Jika kebiasaannya mereka memalu kompang untuk memeriahkan majlis perkahwinan, Kumpulan Kompang Nur Ikhwan baru-baru ini membawa seni tradisional itu ke pentas pertandingan antarabangsa di Melaka dan berjaya mengharumkan nama Singapura.

Bersaing dengan 13 kumpulan lain dari Malaysia dan Indonesia dalam kategori dewasa, kumpulan itu merangkul gelaran juara di Pertandingan Kompang Nusantara 2026 anjuran Institut Warisan Melaka (INSWA) di Tapak Perasmian Kemerdekaan, Melaka, pada 11 Oktober.

Kumpulan yang dianggotai 25 orang itu merupakan gabungan dua kumpulan kompang mapan, iaitu Kumpulan Kompang Nurul Ihsan dan Kumpulan Kompang Anang Sukma.

“Kami sering bergabung kerana kedua-dua kumpulan mempunyai matlamat sama untuk memartabatkan kesenian tradisional agar dapat diwarisi generasi akan datang,” kata pengerusi bersama Kumpulan Kompang Nur Ikhwan, Encik Nu’aim Syukri Yusri, 29 tahun, ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Menurut beliau, kumpulan itu menggabungkan seni kompang dan hadrah dengan rentak tradisional Melayu seperti zapin dan joget dalam persembahan selama 10 minit.

Persembahan mereka dibahagikan kepada dua segmen, dengan segmen pertama mengetengahkan paluan kompang Melayu dan Hadrah Perak bagi mengiringi lagu selawat Ya Manmanan.

Segmen kedua pula menampilkan gabungan paluan kompang Melayu dengan rentak joget, samrah dan zapin menerusi lagu Seni Budaya.

“Kami memberikan nafas baru kepada persembahan dengan menerapkan rentak gendang Melayu agar lebih menarik dan dapat mencuri perhatian penonton.

“Tujuan kami menggabungkan pelbagai rentak juga adalah untuk menguji kemampuan kami mempersembahkan kepelbagaian irama tradisional Melayu menerusi paluan kompang,” jelas beliau, yang bekerja sepenuh masa sebagai pengurus akses identiti.

Meskipun telah membuat persiapan rapi, Encik Syukri mengakui beliau dan rakan-rakannya tidak menjangkakan kemenangan tersebut memandangkan saingan sengit daripada kumpulan luar negara.

“Sejujurnya, saya dan rakan-rakan tidak menyangkakan bahawa kami muncul juara kerana persembahan kumpulan dari luar negara juga tak kurang hebatnya, dengan pelbagai rentak paluan yang dipersembahkan,” tambahnya.

Kumpulan Kompang Nur Ikhwan menggabungkan paluan kompang dengan pelbagai rentak tradisional Melayu seperti zapin dan joget dalam persembahan mereka.
Kumpulan Kompang Nur Ikhwan menggabungkan paluan kompang dengan pelbagai rentak tradisional Melayu seperti zapin dan joget dalam persembahan mereka. - Foto ihsan NU’AIM SYUKRI YUSRI

Malah, beliau berkata penyertaan mereka dalam pertandingan itu bukan semata-mata untuk merebut gelaran juara, tetapi juga untuk menimba pengalaman dan mempelajari corak persembahan daripada kumpulan lain.

Bak kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, kemenangan kumpulan tersebut juga datang dengan usaha gigih dan cabaran.

Menurut Encik Syukri, mereka mengadakan latihan dua kali seminggu selama sebulan bagi memastikan persembahan berjalan lancar.

Walaupun gigih berlatih, beliau berkata terdapat anggota kumpulan yang demam, batuk dan hilang suara dalam hampir setiap sesi latihan.

“Cabaran ketika pertandingan ialah keadaan jerebu di Melaka yang menjejaskan pernafasan peserta semasa membuat persembahan,” terangnya.

Walaupun berdepan cabaran tersebut, Encik Syukri berkata kumpulan itu tetap cekal dan memberikan persembahan terbaik berbekalkan semangat untuk memartabatkan seni kompang.

Hasil kemenangan itu, Kumpulan Kompang Nur Ikhwan membawa pulang sebuah piala dan hadiah wang tunai RM3,500 ($1,095).

“Kemenangan ini memberi kami semangat untuk terus berusaha dengan lebih gigih dalam melestarikan kesenian kompang dan hadrah,” kata Encik Syukri.