Topik diikuti
Pergi ke BHkuGenerasi ketiga pertahan warisan kompang Nurul Ihsan
Pesta ‘Gema Gemersik Budaya’ buka ruang masyarakat pelbagai generasi hayati seni budaya Melayu
Generasi ketiga pertahan warisan kompang Nurul Ihsan
Paluan kompang bukan sekadar minat bagi Encik Nu’aim Syukri Yusri, malah merupakan warisan keluarga yang terus dipertahankan hingga kini.
Encik Syukri, 29 tahun, merupakan generasi ketiga keluarganya yang meneruskan seni tradisional itu menerusi kumpulan kompang Nurul Ihsan, yang digerakkan datuknya pada 1975.
Ia kini dikendalikan bapanya, Encik Yusri Muhamad, 57 tahun.
Encik Syukri, beserta adik lelakinya, Encik Nu’man Syahmi Yusri, 26 tahun, pula mula menyertai kumpulan tersebut seawal usia lima tahun.
Kini, beliau turut membantu mengendalikan latihan kompang Nurul Ihsan serta mengurus persembahan kumpulan itu di majlis perkahwinan.
Encik Syukri, yang juga jurulatih kompang bertauliah Persatuan Rakyat (PA), akur menyaksikan kompang melalui pelbagai perubahan, khususnya dari segi teknik permainan dan susunan irama.
“Generasi kini mempunyai keinginan berbeza dan mahu cari cabaran lebih besar dari segi kreativiti mereka.
“Masyarakat perlu memberi ruang kepada generasi muda untuk meneroka dan mengembangkan seni kompang.
“Bagaimanapun, dalam membawa pembaharuan, asasnya (seperti teknik paluan melalu, menyilang dan meningkah) tetap perlu dipelihara.
“Kalau asasnya tidak dijaga, pada masa depan, generasi seterusnya tidak akan mengetahui lagi asas kompang itu,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Kompang kini, kata Encik Syukri, tidak lagi terhad kepada majlis perkahwinan, malah semakin mendapat tempat dalam pelbagai acara dan persembahan.
Antaranya, menerusi pesta Gema Gemersik Budaya, di mana Encik Syukri bersama kumpulan Nurul Ihsan mempersembahkan seni kompang kepada lebih 600 penduduk dan anggota masyarakat yang hadir di Kelab Masyarakat Bukit Batok East pada 3 Oktober.
Buat julung-julung kalinya, ia diadakan di Kelab Masyarakat Bukit Batok East.
Dianjurkan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), pesta budaya Melayu itu bertujuan meningkatkan penghargaan terhadap budaya Melayu dalam kalangan masyarakat merentas generasi.
Pada masa sama, ia diharap dapat menyediakan ruang untuk masyarakat, khususnya golongan muda mengenali budaya serta warisan sendiri, di samping mengeratkan hubungan dalam masyarakat.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata budaya dan warisan Melayu merupakan sebahagian penting daripada identiti masyarakat.
Ia turut menyumbang kepada pembentukan jati diri bersama Singapura.
“Melalui Gema Gemersik Budaya, kami berharap dapat mewujudkan lebih banyak peluang bagi penduduk, khususnya generasi muda mengalami sendiri budaya kita.
“Apabila keluarga dan generasi berbeza berkumpul dalam acara seperti ini, kita dapat memastikan budaya Melayu terus hidup, di samping memperkukuh jati diri dan hubungan kita sebagai satu masyarakat,” kata Cik Rahayu.
Beliau juga merupakan penasihat pertubuhan akar umbi (GRO) GRC Jurong East-Bukit Batok.
Turut menghadiri acara itu ialah penasihat GRO GRC Jurong East-Bukit Batok, Encik Lee Hong Chuang dan Encik David Hoe, serta penasihat GRO Jurong Central, Encik Xie Yao Quan.
Salah satu acara utama pesta itu ialah sesi permainan angklung beramai-ramai kendalian MAEC Kelab Masyarakat Jurong Green, melibatkan 100 angklung.
Dengan bimbingan seorang pengajar, setiap peserta diperkenalkan kepada nada berbeza dan diajar memberi respons kepada isyarat tangan sebelum memainkan beberapa lagu terkenal secara bersama.
Antaranya termasuk, Burung Kakak Tua, Singapura, Di Tanjong Katong dan Bengawan Solo.
Acara itu turut diserikan dengan persembahan artis tempatan termasuk penyanyi veteran, Rahimah Rahim dan penyanyi ‘rap’, Alyph, serta kumpulan orkes tradisional Melayu, Sri Mahligai.
Selain persembahan pentas, pengunjung dapat mendekati budaya Melayu menerusi makanan, permainan tradisional dan pertandingan busana terbaik.