutan dana lebih $10j wakaf Kassim: Waris harap hak dapat diperjuangkan
Kes tuntutan harta Wakaf Kassim kini dibawa ke peringkat seterusnya selepas pihak waris memfailkan rayuan secara rasmi pada 12 Jun lalu.
Dokumen mahkamah yang dilihat Berita Harian (BH) mengesahkan tindakan tersebut.
Langkah tersebut diambil oleh pihak waris yang diwakili Cik Fauziyah Mohd Ahbidin bagi meneruskan tuntutan hak ke atas sebahagian hasil wakaf tersebut.
Tuntutan mereka yang dianggarkan bernilai lebih $10 juta itu bersandarkan sebuah dokumen wasiat tahun 1932.
Walau bagaimanapun, pihak waris menganggarkan nilai pasaran semasa bagi keseluruhan kawasan hartanah berkenaan — termasuk tapak Masjid Kassim, kondominium East Bay Gardens dan bangunan Wisma Indah — boleh menjangkau sekitar $60 juta.
BH difahamkan bahawa anak bongsu plaintif, Syed Muhammad Farit Syed Ahmad, merupakan individu yang menguruskan proses dokumentasi dan pentadbiran bagi permohonan rayuan tersebut.
Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Tinggi telah menolak tuntutan Cik Fauziyah.
Hakim Mohamed Faizal Abdul Kadir memutuskan bahawa harta yang diwakafkan oleh datuknya dari tahun 1914 hingga 1927 adalah muktamad dan tidak boleh diubah.
Hakim Faizal menegaskan undang-undang tidak boleh dikorbankan atas dasar simpati demi menjaga integriti sistem wakaf awam yang kini mempunyai aset dana terkumpul sekitar $23 juta.
Ketika dihubungi, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyatakan bahawa prosiding mahkamah sudah selesai dan mereka menganggap kes ini telah ditutup.
Plaintif kes, Cik Fauziyah, meluahkan harapan yang tinggi agar rayuan ini akan mendapat pertimbangan sewajarnya di peringkat mahkamah tertinggi.
“Kami memfailkan rayuan ini kerana yakin sistem mahkamah di Singapura sentiasa adil.
“Memandangkan hakim sebelum ini telah mengiktiraf kewujudan dokumen wasiat tersebut, kami menaruh harapan yang besar agar Hakim Negara atau barisan hakim kanan dapat meneliti semula perkara ini demi memperjuangkan hak kami,” kata Cik Fauiyah apabila dihubungi BH.
Sementara itu, Encik Farit menjelaskan bahawa rayuan mereka bersandarkan perincian pembahagian hasil dana yang ditetapkan oleh moyangnya, Allahyarham Ahna Mohamed Kassim Ally Mohamed.
”Wasiat itu dibuat pada 1932 untuk datuk saya (Allahyarham Zainal Abidin), iaitu selepas tanah tersebut diwakafkan pada 1925. Kami hanya menuntut bahagian dua perlima (40 peratus), iaitu bahagian yang diambil sendiri oleh Allahyarham Kassim semasa hayatnya.
“Selepas beliau meninggal dunia, bahagian itu tidak pernah diserahkan kepada anaknya seperti dalam wasiat, manakala baki tiga perlima (60 peratus) lagi tetap kekal untuk pengurusan wakaf.
“Tanah wakaf tidak akan diganggu, seperti apa yang terkandung dalam wasiat,” jelas Encik Farit kepada BH.
Dalam laporan awal, Syed Muhammad Farit menjelaskan bahawa tujuan utama mereka untuk meneruskan kes ini bukanlah didorong oleh faktor nilai wang, melainkan demi menuntut hak sejarah keluarga yang sekian lama tertunggak.
“Ini adalah tentang menuntut hak dan kebenaran sejarah keluarga kami yang telah tertunggak sekian lama.
“Malah, kami juga berharap kes ini dapat meningkatkan semula kesedaran masyarakat Melayu/Islam di Singapura mengenai institusi wakaf.
“Hari ini, kita sering mendengar tentang amalan infak biasa, tetapi konsep wakaf semakin kurang diperkatakan,” katanya lagi.
Meskipun pertikaian ini melibatkan harta keluarga jutaan dolar nilainya, kehidupan waris tunggal Allahyarham Kassim, Allahyarham Zainal Abidin, jauh berbeza.
Walaupun merupakan anak kepada seorang tokoh yang mengumpulkan kekayaan hartanah yang besar di Singapura pada awal abad ke-20, Allahyarham Zainal Abidin tidak menjalani kehidupan yang mewah.
Dikenali oleh orang terdekat sebagai seorang yang sangat serba sederhana dan rendah diri, beliau menghabiskan kehidupannya di sebuah flat sewa, tanpa menyedari hak kelayakan besarnya di bawah wasiat bapanya.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 2011 di flat sewanya dengan hanya meninggalkan baki wang sekitar $800 atas namanya.
Bagi keturunan Allahyarham Kassim, rayuan ini tertumpu kepada persoalan asas melibatkan hak kekeluargaan.
