Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk bimbang isu merpati di Chai Chee berlarutan selama bertahun
Penduduk bimbang isu merpati di Chai Chee berlarutan selama bertahun
Penduduk bimbang isu merpati di Chai Chee berlarutan selama bertahun
Sebaik sahaja menjejak langkah ke kawasan estet perumahan Blok 805 Chai Chee Road, penduduk atau pengunjung mungkin mendengar kibasan sayap burung-burung merpati dan juga kokokan ayam hutan.
Apabila memandang ke atas, kelihatan lebih 10 ekor burung merpati sedang bertenggek di tingkap salah satu unit blok tersebut.
Isu tentang burung merpati di blok itu mendapat perhatian baru-baru ini apabila pengguna laman Reddit ‘WeightLittle8210’ memuatnaikkan video pada 2 Jun menunjukkan keadaan di blok tersebut.
Kapsyennya tertulis: “Saksikan sendiri... apa sahaja situasi ini. Saya telah melaporkannya kepada pihak berkuasa dan menyarankan agar anda semua turut melakukan perkara yang sama.
“Ini mungkin kali pertama saya melihat burung sebanyak ini di sebuah unit flat. Malah, lebih banyak lagi burung yang terbang keluar sebaik sahaja saya berhenti merakam video.”
Apabila wartawan Berita Harian (BH) mengunjungi unit berkenaan pada petang 4 Jun, terdapat sebuah beg plastik putih diikat ketat, diisi beras mentah.
Kalau dianggarkan mungkin beratnya lebih 2 kilogram.
Mengetuk pintu unit di hujung itu yang berhadapan taman riadah dan juga bertentangan bangunan industri, wartawan tidak mendapat respons.
Namun, beberapa saat kemudian, boleh terdengar seseorang mengebas sesuatu dan serta-merta kedengaran kuat kibasan sayap burung-burung merpati itu terbang ke tempat lain.
Tidak sampai 10 saat kemudian, mereka mula hinggap semula di tembok rendah di bawah tingkap tersebut.
Di dalam lif blok tersebut juga mendapati terdapat poster amaran rasmi yang ditampal oleh Majlis Bandaran East Coast.
Poster tersebut dengan jelas menyatakan: “Memberi makan kepada burung merpati adalah haram. Najis mereka boleh mengotorkan alam sekitar, pakaian dan menyebarkan penyakit. Pesalah boleh didenda hingga $10,000.”
Bercakap dengan BH, seorang jiran di tingkat dua, Cik Jennifer De Souza, berkata masalah burung merpati ini sudah berlarutan sejak awal lagi.
“Saya menetap di sini sejak 1999 dan masalah ini sudah bermula. Penghuninya seorang wanita tua dan dulu beliau sering menolak troli memberi makan merpati di bawah blok.
“Sekarang beliau sudah tidak kelihatan di luar, mungkin kerana faktor usia. Tetapi aktiviti itu nampaknya beralih ke tingkap rumahnya di tingkat lima,” kata Cik De Souza, 70 tahun.
“Setiap kali burung-burung itu terbang melintasi kawasan kami, saya bimbang jika terkena najisnya. Najis merpati boleh membawa penyakit berbahaya seperti meningitis,” kongsi CIk De Souza.
Meskipun masalah kebersihan koridor menjadi kerisauan, tinjauan mendapati bahawa burung-burung merpati itu turut tertumpu di bangunan industri yang terletak bertentangan dengan blok perumahan tersebut.
Secara rambang, terdapat lebih 100 ekor merpati bertenggek dan mencari teduh di bangunan itu.
Bagaimanapun, kehadiran ratusan burung ini dipandang dari sudut berbeza oleh sebahagian penduduk lain yang memilih untuk bersikap pasrah atas dasar ihsan terhadap haiwan.
Encik Omar Abu Samah, seorang penduduk di Blok 803 yang sudah menetap di kawasan tersebut selama lebih 30 tahun berkata dahulu keadaan lebih teruk tetapi setelah mereka membina taman riadah dengan taman permainan di kawasan itu, jumlah burung kelihatan berkurang.
“Secara keseluruhan saya tidak terjejas dengan situasi ini. Burung-burung juga makhluk ciptaan Tuhan. Kita manusia sudah ambil tempat tinggal asal mereka melalui pembangunan, jadi ke mana lagi mereka boleh pergi? Memang betul undang-undang menetapkan kita tidak boleh memberi makan, tetapi manusia ini adakalanya degil. Ya, burung memang banyak di sini, tetapi nak buat macam mana?” seloroh Encik Omar, 67 tahun.
Dalam pada itu, usaha rasmi untuk menangani masalah kacau ganggu tersebut sebenarnya sudah pun bermula di sebalik tabir.
Menjawab pertanyaan BH, Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Majlis Bandaran East Coast (ECTC), Cik Patricia Lim, mengesahkan pihaknya sedia maklum mengenai situasi di Blok 805 Chai Chee Road itu dan sedang giat bekerjasama dengan Lembaga Taman Negara (NParks) serta Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Mendedahkan kesukaran yang dihadapi pihak berkuasa, Cik Lim berkata: “Sejak Februari 2026, para pegawai kami telah cuba mendekati penghuni unit berkenaan. Usaha kami setakat ini belum berjaya dan kami akan terus berusaha untuk menghubungi penghuni tersebut.”
Jelasnya lagi, perbuatan memberi makan kepada burung dan pembuangan sampah dari tingkat tinggi masing-masing merupakan kesalahan di bawah bidang kuasa NParks dan NEA, namun pihak Majlis Bandaran akan terus membantu agensi-agensi tersebut sekiranya perlu.
“Penduduk yang mempunyai sebarang kemusykilan amat dialu-alukan untuk mengemukakan maklum balas kepada pihak Majlis Bandaran, atau secara langsung kepada NParks dan NEA melalui saluran maklum balas masing-masing,” ujar Cik Lim.
