Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengesahkan bahawa pihak Kedutaan Singapura di Berlin sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Jerman bagi menguruskan jenazah seorang warga Singapura yang dilaporkan meninggal dunia di sana baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan kepada Berita Harian (BH) pada 24 April, jurucakap MFA berkata:

“Kedutaan Singapura di Berlin sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Jerman dan waris mangsa bagi memastikan aturan pengebumian sesuai bagi warga Singapura yang meninggal dunia itu dijalankan mengikut kehendak keluarga.”

Pengesahan rasmi ini menyusuli laporan BH sebelum ini mengenai usaha masyarakat di Berlin dan Singapura yang menggunakan kuasa media sosial bagi mengesan waris warga Singapura yang dikenali sebagai Nurzamirah Jali, menurut hantaran media sosial tersebut pada 20 April.

Allahyarhamha dilaporkan meninggal dunia sendirian di kediamannya di Berlin sekitar pertengahan April lalu, tulis hantaran itu.

Kes beliau mendapat perhatian ramai selepas satu mesej berantai tular di aplikasi WhatsApp, TikTok, dan Reddit yang merayu agar waris mangsa segera dicari bagi mengelakkan jenazahnya diuruskan melalui pembakaran mayat oleh pihak berkuasa tempatan sekiranya tidak dituntut.

Hasil tularan tersebut, seorang individu di Berlin yang membantu usaha pencarian, Cik Amy Tashiana Ali, mengesahkan kepada BH bahawa waris mangsa telah berjaya dikesan dan kini sedang berhubung dengan pihak kedutaan.

BH juga telah menghubungi Cik Amy bagi mendapatkan perkembangan terkini sama ada jenazah Allahyarhamha sudah pun selamat disemadikan.