Cik Rizaliah Sulaiman, 43 tahun, mendapati perjalanannya menziarahi kubur keluarganya di Pusara Abadi kini lebih mudah dan dekat.
Dari Masjid Pusara Aman, beliau hanya memerlukan 15 minit untuk masuk ke kawasan Pusara Abadi.
Cik Rizaliah berjalan sekitar 250 meter, kurang lima minit ke perhentian bas berhampiran Pejabat Penggalian Semula Tanah Perkuburan Islam.
Dari situ beliau menaiki bas 975 dan turun selepas empat perhentian, sebelum kawasan kubur Islam dan Cina. Kemudian, beliau berjalan lagi 10 minit untuk sampai ke plot N-1-19 di Pusara Abadi di mana beliau menziarahi tujuh kubur, termasuk kubur arwah emak dan kakak sulungnya.
Berkongsi dengan Berita Harian, ejen hartanah itu berkata sebelum laluan baru itu dibuka, beliau harus berjalan lebih satu kilometer untuk ke plot tersebut.
“Saya memang seorang yang gemar meneliti peta dan saya ingin cuba laluan baru bas 975.
“Dengan laluan baru itu, ia lebih mudah dan cepat untuk saya ke Pusara Abadi. Sebelum ini, saya mengambil masa yang lebih lama kerana saya harus berhenti sebelum persimpangan T antara Lim Chu Kang Road dan Old Choa Chu Kang Road. Bas itu tidak belok kanan,” ujar ibu kepada tiga anak berusia antara 14 dan 20 tahun.
Setiap pagi Selasa, Cik Rizaliah menghadiri kelas tadarus di Masjid Pusara Aman dan sekali gus akan melawat sekitar 10 kubur keluarga dan saudara-mara di Pusara Aman.
“Saya rasa laluan ini banyak membantu bagi sesiapa yang ingin melawat kubur di Pusara Abadi,” tambah Cik Rizaliah yang telah memuat naikkan pengalaman perjalanannya ke tanah perkuburan ke media sosial apabila melawat Pusara Abadi pada 12 Ogos lalu.
Tanpa disangkanya, videonya itu mendapat sekitar 45,000 tontonan dan menerima lebih 200 komen dari netizen yang juga berminat dan ingin tahu cara jalan menaiki bas di kawasan tanah perkuburan tersebut.
“Tujuan saya adalah untuk berkongsi bersama rakan dan keluarga. Alhamdulillah maklumatnya juga memanfaati orang lain dan saya harap video saya meningkatkan kesedaran bagi mereka yang menggunakan pengangkutan awam,” jawab Cik Rizaliah.
Perkhidmatan bas 975 telah mengubah laluan di kawasan barat Singapura berikutan pelarasan semula dan penutupan sebahagian Lim Chu Kang Road pada 8 Jun 2025.
Perubahan ini, yang turut menjejas perkhidmatan bas 172 dan 405, dilaksanakan disebabkan perluasan Pangkalan Udara Tengah.
Menurut kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Lim Chu Kang Road yang sedia ada telah ditutup bagi memberi laluan kepada jalan baru yang dilaras semula, sepanjang lapan kilometer.
Jalan baru itu, yang merangkumi dua jalan tiga lorong (dual 3-lane), adalah sebahagian daripada pembangunan infrastruktur untuk menyokong penempatan semula Pangkalan Udara Paya Lebar pada masa hadapan.
Laluan baru untuk bas 975 tidak lagi melalui Lim Chu Kang Road, Old Lim Chu Kang Road dan Lorong Rusuk yang lama.
Sebaliknya, perkhidmatan ini telah diubah untuk melalui sebahagian besar Old Choa Chu Kang Road sebelum bersambung dengan Lim Chu Kang Road yang dibina semula.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan dalam satu kenyataan pada 26 Mei lalu bahawa pindaan laluan ini termasuk penambahan lapan perhentian bas baru di sepanjang Lim Chu Kang Road yang dilaras semula.
Ini menyediakan akses baru untuk penumpang ke kawasan perindustrian dan kem tentera di kawasan itu, sementara enam perhentian bas di Jalan Bahar dan Old Choa Chu Kang Road dipindahkan.
Di samping itu, Cik Rizaliah juga mengambil kesempatan untuk meneroka laluan baru bas itu dan mendapati bahawa ia juga lebih dekat untuknya ke perkuburan Kg Bereh, yang terletak berhampiran kubur Hindu di hujung jalan Cemetery South St 18.
Menaiki dari bas perhentian yang sama, sebelum Garden of Remembrance, berhampiran Pejabat Penggalian Semula Tanah Perkuburan Islam, Cik Rizaliah turun setelah dua perhentian, selepas Nirvania Memorial Garden.
Menurut Cik Rizaliah, keluarga suaminya asal dari Kg Bereh dan tanah tersebut dikatakan tanah wakaf dan ia menjadi perkuburan penduduk kampung tersebut.
“Sebelum ini, perkuburan itu memang sangat sukar diakses dengan bas awam dan saya hanya bergantung kepada suami untuk pandu masuk,” tambah Cik Rizaliah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg