Pelanggan yang ingin menambah sos tambahan kepada burger restoran segera McDonald‘s mendapati caj tambahan sebanyak 30 sen dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Beberapa pelanggan yang terkesan telah menggunakan platform media sosial Reddit untuk bertanya bila caj itu bermula, manakala yang lain meluahkan rasa kecewa.

“Kadang-kadang hidangan (sos) standard terlalu sedikit,” tulis seorang pengguna menulis dalam hantaran Reddit bermula pada 3 Jun. “Saya hanya terkejut kerana saya kini perlu membayar tambahan 30 sen berbanding percuma sebelum ini.”

Hingga 10 Jun, hantaran itu telah mendapat 90 komen dan lebih 200 tanda sokong.

Seorang lagi pengguna Reddit pula mencelah: “Saya selalu tambahkan sos tambahan untuk burger Double Filet-o-Fish atau McSpicy. Nampaknya, mungkin saya akan mula memesan burger Double Quarter Pounder mulai hari ini.”

Netizen lain juga berkata bahawa mereka memesan sos tambahan untuk mencelup kentang goreng mereka dan mengeluh bahawa hidangan standard tidak mencukupi.

Menurut laporan akbhar Straits Times, seorang jurucakap McDonald‘s berkata caj tambahan itu telah dilancarkan pada April lalu.

“Burger kami disediakan dengan ramuan standard bagi memastikan konsistensi dan kemampuan dalam menu kami,” kata jurucakap itu.

“Namun, bagi pelanggan yang gemar burger dengan sos yang lebih, kami gembira untuk memenuhi cita rasa anda dengan caj tambahan.”

Tinjauan ST mendapati caj 30 sen itu dikenakan kepada:

Sos McChicken: McSpicy, McChicken, Chicken Muffin, Scrambled Egg Burger
Sos Smoky: McCrispy, Smoky Beef
Black Pepper Mayo: Buttermilk Crispy Chicken
Sos BigMac: Big Mac
Sos Tartar: Filet-o-Fish

Mustard dan sos tomato – yang digunakan pada burger seperti Cheeseburger, Quarter Pounder dan Hamburger – kelihatan tidak termasuk dalam caj berkenaan.

Sebelum ini, McDonald’ss mula mengenakan bayaran kepada pelanggan untuk perasa (condiment) tambahan mulai 2 Januari 2025.

Pada masa itu, mereka memberikan sebab pembaziran makanan dan peningkatan kos bahan mentah sebagai punca utama langkah tersebut diambil.

Sos yang terjejas ialah sos yang dihidangkan dalam tab kecil dan paket misalnya Chicken McNuggets Dipping Sauce (barbeku, kari, honey mustard (madu mastar), sirap penkek, mentega dan sos salad.

Bagaimanapun, sos tomato dan sos cili bawang putih masih percuma.