Bayangkan mengeluarkan perbelanjaan $500,000 untuk mengubah suai rumah sendiri?

Bagi sesetengah orang, ia mungkin tidak masuk akal tetapi itulah yang sanggup dibelanjakan pasangan muda yang ingin memberi sentuhan unik kepada flat jualan semula lima bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka.

Menurut pembaca laman web kewartawanan warga Stomp, Zebelle, pemilik rumah yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Hengky, 39 tahun, dan Cik Alyssa, 34 tahun, menghabiskan setahun untuk mengubah rumah mereka menjadi ruang yang kelihatan bak bilik pameran mewah.

Encik Hengky, seorang pereka dalaman, dan Cik Alyssa, seorang jurubank, berkata mereka ingin rumah mereka kelihatan seunik mungkin.

Dihubungi Berita Harian (BH), Encik Hengky berkata ini merupakan rumah pertama mereka.

Menurut Stomp, antara aspek yang paling unik tentang rumah ini adalah ketiadaan dinding bercat yang jelas kelihatan.

Sebaliknya, permukaan di seluruh flat ini dilitupi dengan kepingan batu (stone slab), tekstur, pertukangan kayu yang disesuaikan, dan panel hiasan.

Malah, unit penghawa dingin juga telah disembunyikan di dalam binaan dalaman bagi mengekalkan kekemasan yang lancar dan menyeluruh.

Pemilik rumah menyatakan bahawa keputusan itu didorong oleh faktor estetika dan ciri praktikal.

“Dinding bercat mudah terkena kotoran, calar, keretakan, dan boleh luntur warna lama-kelamaan,” jelas mereka kepada Stomp.

Pasangan tersebut menganggap ruang yang paling menarik perhatian di dalam rumah mereka ialah bilik permainan berkonsep futuristik yang menampilkan panel dinding geometri, pencahayaan LED, dan siling langit bertaburan bintang.

Encik Hengky dalam bilik ‘gaming’, yang dianggap ruang yang paling menarik perhatian.
Encik Hengky dalam bilik ‘gaming’, yang dianggap ruang yang paling menarik perhatian. - Foto HENGKY

Encik Hengky kini tidak lagi kerap bermain permainan video, tetapi membina bilik tersebut demi merealisasikan impian zaman kanak-kanaknya.

Walaupun bilik itu mungkin tidak digunakan setiap hari, pasangan berkenaan berkata para tetamu paling kagum dengan ruang tersebut setiap kali mereka berkunjung.

Perbelanjaan tunggal terbesar adalah pemasangan kepingan batu yang meluas di seluruh rumah, yang menelan kos sekitar $40,000.

Apa yang menelan perbelanjaan $500,000?

Perbelanjaan terbesar utama merupakan pemasangan slab batu yang banyak, memakan kos kira-kira $40,000.

Kos ubah suai besar yang lain termasuk:

- Kerja-kerja meroboh dan memecah (hacking), pemasangan jubin, dan lantai: $115,000
- Pendawaian semula elektrik, sistem rumah pintar, dan pencahayaan: $80,000
- Kerja-kerja pertukangan kayu: $60,000
- Siling yang memaparkan imej langit bertaburan bintang dan dinding sekatan (partition): $35,000
- Laminat dan jubin premium: sehingga $20,000
- Hiasan bersalut emas tahan karat: sehingga $18,000

Projek tersebut mengambil masa keseluruhan setahun untuk disiapkan, dari 15 Mei 2025 hingga 15 Mei 2026.

Pemilik rumah tersebut mengakui bahawa ramai warga Singapura mungkin menganggap tindakan membelanjakan setengah juta dolar untuk pengubahsuaian sebuah flat HDB sebagai sesuatu yang melampau.

Namun, Encik Hengky menjelaskan kepada BH bahawa mereka turut menerima banyak kata-kata positif daripada orang sekeliling yang telah berkunjung ke rumah mereka, dengan ada yang berkata bahawa mereka tidak pernah melihat HDB seumpamanya di Singapura.

“Sesetengah orang melabur dalam kereta, jam tangan mewah atau kerap melancong ke luar negara.

“Bagi kami, rumah adalah tempat di mana kami meluangkan paling banyak masa kami dan di situlah kami mahu mencipta sesuatu yang benar-benar istimewa.

“Sama ada sesuatu itu berbaloi dari segi kos bergantung pada nilai yang dibawanya kepada pemiliknya.

“Bagi kami, dapat pulang ke rumah setiap hari ke ruang yang kami suka dan nikmati menjadikan pelaburan itu berbaloi,” kata Encik Hengky.