JOHOR BAHRU: Pengunjung sebuah pusat beli-belah popular di Johor Bahru terkejut selepas sebahagian siling premis berkenaan runtuh pada malam 8 Mac.
Menurut Buletin TV3, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden yang berlaku di tingkat satu pusat beli-belah KSL City yang menempatkan beberapa kios serta restoran.
Runtuhan itu juga menyebabkan sebahagian struktur siling menimpa beberapa premis perniagaan. Gambar dan video kejadian itu turut tular di media sosial.
Tinjauan di pusat beli belah itu pada 9 Mac melaporkan pekerja sibuk menjalankan kerja-kerja membaik pulih bahagian siling yang runtuh.
Seorang pekerja yang baru dua bulan bekerja di pusat beli-belah itu menyatakan beliau terpaksa ‘lari’ dari tempat kerjanya.
Ini apabila siling di atas kedai mainan tempat beliau bekerja runtuh pada malam 8 Mac, menyebabkan serpihan jatuh dan memaksanya melarikan diri.
Pekerja itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Ngui, menceritakan bahawa beliau kali pertama mendengar bunyi yang datang dari siling sekitar 7 malam.
“Ia bermula dengan bunyi kecil, kemudian retak yang ketara muncul. Retakan semakin panjang dan serpihan mula jatuh sebelum keseluruhan siling runtuh,” katanya.
Keruntuhan, yang berlaku di tingkat pertama pusat beli-belah itu di Taman Abad itu mengejutkan pembeli. Mujur tiada sesiapa yang cedera. Imej dan video kejadian itu tular di media sosial.
Encik Ngui, 23 tahun, menggesa pengurusan pusat beli-belah itu mengambil tindakan dan mengambil langkah keselamatan dan penyelenggaraan bangunan itu. Beliau adalah antara beberapa pekerja dan pemilik kedai yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan bangunan itu berikutan keruntuhan itu.
Seorang pemilik kedai kosmetik, yang hanya memberikan namanya sebagai Cik Lau, 32 tahun, percaya kerosakan itu mungkin disebabkan oleh wayar yang menahan bingkai siling.
“Anda boleh mendengar wayar terputus satu demi satu. Mereka telah menjadi berkarat selepas terdedah kepada pemeluwapan lembab penghawa dingin.
“Beberapa serpihan jatuh ke kedai saya, merosakkan sistem lampu dan beberapa produk solekan yang saya jual,” katanya, lapor The Star.
Seorang pekerja salun rambut, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Tan, mendakwa terdapat kejadian serupa pada hujung minggu sebelumnya, walaupun dalam skala yang lebih kecil.
“Ia berlaku di tingkat bawah,” katanya sambil menambah bahawa bangunan itu sudah lama.
Penolong Pesuruhjaya Johor Bahru Selatan, Encik Raub Selamat, berkata polis sedang menyiasat perkara itu walaupun tiada laporan polis dibuat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg