Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Paip tercabut di City Square Mall, air warna gelap pancut keluar

Sep 4, 2025 | 11:26 AM
Gambar dari tangkapan skrin video yang dimuat naik pengguna TikTok @.gurms menunjukkan kerosakan yang terjadi di KFC setelah paip pemercik air bocor di pusat beli-belah City Square pada 3 September.
Gambar dari tangkapan skrin video yang dimuat naik pengguna TikTok @.gurms menunjukkan kerosakan yang terjadi di KFC setelah paip pemercik air bocor di pusat beli-belah City Square pada 3 September. - Foto TANGKAP SKRIN TIKTOK/.GURMS

Sebuah paip pemercik air di salah satu tingkat bawah City Square Mall bocor pada malam 3 September, menyebabkan pengunjung pusat beli-belah itu bertempiaran mengelak pancutan air berwarna gelap.

Video yang dimuat naik di TikTok menunjukkan pelanggan di restoran makanan segera KFC di tingkat bawah satu meninggalkan makanan mereka bagi mengelak air yang bertakung di lantai. Air tersebut juga kelihatan mengalir masuk ke laluan bawah tanah menuju ke stesen MRT Farrer Park.

View post on TikTok

Jurucakap pusat beli-belah itu berkata mereka dimaklumkan mengenai insiden tersebut sekitar 7.40 malam, lapor The Straits Times.

“Dalam beberapa minit, pasukan operasi dan keselamatan mula mengalihkan orang ramai dari kawasan terjejas, manakala pasukan pembersihan diaktifkan untuk mula membersihkan kawasan berkenaan,” katanya.

“Hasil pemeriksaan mendapati puncanya ialah paip pemecut air yang tercabut, dan pam berkaitan segera ditutup.”

Menurut beliau, pasukan operasi sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk menyiasat punca paip pecah itu dan menjalankan kerja-kerja pembaikan.

“Usaha juga sedang dijalankan untuk memulihkan unit-unit yang terjejas secepat mungkin bagi mengurangkan gangguan kepada perniagaan penyewa,” tambahnya.

Jurucakap SBS Transit, Cik Grace Wu, berkata kakitangan stesen Farrer Park membantu penumpang manakala pekerja pembersihan membersihkan dan mengeringkan laluan yang terjejas.

“Perkhidmatan MRT dan operasi stesen tidak terjejas, kecuali sebuah eskalator yang ditutup sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Jurulatih gusti Olimpik, Encik Ali Parvin, yang sedang menjamu selera di restoran Wingstop berdekatan, berkata beliau terdengar bunyi kuat “seolah-olah sesuatu jatuh” sebelum melihat orang ramai berlari dari kawasan itu.

“Tidak lama selepas itu, penggera kebakaran pusat beli-belah berbunyi,” katanya.

“Pelanggan di sekeliling saya kelihatan keliru kerana ada yang tidak tahu apa sedang berlaku, sama ada kerana sedang makan atau menunggu. Namun tidak lama kemudian, semua mula berlari sambil membawa makanan masing-masing. Saya sendiri tidak sempat dapatkan makanan, hanya sempat capai resit.”

Beliau kemudian melihat air mengalir keluar dari paip pecah tersebut dan menambah bahawa air itu tidak berbau – hanya berwarna gelap.

Seorang pelajar politeknik berusia 18 tahun, Cik Naseeha Syed Yoosufsha, juga berkata beliau terdengar siren dan pengumuman. Pada mulanya, beliau menyangka ia penggera kebakaran kerana tidak jelas mendengar siaran tersebut.

Beliau kemudian melihat air memancar berhampiran restoran KFC dan mengalir ke arah premis makanan lain.

“Pelanggan yang dekat dengan pintu keluar sempat melarikan diri dengan cepat, tetapi yang lain ada yang berlindung di dalam kedai seperti Wingstop, malah ada yang berdiri di atas kerusi untuk mengelak air,” katanya, sambil menambah pekerja kedai makan Bake Inc dan Wok Hey segera mengemas kaunter masing-masing sementara pelanggan bertempiaran keluar.

Beliau bersama keluarganya membuat keputusan untuk meninggalkan kawasan itu sebelum keadaan bertambah buruk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg