Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasar raya M’sia mohon maaf selepas kakitangan tuduh pelanggan hamil curi barang
Pasar raya M’sia mohon maaf selepas kakitangan tuduh pelanggan hamil curi barang
Pasar raya M’sia mohon maaf selepas kakitangan tuduh pelanggan hamil curi barang
SELANGOR: Rangkaian pasar raya, Lotus’s Malaysia, memohon maaf selepas seorang pelanggan wanita yang hamil 38 minggu didakwa dituduh oleh kakitangannya di cawangan Selayang, Selangor, menyembunyikan barangan yang belum dibayar ketika membeli-belah pada 11 Julai.
Suami pelanggan wanita itu, Encik Mohamed Fareez Shah, mendakwa isterinya telah dihentikan sejurus selesai membuat bayaran sebelum diminta membuktikan kehamilannya kerana kakitangan berkenaan menyangka bentuk perutnya ialah barangan yang disorok untuk dicuri.
Hantaran Encik Fareez mengenai kejadian itu di wadah Threads menerusi akaun, ‘fareezshah10’ pada 12 Julai, menjadi tular dengan 5.9 juta tontonan, meraih lebih 100,000 tanda suka dan hampir 14,000 komen.
Beliau mengongsi bahawa isterinya turut diminta menunjukkan Buku Pink (dokumen rekod perubatan rasmi untuk wanita hamil) dan bahagian perut bagi membuktikan beliau benar-benar hamil.
Selain itu, pasangan itu dikatakan menunggu hampir 20 minit sebelum penyelia cawangan tiba.
Susulan kejadian itu, Lotus’s Malaysia mengeluarkan satu kenyataan pada 14 Julai di Instagram dan Facebook, mengatakan bahawa siasatan dalaman mendapati bahawa pengendalian kejadian itu tidak memenuhi piawaian layanan dan perkhidmatan yang ditetapkan syarikat itu.
“Kepada pelanggan, isteri beliau serta keluarga mereka, kami ingin memohon maaf atas kejadian yang telah berlaku.
“Tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah bersama kami.
“Kami amat kesal atas pengalaman yang telah mereka lalui.
“Kami juga telah menghubungi keluarga tersebut secara langsung dan kekal komited untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka,” kata Lotus’s Malaysia menerusi kenyataan tersebut.
Lotus’s Malaysia turut berkata pihaknya telah “mengambil tindakan yang sewajarnya”, dan memperkukuh garis panduan, prosedur dan latihan bagi mengukuhkan piawaian yang diharapkan daripada semua kakitangan untuk membantu mencegah kejadian serupa daripada berlaku lagi.
Dalam kenyataan sama, syarikat itu turut meminta orang ramai menghormati privasi, serta kesejahteraan kakitangannya dan ahli keluarga mereka, sambil menyatakan pihaknya kesal dengan gangguan peribadi serta ugutan yang didakwa diterima susulan kejadian berkenaan.
Dalam hantaran asalnya di wadah Threads, Encik Fareez turut mendakwa seorang juruwang pasar raya itu akhirnya mengakui tidak melihat isterinya mengambil sebarang barangan, sebaliknya hanya mengesyaki wanita itu berdasarkan bentuk perutnya.
Menurut akaun Threads Encik Fareez, beliau juga telah memaklumkan warganet bahawa beliau telah membuat laporan polis di balai Selayang pada 12 Julai.
Selepas Lotus’s Malaysia mengeluarkan kenyataan mereka, Encik Fareez berkata dalam satu lagi hantaran pada 14 Julai bahawa beliau masih tidak berpuas hati dan mendakwa syarikat itu tidak menjawab beberapa soalan penting.
Ini termasuk dakwaan mengenai penyebaran gambar isterinya yang dipercayainya berasal daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan tindakan melalui saluran undang-undang yang bersesuaian.
Berita Harian (BH) telah menghubungi Encik Fareez dan Lotus’s Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut.
