Kunjungan ke sebuah salon rambut di pusat beli-belah Paradigm Mall, Johor Bahru pada petang 11 Oktober bertukar menjadi huru-hara bagi warga Singapura berusia 44 tahun, Encik Douglas Ang, apabila dua lelaki bertopeng tiba-tiba menyimbah cat merah ke arah semua orang di dalam premis itu.
“Saya biasanya pergi ke cawangan KSL, tapi kali ini saya nak cuba cawangan baru ini. Pada mulanya, saya sangka ada penghantaran barang - sehinggalah saya dengar orang menjerit dan nampak kawan saya disimbah cat merah,” kata Encik Ang, seorang pengurus kecergasan, kepada akhbar The New Paper pada 12 Oktober.
Encik Ang berkata terdapat kira-kira 10 orang di dalam salon itu, termasuk kakitangan, semasa kejadian berlaku.
“Mereka terus lempar cat ke arah semua orang dan lari. Memang kelam-kabut. Mereka bertopeng, jadi saya tak dapat cam siapa mereka,” tambahnya.
Beliau menyatakan bahawa beliau mungkin tidak akan kembali ke cawangan tersebut kerana ia bukan cawangan yang biasa dikunjunginya.
Salon itu dikatakan merupakan jenama terkenal di Malaysia yang telah beroperasi sejak 2004 dan mempunyai empat cawangan di seluruh negara.
Dalam catatannya di Facebook pada 11 Oktober, Encik Ang berkata beliau terpaksa menunggu hampir dua jam untuk pihak polis datang dan mengambil keterangan beliau selepas salon itu membuat laporan.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), seorang pekerja salon itu yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Tan, berkongsi bahawa laporan polis telah dibuat dan siasatan masih dijalankan.
“Setakat ini, kami tidak tahu siapa yang melakukannya,” kata Cik Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg