Topik diikuti
Pergi ke BHkuWaris wanita Singapura maut di Berlin ditemui
Waris wanita Singapura maut di Berlin ditemui
Allahyarhamha dilaporkan meninggal dunia sendirian di kediamannya di Berlin
Waris wanita Singapura maut di Berlin ditemui
Waris kepada seorang wanita warga Singapura yang dilaporkan meninggal dunia di Berlin, Jerman, telah berjaya dikesan menyusuli usaha pencarian di media sosial sejak 20 April lalu.
Perkara itu dikongsikan oleh pengguna media sosial, Cik Amy Tashiana Ali, yang kemudian mengesahkan kepada Berita Harian (BH) pada 22 April bahawa beliau serta pihak keluarga kini sudah pun berhubung dengan Kedutaan Singapura di Berlin.
“Ramai orang Islam di Berlin tampil membantu untuk (memastikan arwah menjalani) upacara pengebumian Islam.
“Sekarang kami sedang mengumpul dana untuk membantu ahli keluarga menyelesaikan seluruh proses,” kata Cik Amy apabila dihubungi BH.
Cik Amy juga memberitahu BH bahawa beliau difahamkan pihak polis Jerman kini dalam proses menyerahkan jenazah kepada pihak kedutaan untuk tindakan lanjut.
Allahyarhamha, yang dikenali sebagai Nurzamirah Jali, sebelum ini dilaporkan meninggal dunia sendirian di kediamannya sekitar pertengahan April.
Mesej berantai yang tular di aplikasi WhatsApp dan wadah media sosial lain sebelum ini mendakwa pihak berkuasa sedang giat mencari waris mangsa bagi menguruskan jenazahnya secara Islam.
Mesej tersebut turut meluahkan kebimbangan bahawa jenazah mangsa mungkin akan diuruskan melalui pembakaran mayat oleh pihak berkuasa tempatan sekiranya tidak dituntut oleh ahli keluarga secara rasmi dalam masa terdekat.
“Teman-teman dan pihak kedutaan di Berlin telah cuba mengelakkan jenazah daripada diuruskan melalui pembakaran kerana tiada yang menuntutnya.
“Mohon kongsi dan tularkan agar dapat disemadikan secara Islam,” menurut petikan mesej awal itu pada 20 April di Facebook, TikTok dan Reddit.
Beberapa hantaran di forum masyarakat dalam talian turut mendakwa bahawa usaha melalui saluran rasmi setakat itu belum membuahkan hasil, menyebabkan rakan-rakan mangsa di Berlin terpaksa meminta bantuan netizen di Singapura.
BH telah menghubungi Kementerian Ehwal Luar (MFA) untuk mendapatkan komen.
