Topik diikuti
Pergi ke BHkuKanak-kanak S’pura, 6 tahun, muncul juara Beyblade Asia Tenggara
Kanak-kanak S’pura, 6 tahun, muncul juara Beyblade Asia Tenggara
Kanak-kanak S’pura, 6 tahun, muncul juara Beyblade Asia Tenggara
Apa yang pada mulanya sekadar hobi keluarga bagi mengurangkan masa menghadap skrin akhirnya membawa Ahmad Yusuf Ahmad Bahrain, enam tahun, ke pentas tertinggi pertandingan Beyblade di rantau ini.
Murid Darjah Satu Sekolah Rendah Pioneer itu bukan sahaja muncul juara Kejohanan Beyblade G1 Singapura bagi kategori ‘Regular’, malah merangkul gelaran juara Piala Asia Tenggara (SEA Cup) G1 Regular hanya sehari kemudian.
Kejohanan G1 merupakan pertandingan rasmi Beyblade bertaraf tertinggi di rantau ini, berbanding G2 dan G3, dengan syarat penyertaan serta pemeriksaan peralatan yang lebih ketat.
Sebagai juara G1 Singapura, Yusuf kemudian mewakili Singapura ke SEA Cup yang menghimpunkan juara G1 dari beberapa negara Asia Tenggara.
Yusuf berjaya menewaskan lebih 100 peserta dalam kejohanan kelayakan G1 Singapura Regular pada 11 Julai di Marina Square sebelum menghadapi wakil dari Indonesia dan Thailand pada 12 Julai untuk dinobatkan sebagai juara serantau bagi kategori Regular, berusia enam hingga 12 tahun.
Menurut bapa Yusuf, Encik Ahmad Bahrain Hassan, 34 tahun, Yusuf masih belum benar-benar memahami apa yang telah dicapainya.
“Dia seronok sebab dapat main Beyblade dan menang trofi. Dia belum betul-betul faham apa maksud menjadi juara Asia Tenggara,” kata Encik Ahmad kepada Berita Harian dalam satu panggilan video.
Malah ketika pertandingan masih berlangsung, Yusuf dikatakan lebih berminat untuk memenangi hadiah tempat kedua.
“Dia nampak Beyblade warna perak untuk naib juara, kemudian cakap kepada kami, ‘Saya nak yang silver itu’. Kami pun ketawa sebab dia tak fikir pun tentang emas atau kemenangan,” seloroh pemilik syarikat ubah suai Ceasquare itu.
Menurut Encik Ahmad, minat terhadap Beyblade bermula secara tidak sengaja apabila beliau menerima sebuah set stadium Beyblade sebagai hadiah hari jadi daripada adik perempuannya pada 2025.
Daripada mengumpul koleksi dan bermain bersama di rumah, Yusuf mula menunjukkan minat dan bakat semula jadi terhadap permainan itu.
Walaupun baru aktif sejak Disember tahun lalu, Yusuf sebenarnya sudah menunjukkan potensinya apabila muncul naib juara kategori G3 Open dalam satu kejohanan di Kuala Lumpur pada April lalu. Pertandingan itu merupakan kejohanan besar pertamanya sebelum menyertai G1 Singapura hujung minggu lalu.
“Lama-kelamaan kami nampak cara dia bermain lain sedikit. Cara dia tarik pelancar, cara dia membaca permainan... kami nampak dia ada potensi. Jadi kami galakkan dia berlatih bersama komuniti,” kata Encik Ahmad yang menganggarkan mempunyai sekitar 60 Beyblade dalam koleksinya.
Bagi Encik Ahmad, Beyblade bukan sekadar permainan memusingkan gasing moden seperti yang sering disalah anggap ramai.
Katanya, setiap Beyblade terdiri daripada tiga komponen utama iaitu blade, ratchet dan bit yang boleh digabungkan daripada set berbeza bagi menghasilkan prestasi tertentu.
“Ramai ingat menang atau kalah bergantung kepada nasib semata-mata. Bagi saya, mungkin 60 peratus memang bergantung kepada nasib, tetapi baki 40 peratus lagi ialah kemahiran pemain, strategi dan kombinasi bahagian Beyblade yang digunakan,” katanya.
Bagi mengasah lagi kemahiran Yusuf, keluarga itu turut mendapatkan bimbingan masyarakat Beyblade tempatan termasuk Team Dark Horse dan BeyDojo.
Dalam pertandingan itu, Yusuf berjaya menewaskan wakil dari Jakarta sebelum mengatasi peserta dari Bangkok pada perlawanan akhir untuk muncul juara Asia Tenggara.
Kejayaan berganda itu membolehkan Yusuf membawa pulang trofi, pingat emas Beyblade, 15,000 mata ‘ranking’, baucar mainan bernilai $200 bagi kejohanan G1 Singapura, selain hadiah kemenangan SEA Cup.
“Rezeki memang tak salah alamat.
“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang banyak membantu perjalanan Yusuf, terutama Team Dark Horse dan BeyDojo yang sentiasa berkongsi ilmu dan memberi ruang untuk dia berlatih,” kata ibunya Cik Zarifah Zakaria, 31 tahun.
Cik Zarifah, seorang guru Bahasa Arab, sebelum ini turut menjadi tular apabila video beliau menang dan mara ke peserta 16 terbaik kategori Open dalam kejohanan kelayakan G1 Singapura mendapat perhatian ramai di TikTok.
Bagaimanapun, beliau tewas pada pusingan seterusnya pada Sabtu dan tidak berjaya mara ke Kejohanan Asia Tenggara.
Walaupun Yusuf kini bergelar juara Asia Tenggara, Encik Ahmad berkata, keluarganya tidak pernah meletakkan tekanan kepada Yusuf setiap kali menyertai pertandingan.
“Sebelum dia masuk bertanding, kami cuma cakap, pergi main macam biasa. Kalau menang, Alhamdulillah. Kalau tak menang pun tak mengapa.
“Bagi kami sebagai ibu bapa, apabila dia berani berdiri dan bertanding di depan orang ramai pun sudah menjadi satu kemenangan,” kata Encik Ahmad.
Antara sebab utama ibu bapa itu menyokong minat Yusuf ialah kerana Beyblade membantu mengurangkan masa anaknya menghadap skrin.
“Balik kerja kami main sama-sama. Kadang-kadang mak dia pun turut bermain. Kawan-kawan pun datang rumah. Daripada duduk dengan telefon, sekurang-kurangnya kami dapat luangkan masa bersama,” ujar Encik Ahmad.
Kini, keluarga itu mungkin akan membuat persiapan menghadapi Kejohanan Dunia Beyblade yang dijangka berlangsung di Thailand hujung tahun ini.
Namun bagi Cik Zarifah dan Encik Ahmad, apa jua keputusan selepas ini bukan lagi perkara paling utama.
“Kami tak pernah sangka hobi yang bermula dengan sekadar hadiah hari jadi boleh membawa Yusuf sampai ke tahap ini.
“Kami cuma berharap dia terus bermain kerana minat dan menikmati setiap pengalaman yang datang,” ujar CIk Zarifah.
