Lesen pemandu Grab didakwa lakukan gangguan seksual di JB dibatalkan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lesen pemandu Grab didakwa lakukan gangguan seksual di JB dibatalkan

Feb 4, 2026 | 5:33 PM

Lesen pemandu Grab didakwa lakukan gangguan seksual di JB dibatalkan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Lesen pemandu Grab dari Johor Bahru yang didakwa mengganggu  penumpang secara seksual telah dibatalkan susulan video tular menunjukkan mangsa dalam keadaan ketakutan.
Lesen pemandu Grab dari Johor Bahru yang didakwa mengganggu penumpang secara seksual telah dibatalkan susulan video tular menunjukkan mangsa dalam keadaan ketakutan. - Foto TANGKAP SKRIN VIDEO FACEBOOK

Lesen seorang pemandu e-panggilan di Johor Bahru yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang akan dibatalkan, lapor Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Pembatalan lesen PSV (Perkhidmatan Kenderaan Awam) ini bermaksud pemandu terbabit tidak lagi dibenarkan beroperasi sebagai pemandu di mana-mana platform e-panggilan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada 3 Februari.

Satu video yang tular di media sosial pada 1 Februari lalu memaparkan pemandu berkenaan menghulurkan tangannya ke arah tempat duduk penumpang belakang sambil bertanya mengenai usia mangsa dalam bahasa Mandarin.

Individu yang memuat naik hantaran itu, yang mendakwa sebagai adik-beradik mangsa, berkongsi dua video di media sosial berserta butiran perjalanan tersebut.

Menurut hantaran itu, insiden berlaku ketika penumpang wanita berkenaan sedang dalam perjalanan dari Taman Mount Austin menuju ke R&F Mall yang terletak berhampiran Tambak Johor.

Dalam video tersebut, lengan pemandu dilihat cuba memegang peha penumpang, sementara kedengaran bertanya: “Berapa umur awak tahun ini? Boleh awak cakap bahasa Mandarin?”

View post on Instagram
 

Penumpang tersebut terpaksa menggunakan tangannya untuk menghadang daripada dicapai oleh pemandu itu, sebelum memegang erat pakaiannya dan memilih untuk tidak menjawab.

Menurut hantaran itu, mangsa menangis dan trauma akibat kejadian itu serta mengunci diri di dalam bilik sejurus tiba di rumah.

Sementara itu, pihak polis di Johor Bahru dilaporkan sedang menjalankan siasatan terhadap rakaman video yang menunjukkan insiden berkenaan.

Kementerian Pengangkutan menjelaskan pembatalan lesen PSV ialah langkah tegas bagi memastikan individu terbabit dilarang sama sekali daripada terlibat dalam industri e-panggilan.

“Pihak kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga akan memanggil semua pengendali e-panggilan untuk membentangkan pelan tindakan penambahbaikan bagi mempertingkatkan keselamatan penumpang.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tingkah laku yang menjejaskan keselamatan penumpang dan bersedia memberikan sokongan kepada mangsa bagi memastikan tindakan polis diambil terhadap pelaku,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam laporan lain, pemandu Grab yang didakwa telah dikenal pasti sebagai seorang guru sekolah.

Menurut laporan Sin Chew Daily, lelaki tersebut mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Johor Jaya di Johor Bahru.

Pengerusi sekolah berkenaan dilaporkan menyatakan bahawa sebaik sahaja identiti pemandu itu disahkan, kes tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor untuk tindakan lanjut.

Pengerusi itu memberitahu Sin Chew Daily bahawa pihak sekolah masih menunggu pengesahan lanjut daripada guru besar.

Beliau menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat menentukan situasi sebenar hanya berdasarkan video-video yang tular di Internet semata-mata.

“Memandangkan terdapat lebih daripada 100 orang guru di sekolah itu dan insiden tersebut pula berlaku di luar kawasan kampus, pihak sekolah tidak dapat mengecam lelaki berkenaan, katanya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg