Topik diikuti
Pergi ke BHkuPokok durian Lorong Lew Lian kembali berbuah, orang ramai dinasihati ‘usah petik’
Pokok durian Lorong Lew Lian kembali berbuah, orang ramai dinasihati ‘usah petik’
Pokok durian Lorong Lew Lian kembali berbuah, orang ramai dinasihati ‘usah petik’
Raja Buah kini kembali memegang takhtanya di Lorong Lew Lian.
Kawasan cerun bukit berhampiran Blok 4 dan 5 di situ mula dipenuhi buah durian yang sedang sarat membesar.
Ini sekali gus menghidupkan nama jalan tersebut yang membawa maksud ‘durian’ dalam dialek Hokkien, lebih-lebih lagi kerana kawasan itu merupakan bekas ladang durian sejak lebih 70 tahun lalu.
Apabila Berita Harian (BH) berkunjung ke kawasan tersebut pada petang 2 Jun, terdapat sebatang pokok durian yang berbuah sangat lebat di hujung Blok 5, berdekatan dengan jalan raya.
Jika dikira secara rambang, dianggarkan terdapat lebih 60 biji durian bergantung pada dahan-dahan pokok tersebut.
Disebabkan kedudukannya di atas cerun, pokok itu sudah mencapai ketinggian flat sekitar lima hingga enam tingkat.
Berdasarkan plak di sebelah pokok tersebut, pokok itu telah ditanam oleh Dr Ker Sin Tze pada 1995, yang ketika itu merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied (Paya Lebar).
Pengurus Perhubungan Majlis Bandaran Marine Parade–Braddell Heights, Cik Tan You Yi berkongsi bahawa terdapat 13 pokok durian di kawasan itu yang ditanam sejak 1995.
“Pokok durian yang sedia ada telah ditanam pada November 1995 semasa salah satu acara menanam pokok, dengan pokok tambahan ditanam kemudiannya bagi meraikan sambutan SG50 pada 2015. Hari ini, pokok-pokok ini kekal sebagai ciri istimewa estet ini dan mencerminkan identiti sejarahnya,” ujar beliau dalam satu kenyataan kepada BH pada 2 Jun.
Antara yang menanam pokok-pokok itu termasuk Perdana Menteri pada 1995, Encik Goh Chok Tong dan mantan AP GRC Aljunied pada 1995, Allahyarham Mohamad Maidin Packer Mohamed.
Mengulas mengenai aspek keselamatan dan pengurusan sepanjang musim berbuah ini, Cik Tan memberi jaminan bahawa langkah proaktif sentiasa diambil oleh pihak mereka.
“Semasa musim berbuah, kontraktor hortikultur Majlis Bandaran memantau dengan teliti pokok-pokok dan menjalankan kerja pemetikan awal buah-buahan di mana perlu bagi mengurangkan risiko durian gugur. Tanda amaran juga dipaparkan di sekitar kawasan untuk menasihati orang ramai supaya tidak memetik atau mengambil buah-buahan demi keselamatan mereka,” kata Cik Tan.
Memandangkan langkah berjaga-jaga telah diambil, Cik Tan menambah bahawa buat masa ini, tiada rancangan untuk menutup kawasan cerun tersebut.
“Walaupun Majlis Bandaran menghargai ciri-ciri warisan unik yang disumbangkan oleh pokok-pokok ini kepada estet, kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menambah atau menanam pokok buah-buahan baharu di kawasan itu buat masa ini,” katanya lagi.
Malah, pihak Majlis Bandaran turut mengesahkan bahawa keadaan di estet berkenaan setakat ini bebas daripada sebarang aduan rasmi.
“Sehingga kini, Majlis Bandaran belum menerima sebarang maklum balas atau aduan daripada penduduk mengenai pokok-pokok durian tersebut, mahupun tentang tindakan penduduk memetik atau mengumpul durian di kawasan itu. Tambahan pula, tiada insiden dilaporkan melibatkan buah durian gugur yang menyebabkan kecederaan kepada orang awam atau kerosakan harta benda,” jelas Cik Tan.
Kebimbangan mengenai keselamatan awam di kawasan kejiranan sering menjadi topik hangat setiap kali musim buah bermula.
Memandangkan sebahagian buah durian ini tumbuh berhampiran laluan pejalan kaki, langkah berhati-hati perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, selain memastikan keadaan estet kekal teratur tanpa kesesakan oleh pemburu durian percuma.
Bercakap dengan BH, seorang penduduk dari Blok 2, Cik Cat Thiam, 70 tahun, yang telah menetap di estet berkenaan selama lebih 30 tahun berkongsi bahawa ini bukanlah kali pertama pokok-pokok di kawasan itu berbuah.
Malah sepanjang lebih tiga dekad tinggal di situ, beliau tidak pernah mendengar sebarang kejadian kecederaan berkaitan buah durian.
“Walaupun saya sendiri tidak pernah merasa durian daripada pokok-pokok ini, jiran-jiran yang pernah mencubanya berkata rasanya memang manis.
“Melihat kepada saiz durian-durian itu sekarang, saya rasa mungkin dalam sebulan lagi baru ia masak dan sedia untuk gugur. Buat masa ini, saiz buahnya semua masih kelihatan kecil,” ulas Cik Thiam.
