Komander Kru dan Inspektor Stesen (SI) Mohammad Ramdzan Yahya, daripada Polis Pengawal Pantai (PCG) bersama anggota pasukannya sedang melakukan rondaan di perairan Singapura pada 15 November lalu apabila mereka mengesan satu bot nelayan kecil.
Encik Ramdzan, yang bersama Penolong Komander Kru, Sarjan 2 Chan Yi Xiang dan Pegawai Rondaan, Sarjan 1 Sherwin Ong Eng Hui, kemudian menghampiri bot tersebut yang membawa dua nelayan dari Malaysia.
Encik Ramdzan mempercayai dua nelayan itu mungkin telah tersasar ke perairan Singapura semasa memancing.
Daripada mengambil pendekatan agresif, Encik Ramdzan mendekati mereka secara ramah.
“Saya selalu percaya pentingnya menggunakan pendekatan ramah apabila berinteraksi dengan orang awam. Setiap individu perlu dihormati, sedang kami bersikap profesional,” kata Encik Ramdzan, dalam satu hantaran media sosial Pasukan Polis Singapura (SPF).
Menurut hantaran itu lagi, dua nelayan itu kelihatan seperti dalam keadaan gementar, tetapi mereka segera memberikan kerjasama.
Tanpa disangka pasukan PCG itu, interaksi ramah mereka dalam menegur dua nelayan itu, telah dimuat naik ke media sosial, dan menarik perhatian ramai netizen.
Netizen memuji pendekatan Encik Ramdzan yang tegas namun penuh kemesraan, dan menggelarnya dengan panggilan mesra ‘Abang Polis’.
Encik Ramdzan berkata beliau benar-benar terkejut dan tersentuh apabila video itu tular.
“Saya benar-benar terkejut. Pada mulanya saya agak risau kerana kami tak tahu bagaimana perkara sebegini akan diterima,” katanya.
“Bila orang guna panggilan (Abang), ia membawa makna yang lebih mendalam. ‘Abang’ seperti memanggil seseorang yang bersifat pelindung, yang boleh dipercayai, yang menjaga kita,” kata Encik Ramdzan.
“Bersikap profesional dan tegas tidak bermaksud perlu kami perlu bersikap dingin atau agresif. Kami berurusan dengan manusia yang wajar dilayan dengan maruah dan hormat,” tambahnya.
Dalam video itu, beliau memberitahu para nelayan tentang protokol yang harus dijalankan dan menasihati mereka yang tersasar tidak perlu rasa takut atau lari bila berdepan dengan bot PCG.
Selain sikap hormat Pasukan Pantai Pengawal itu, netizen juga terhibur dengan pengakuan selamba Encik Ramdzan yang juga minat memancing.
Dalam video itu, beliau bertanya kepada nelayan sama ada mereka sudah berumah tangga, dan jika mereka mendapat kebenaran dari isteri untuk pergi memancing.
“Bini kasi? Itu yang penting. Bini saya kalau saya cakap nak pergi pancing, mukanya masam saja,” kata Encik Ramdzan dengan spontan, sekali gus mendapat usikan netizen.
Mujur, reaksi isterinya apabila melihat video itu turut menyentuh hati Encik Ramdzan.
“Beliau ketawa dan berkata beliau bangga dengan saya. Beliau nampak bagaimana saya cuba menenangkan para nelayan itu sambil tetap menyampaikan maksud saya dengan jelas,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg