Topik diikuti
Pergi ke BHkuRumah berusia 70 tahun diubah jadi mahligai keluarga
Rumah berusia 70 tahun diubah jadi mahligai keluarga
Rumah berusia 70 tahun diubah jadi mahligai keluarga
Membeli rumah tanpa dapat melihat keseluruhan unit bukanlah sesuatu yang lazim dilakukan.
Namun itulah yang dialami Cik Nadiah Othman, 38 tahun, dan suaminya, Encik Ridzwan Ismail, 39 tahun, apabila mereka membeli sebuah apartmen ‘walk-up’ iaitu kediaman tanpa kemudahan lif, di kawasan timur Singapura, berusia lebih 70 tahun yang ketika itu masih didiami beberapa penyewa.
“Kami telah meninjau rumah itu pada pertengahan 2024. Pada masa itu, terdapat tujuh bilik kerana ia disewakan sebagai kediaman ‘co-living’ atau konsep tinggal bersama.
“Sebab itu, kami tidak dapat lihat rumah itu secara seluruh. Rasanya seperti beli ‘blind box’ (kotak misteri),” katanya sambil ketawa apabila dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Apa yang bermula dengan pelbagai tanda tanya akhirnya menjadi kediaman keluarga yang mencuri perhatian ramai selepas video transformasi rumah itu dikongsi mereka di media sosial Instagram dan TikTok.
Cik Nadiah dan Encik Ridzwan memuat naik pengalaman membeli dan perjalanan ubah suai rumah itu di TikTok menerusi akaun ‘OurGreenNook’ pada 30 Mei, yang telah meraih lebih 90,000 tontonan dan menerima hampir 3,000 ‘tanda suka’.
Rata-rata, netizen kagum dengan perubahan rumah lama itu.
Seorang pengguna ‘Bullitt46’ berkata:
“Percayakan proses. Itulah yang penting apabila mencurahkan sepenuh hati dan jiwa untuk membina kediaman sederhana ini. Sangat mengagumkan.”
Seorang lagi pengguna ‘Kamaruddin Tan Jia Jun’ pula bertanya sama ada apartmen lama itu boleh dibeli memandangkan terdapat syarat baki tempoh pajakan bagi sesetengah flat HDB.
Menjawab pertanyaan itu, Cik Nadiah menjelaskan bahawa apartmen yang dibelinya ialah hartanah privet berstatus pegangan bebas (freehold), justeru tidak tertakluk kepada syarat berkenaan.
Namun di sebalik reka bentuk yang menjadi perbualan, Cik Nadiah berkata perjalanan membina rumah itu jauh lebih mencabar daripada yang disangka.
Mereka memilih kediaman itu kerana tertarik dengan watak rumah lama, termasuk beberapa ciri asal yang masih dikekalkan seperti dinding bata dari era 1950-an.
Menurut Cik Nadiah, rumah itu menawarkan ruang lebih besar, iaitu 1,200 kaki persegi, berbanding rumah tiga bilik mereka sebelum ini yang berkeluasan 731 kaki persegi.
Justeru, beliau berkata ruang yang hampir berganda itu dirasakan lebih sesuai untuk keluarga mereka yang berempat.
Tambahnya, cabaran sebenar bermula apabila kerja pengubahsuaian dijalankan.
Selepas lantai dipecahkan, pasangan itu menemui tiga lapisan lantai lama yang dibina bertindih sejak puluhan tahun lalu, serta mendapati keseluruhan lantai rumah tidak rata.
“Ia bukan senget kiri ke kanan sahaja, malah depan ke belakang juga,” ujar Cik Nadiah, seorang pengurus komunikasi.
Menurutnya, keadaan itu memaksa kontraktor meratakan semula lantai menggunakan lapisan konkrit sebelum kerja-kerja lain dapat diteruskan.
Mereka juga berdepan pelbagai masalah lain, termasuk siling dan paip lama yang perlu diganti.
“Itu semua memang perkara yang kami langsung tak jangka,” tambah Cik Nadiah yang kemudian kongsi bahawa kos ubah suai rumahnya menelan belanja sekitar $150,000.
Proses pengubahsuaian mengambil masa kira-kira enam bulan.
Memandangkan susun atur asal tidak lagi sesuai untuk kehidupan sebuah keluarga muda, Cik Nadiah berkata hampir keseluruhan ruang dalaman rumah diubah mengikut keperluan mereka.
Menurut Cik Nadiah, mereka pada mulanya cuba mendapatkan pelan asal apartmen itu daripada pihak berkuasa, namun dimaklumkan rekod berkenaan tidak lagi wujud berikutan usia bangunan tersebut.
Akhirnya, pasangan itu melakar sendiri susun atur yang diinginkan sebelum bekerjasama rapat dengan pereka hiasan dalaman untuk merealisasikan kediaman impian mereka.
“Kami memang minat reka bentuk. Jadi kami banyak berbincang dan sama-sama buat keputusan sepanjang proses itu,” jelas Cik Nadiah.
Minat yang sama turut memudahkan mereka memilih perabot dan dekorasi rumah.
Sebahagian besar perabot dibeli secara terpakai menerusi wadah dalam talian dan dipilih dengan teliti agar sesuai dengan konsep moden abad pertengahan (mid-century), serta sentuhan nostalgia yang ingin diketengahkan.
“Banyak barang lama sebenarnya masih elok dan mempunyai nilai tersendiri. Cuma kami kena tahu apa yang kami cari,” pesannya.
Bagi Cik Nadiah, pengalaman tinggal di flat tiga bilik sebelum ini banyak mempengaruhi keputusan beliau dan suaminya.
Dengan dua anak perempuan yang semakin membesar, pasangan itu mahukan sebuah rumah yang memberi lebih ruang untuk anak-anak bermain dan keluarga meluangkan masa bersama.
Sebab itu juga, katanya, rumah tersebut tidak pernah direka sekadar untuk kelihatan cantik.
Mainan, buku dan hasil seni anak-anak diletakkan di ruang tamu kerana di situlah keluarga mereka paling banyak menghabiskan masa bersama.
“Saya rasa ada keindahan apabila melihat rumah yang benar-benar didiami.
“Kalau rumah nampak macam bilik pameran sepanjang masa, untuk apa?
“Bila saya tengok anak-anak boleh berlari di sepanjang koridor rumah atau bermain bersama-sama, saya rasa sangat bersyukur.
“Itulah yang kami mahukan daripada rumah ini,” kata Cik Nadiah lagi.
