Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tuah beli cermin mata, digelar ‘jutawan’ sekelip mata

Jan 15, 2026 | 5:54 PM
Pemenang bertuah, Cik Julianah Daud, dengan replika cek bernilai $1 juta selepas dinobatkan pemenang utama kempen OWNDAYS Mega Draw pada 11 Januari lalu.
Pemenang bertuah, Cik Julianah Daud, dengan replika cek bernilai $1 juta selepas dinobatkan pemenang utama kempen OWNDAYS Mega Draw pada 11 Januari lalu. - Foto OWNDAYS

Sewaktu beliau sibuk memilih mainan untuk anak-anaknya di kedai mainan di Orchard Road, Cik Julianah Daud, 43 tahun, tidak menyangka bahawa beliau sendiri bakal menerima hadiah bermakna dalam hidupnya.

Penganalisis kanan berusia 43 tahun itu mengimbau kembali detik beliau diumumkan pemenang hadiah wang tunai $1 juta dalam cabutan bertuah kedai cermin mata, OWNDAYS, pada 11 Januari lalu.

Menceritakan mengenai kemenangannya itu kepada Berita Harian, Cik Julianah berkata beliau menyedari mengenai kempen cabutan bertuah itu pada November 2025.

“Memandangkan saya perlukan cermin mata dan lekap mata baru, saya membuat pembelian itu di cawangan OWNDAYS di Causeway Point, Woodlands, dan secara automatik saya disertakan dalam kempen Mega OWNDAYS.

“Saya terperanjat apabila pasukan OWNDAYS menelefon untuk memberitahu saya antara peserta finalis untuk cabutan hadiah utama.

“Saya telah dijemput untuk menghadiri cabutan bertuah itu secara maya ataupun secara fizikal di cawangan OWNDAYS di Waterway Point (Punggol), dan saya memilih untuk menyertainya menerusi panggilan video.

“Apabila saya melihat nama saya telah dicabut untuk hadiah utama, saya terperanjat, rasa tidak percaya.

“Saya mula tertanya-tanya kepada diri sendiri, “Adakah ini betul terjadi?” Namun rasa sangsi itu berganti dengan perasaan amat bersyukur dan sangat terharu. Ia adalah detik yang merubah kehidupan dan saya tidak pernah menyangka ia akan berlaku kepada saya,” ujar ibu kepada empat anak berusia antara lima dan 14 tahun.

Menurut Cik Julianah, suaminya segera menyedari reaksi wajahnya yang terkejut, manakala anak sulungnya terus memeluknya sebagai tanda sokongan sebaik sahaja berita gembira itu disahkan.

Cik Julianah merupakan pelanggan setia cawangan OWNDAYS sejak 2016 dan kini memiliki empat pasang cermin mata daripada jenama tersebut.

“Saya sangat menghargai mutu dan reka bentuk (produk) mereka dan pengalaman pembelian secara menyeluruh,” tambahnya.

Cik Julianah sudah memikirkan cara untuk menggunakan wang kemenangannya itu.

“Keutamaan saya adalah keselamatan kewangan keluarga, wang simpanan mereka, masa depan anak-anak dan juga membayar serta melunaskan pembayaran tanggungan.

“Saya juga ingin merancang mahu bersikap hemat dan membuat keputusan dengan teliti, termasuk mengasingkan sebahagian wang tersebut untuk perancangan jangka panjang dan tujuan kebajikan yang bermakna,” jelas Cik Julianah.

Jurucakap OWNDAYS berkata bahawa kempen ‘Own your Days’ melalui cabutan bertuah sejuta dolar syarikat OWNDAYS dari Jepun itu meraikan kesan transformasi melalui “penglihatan yang jelas, yang mampu memberi inspirasi kepada setiap individu untuk berani membuat pilihan, bertindak dengan penuh tujuan dan menjalani kehidupan dengan sebaiknya”.

“Ia mencerminkan dedikasi OWNDAYS untuk memperkasakan orang ramai untuk mengenali peluang dan dengan yakin mencorak laluan mereka sendiri,” kata jurucakap itu.

Cik Julianah turut mengulas mengenai perjalanannya dalam cabutan bertuah tersebut dengan menitipkan pesanan agar orang ramai tidak meremehkan peluang kecil.

“Jangan memandang rendah peluang kecil dan sertai penyertaan serupa dengan hati yang terbuka. Saya tidak pernah menyangka akan meraih kemenangan ini tetapi pengalaman ini menjadi peringatan bahawa berkat dan rezeki yang tidak dijangka boleh berlaku,” katanya lagi sambil menzahirkan rasa terima kasih atas segala sokongan dan ucapan baik yang diterimanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg