Topic followed successfully
Go to BHkuPeguam tegur drama Durrani silap fakta undang-undang, syarikat terbitan minta maaf
Peguam tegur drama Durrani silap fakta undang-undang, syarikat terbitan minta maaf
Peguam tegur drama Durrani silap fakta undang-undang, syarikat terbitan minta maaf
Syarikat terbitan drama popular Durrani: Perjuangan Lion Mum, Ochre Pictures minta maaf dan akui terdapat ketidaktepatan fakta undang-undang dalam episod tujuh dan lapan pada siri tersebut susulan teguran pakar perundangan tempatan.
Isu tersebut tercetus apabila Pengarah Urusan Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas memuat naik satu hantaran di media sosial pada 4 Mei lalu, menyuarakan kesilapan tersebut.
Beliau menyifatkan babak yang melibatkan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) dalam siri tersebut sebagai mengelirukan secara berbahaya.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Encik Nizam menjelaskan bahawa drama tersebut memberi gambaran salah bahawa perkahwinan luar negara yang tidak didaftarkan di Singapura adalah tidak sah bagi tujuan pewarisan harta (faraid).
“Rakan-rakan peguam saya sendiri menghantar mesej bertanya sama ada undang-undang dalam drama itu betul. Jika golongan profesional pun keliru, apatah lagi penonton awam,” ujar beliau yang juga anggota kumpulan kerja Perancangan Legasi Islam.
Encik Nizam turut mempersoalkan penggunaan akta sebenar dalam drama fiksyen itu.
Beliau mengibaratkan situasi itu seperti membina taman permainan berbahaya tetapi hanya meletakkan papan tanda penafian atau ‘disclaimer’ sebagai pelindung.
“Anda tidak boleh mengatakan ia (jalan cerita) fiksyen tetapi menggunakan undang-undang sebenar seperti Amla dan Piagam Wanita,” jelasnya.
Menjawab pertanyaan BH, Penerbit Eksekutif Ochre Pictures, Encik Pedro Tan, akui kesilapan teknikal dalam skrip drama terbitan mereka.
“Kami mengakui bahawa rujukan yang menyatakan perkahwinan yang tidak didaftarkan dengan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) tidak diiktiraf di Singapura adalah salah, dan ketidaktepatan ini adalah kesilapan kami sepenuhnya,” kata Encik Pedro dalam satu kenyataan rasmi pada 7 Mei.
Beliau menambah bahawa pihak terbitan telah menjalankan kajian lebih setahun dengan merujuk pelbagai pakar, namun mengakui rujukan kepada perundangan sebenar dalam karya fiksyen boleh mengelirukan penonton.
“Kami sedang menyemak semula episod yang terjejas (episod 7 dan 8) dan akan melakukan pembetulan yang diperlukan.
“Kami juga menyedari bahawa rujukan kepada undang-undang sebenar dalam karya fiksyen ini boleh mengelirukan pemahaman penonton, dan kami sepatutnya melakukan yang lebih baik dalam memaparkan isu tersebut.
“Kami amat menghargai semua maklum balas yang diberikan dan akan terus memperkukuh proses penyelidikan dan pengeluaran kami untuk menambah baik cara kami mengendalikan rujukan tersebut pada masa hadapan,” kata Encik Tan lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa siri Durrani adalah sebuah karya fiksyen dan tidak seharusnya diambil sebagai nasihat undang-undang.
Namun, pihak terbitan berharap penonton tetap dapat melihat nilai murni drama tersebut dalam isu-isu masyarakat yang jarang diketengahkan.
Hasil semakan BH di laman ROMM turut mengesahkan bahawa badan tersebut tidak mempunyai kuasa di bawah Amla untuk mendaftarkan semula perkahwinan luar negara.
Sijil nikah asal dari negara asing adalah dokumen yang diiktiraf untuk urusan peribadi di Singapura, tertakluk kepada syarat pentadbiran agensi masing-masing.
Meskipun mengkritik aspek undang-undang, Encik Nizam tetap memuji mutu terbitan dan lakonan siri Durrani.
“Saya sangat suka bagaimana skrip drama ini menunjukkan perspektif kedua-dua belah pihak dalam isu perceraian atau tuntutan anak. Ia sangat tajam dan tidak menunjukkan bahawa kehidupan hitam putih sahaja.
“Hanya ketepatan fakta undang-undang sahaja yang perlu diperbaiki,” ujar Encik Nizam yang juga menyarankan agar karya fiksyen pada masa hadapan menggunakan nama undang-undang rekaan jika tidak mahu terikat dengan ketepatan fakta akta sebenar.
Drama Durrani: Perjuangan Lion Mum merupakan siri sampingan daripada drama popular tempatan Lion Mums.
Siri yang mempunyai 15 episod ini memaparkan perjalanan hidup seorang peguam keluarga, Durrani, dalam mengendalikan pelbagai kes perundangan syariah dan sivil di Singapura.
Selain ditayangkan di saluran Suria, drama terbitan Ochre Pictures ini turut mendapat sambutan hangat sejak mula disiarkan di platform penyiaran Netflix.

