Seorang lelaki berusia 26 tahun telah ditahan selepas didapati duduk dalam keadaan berbahaya di belebas tingkat enam sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Kejadian itu berlaku pada sekitar 7.10 pagi 7 Jun di Blok 499C Tampines Avenue 9.

Menurut akhbar Lianhe Zaobao, video berkenaan kejadian itu yang dimuat naik ke saluran ‘SGFOLLOWSALL’ di wadah pesanan Telegram menunjukkan lelaki itu duduk di bahagian luar belebas unit tersebut.

Beberapa kereta bomba dan kereta polis, serta sekumpulan anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilihat berada di lokasi kejadian.

Menjawab pertanyaan laman web kewartawanan warga Stomp, SCDF dan Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata mereka menerima panggilan untuk bantuan pada kira-kira 7.10 pagi.

Sebaik sahaja anggota SCDF and SPF tiba, seorang individu, yang dipercayai lelaki tersebut, dilihat berdiri di atas belebas luar sebuah unit di tingkat enam.

SCDF mengerahkan beg udara dan Pasukan Bantuan Bencana dan Penyelamat (Dart) turut berada di lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga.

Tidak lama kemudian, lelaki itu berjaya diselamatkan oleh anggota SCDF.

SPF mengesahkan tiada sesiapa yang cedera, dan lelaki itu kemudiannya ditahan di bawah Akta Kesihatan Mental (Penjagaan dan Rawatan).