Topik diikuti
Pergi ke BHkuMadrasah Aljunied juarai pertandingan debat bahasa Arab di M’sia pada Hari Kebangsaan S’pura
Digelar johan pada Hari Kebangsaan S’pura buat kemenangan lebih manis
Selepas tiga tahun bertanding, pasukan Madrasah Aljunied Al-Islamiah akhirnya muncul johan bagi kategori bahasa Arab dalam Kejohanan Debat Antara Sekolah (IDC) ke-23, yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), di Selangor, pada 9 Ogos.
Pertandingan itu, yang berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos, disertai 10 pasukan terbaik yang berjaya melepasi pusingan kelayakan dalam talian pada Julai.
Pasukan johan tersebut berdepan persaingan sengit antara 44 lagi pasukan dari serata Malaysia, Indonesia, serta Singapura, dan berjaya memenangi wang tunai sebanyak RM2,000 ($626.21).
Menurut pasukan johan, kejayaan itu lebih bermakna buat mereka kerana diraih tepat pada Hari Kebangsaan Singapura.
Pembahas terbaik daripada Madrasah Aljunied, Nuha Zahra Mohamad Adil, 16 tahun, berkata beliau berasa bangga kerana berpeluang mewakili Singapura dan membawa pulang gelaran johan pada hari istimewa itu.
“Saya berasa sangat bersyukur dan gembira dapat membanggakan nama Singapura dan sekolah pada Hari Kebangsaan kita,” ujar Nuha kepada Berita Harian (BH).
BH juga difahamkan bahawa beliau dan rakan sepasukan menaiki pentas untuk menerima hadiah sambil mengibarkan bendera Singapura dengan bangga.
Menurut guru yang mengendalikan kelab debat Madrasah Aljunied, Ustazah Siti Aisyah Baharuddin, kemenangan itu juga berkat kerja keras pelajar.
Menurutnya, para pelajar telah berlatih sekitar lapan jam setiap Sabtu sejak April untuk membina kemahiran mereka dari segi pengetahuan, bantahan, dan celahan.
Menjelang hari pertandingan, mereka juga menghadiri latihan tambahan dari 8 malam hingga 10 malam untuk tiga hingga empat kali seminggu sejak Julai, tambah Ustazah Siti Aisyah.
“Pertandingan ini telah mengasah pemikiran kritis dan kefasihan pelajar dalam bahasa Arab, kedua-duanya kemahiran penting untuk melahirkan pemimpin Islam global, iaitu visi madrasah kami,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, Madrasah Aljunied telah menghantar tiga pasukan untuk penyertaan mereka kali ini. Dari tiga pasukan itu, satu berjaya membawa pulang gelaran johan manakala dua lagi mara hingga ke peringkat separuh akhir dan pusingan kelayakan.
Pasukan johan tersebut terdiri daripada dua pelajar Menengah Empat, iaitu Nuha, dan Muhammad Hannan Mohammad Hafiz; serta dua pelajar pra-universiti tahun pertama, Nur Insyirah Norazlan, dan Raihana Zari.
Untuk pusingan terakhir pertandingan itu, Madrasah Aljunied telah menewaskan pasukan Maahad Muar dari Malaysia dengan keputusan sebulat suara 7-0, di mana tujuh ahli juri menyokong kemenangan madrasah tersebut.
“Debat memerlukan kerjasama yang baik antara ahli pasukan kerana kami perlu saling menyokong dan membantu.
“Saya bersyukur dapat rakan sepasukan yang saling menyokong dan membuat pengalaman debat ini sangat bermakna,” luah Nuha.
Menurutnya, beliau dan rakan sepasukan juga menerima sokongan utuh dari alumni dan guru madrasah yang turut hadir di pertandingan itu.
“Kami sangat berterima kasih kepada mereka yang telah menyokong kami termasuk pihak sekolah.
“Ini merupakan satu pengakhiran manis kepada penglibatan saya dalam kelab debat sebelum saya mengikuti Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) tahun depan,” tambah beliau.

