Meskipun membayar hampir $10,000 sebulan bagi sewa gerai makan, pasangan suami isteri, Encik Reban Kasran dan Cik Sakdiah Abdul Latiff, tetap menjual nasi lemak pada harga $2 sebungkus demi memastikan masyarakat terus mempunyai akses kepada makanan berharga berpatutan.

Bagi pemilik gerai Indonesian Selera Corner di Blok 101 Yishun Avenue 5 itu, keuntungan yang lebih besar bukan keutamaan jika masih ada pelanggan yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

“Kami mahu memastikan yang golongan rentan seperti warga emas dan keluarga berpendapatan rendah masih boleh membeli makanan tanpa perlu memikirkan soal harga.

“Ada pelanggan kami yang mempunyai sehingga tujuh orang anak, jadi kalau harga nasi lemak lebih daripada $5 atau $10 sebungkus, sudah tentu perit untuk mereka seisi keluarga.

“Sebab itu kami pilih untuk kekalkan harga rendah kerana kami percaya makanan mampu milik tidak seharusnya menjadi beban kepada orang ramai,” terang Cik Sakdiah, 53 tahun, ketika ditemui Berita Harian (BH).

Sejak mula beroperasi di kawasan itu pada 2005, Cik Sakdiah dan suaminya menjadikan kemampuan pelanggan sebagai pertimbangan utama dalam menentukan harga makanan mereka.

Meskipun menjual nasi lemak pada harga $2, Encik Reban, 57 tahun, berkata gerai mereka, yang mempunyai lapan kakitangan, turut menawarkan pelbagai hidangan lain seperti nasi padang pada harga pasaran, sekali gus membantu menampung kos operasi.

“Kami sebenarnya tidak terlalu memikirkan tentang untung besar.

“Walaupun margin keuntungan sangat kecil, kami kekalkan harga rendah ini demi memastikan sesiapa sahaja tetap mampu membeli nasi lemak kami.

“Lain hari pun boleh cari duit, kami hanya mahu memastikan golongan seperti warga emas dan keluarga besar masih ada pilihan makanan yang murah,” jelasnya.

Tambah beliau, bagi memastikan harga nasi lemak kekal rendah, mereka sentiasa membandingkan harga bahan mentah daripada beberapa pembekal dan mendapatkan bekalan daripada pihak yang menawarkan harga paling kompetitif.

Bagi Encik Reban, usaha mengekalkan harga rendah tidak bermakna mereka boleh berkompromi terhadap mutu makanan yang dihidangkan kepada pelanggan.

“Kalau kita sendiri rasa makanan itu sedap, InsyaAllah orang lain pun akan rasa begitu,” ujarnya.

Menurut Cik Sakdiah, idea menjual nasi lemak pada harga $2 tercetus selepas mereka mendengar sendiri permintaan pelanggan, terutama warga emas, yang hanya mahukan hidangan ringkas, cukup untuk alas perut.

Gerai Indonesian Selera Corner, yang beroperasi selama 24 jam, menawarkan dua jenis nasi lemak – ikan selar kuning atau ayam, yang lengkap dengan nasi, sambal, telur, ikan bilis, kacang, dan timun.

Selain daripada warga emas, Cik Sakdiah berkata pelanggan mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar dan pekerja yang singgah membeli sarapan sebelum ke sekolah dan tempat kerja.

Antara kenangan paling bermakna buat pasangan itu sepanjang lebih dua dekad mengusahakan gerai tersebut adalah hubungan akrab yang terjalin dengan pelanggan setia merentasi beberapa generasi.

“Saya masih ingat seorang budak yang mula makan di gerai kami ketika berusia 10 tahun, dan kini beliau sudah berusia 30 tahun dan mempunyai anak sendiri.

“Ada juga seorang pelanggan yang datang hampir setiap hari sejak beliau berusia lapan tahun ketika di sekolah rendah, dan sampai sekarang masih kembali makan di sini walaupun sudah melanjutkan pengajian ke universiti,” kenang Cik Sakdiah sambil tersenyum lebar.

Bagi Encik Reban dan Cik Sakdiah yang mempunyai tiga orang anak, gerai tersebut bukan sekadar tempat mencari rezeki, tetapi juga ruang untuk terus berbakti kepada masyarakat yang selama ini menyokong mereka.

Justeru, mereka kini mula melatih salah seorang anak perempuan mereka yang sedang menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), untuk mengambil alih perniagaan itu suatu hari nanti, dengan harapan nilai yang dipegang mereka tidak akan terhenti di situ.

“Saya selalu memberitahu isteri dan anak-anak supaya letakkan diri sendiri di tempat pelanggan dan tanya sama ada makanan yang kami sajikan itu benar-benar cukup untuk mengenyangkan mereka.

“Selagi kami mampu, kami akan terus kekalkan nasi lemak ini pada harga yang orang biasa masih mampu beli kerana kami mahu sentiasa ada untuk masyarakat,” kata Encik Reban.