Keluarga yang kukuh adalah kunci dalam mencegah salah guna dadah, dengan berkongsi maklumat dan memberi perlindungan yang baik, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Menurut beliau, dalam menangani bilangan penyalahgunaan dadah muda yang kian membimbangkan, antara langkah dalam rangka meningkatkan kesedaran ialah dengan menyalurkan individu ke kumpulan minat.
Maka itu, acara seperti pertandingan memancing Hooked on Hope 2025 yang julung kali diadakan adalah penting dalam menyebarkan mesej, kata Dr Faishal.
“Walaupun penyalahgunaan dadah di Singapura masih rendah, kadar penyalahgunaan muda yang ditangkap kian membimbangkan.
“Kita mesti terus fokus pada usaha meningkatkan kesedaran mengenai bahaya salah guna dadah dan mengarahkan orang kepada minat dan aktiviti positif seperti memancing,” ujar beliau.
Lebih 300 menyertai acara di Pasir Ris Park pada 9 Februari itu. Peserta berusia antara 14 dengan 75 tahun, termasuk dari Malaysia dan Batam.
Antaranya ialah peserta berkumpulan, seperti Team Crossbraided – kumpulan minat memancing yang menyatukan pemancing dari pelbagai tahap kemahiran untuk berkongsi pengetahuan, meningkatkan teknik, dan mempromosikan amalan memancing.
Kumpulan ini juga memberi tumpuan kepada pembentukan masyarakat yang kukuh dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam dunia memancing.
Acara bagi mengumpul dana itu berjaya mengumpulkan sejumlah $11,188 untuk Wondrously Woman GEM (WWGEM), sebuah pertubuhan yang menyokong wanita, terutama golongan ibu tunggal.
Seorang peserta, Encik Muhammad Hyqal Abdullah, 45 tahun, berkata dalam acara seperti ini, para peserta berbual merentasi sempadan dan menjadi kawan. Sambil itu, mesej positif dan menjadi pengaruh tersebar.
“Ia memupuk keharmonian, menerima kepelbagaian dan semangat kesukanan yang baik,” kata beliau.
Menurut Encik Hyqal, bapanya seorang penyalahgunaan dadah dan meninggalkan ibunya untuk membesarkan beliau dan adiknya sendirian.
“Maka itu saya adalah penyokong kuat menentang salah guna dadah dan menyokong usaha memperkasa wanita.
“Saya harap dana yang terkumpul ini dapat memberi manfaat kepada wanita-wanita yang mungkin menghadapi kesulitan, seperti yang pernah dialami oleh ibu saya,” kata Encik Hyqal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg