Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon M’sia Neera Azizi akui silap buat ‘gender reveal’ depan Kaabah, mohon maaf

Dec 18, 2025 | 6:00 PM
Neera Azizi dan suaminya Muhammad Hafizi Mohd Noor mendedahkan jantina bayi dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, satu trend yang menjadi ikut-ikutan orang muda masa kini, namun dianggap tidak sopan oleh netizen kerana tidak menghormati tempat ibadah.
Neera Azizi dan suaminya Muhammad Hafizi Mohd Noor mendedahkan jantina bayi dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, satu trend yang menjadi ikut-ikutan orang muda masa kini, namun dianggap tidak sopan oleh netizen kerana tidak menghormati tempat ibadah. - Foto TANGKAP LAYAR @INSTAGRAM NEERA AZIZ

Susulan kecaman diterima mengenai video ‘gender reveal’ (pendedahan jantina bayi), pelakon dan penyampai radio dari Malaysia, Neera Azizi, mengakui tersilap langkah dan tampil memberi penjelasan di media sosialnya berhubung isu tersebut.

Bukan berniat menegakkan kesalahan, sebaliknya Neera atau Nurazneera Azizi, 27 tahun, yang sedang hamil, menjelaskan beliau tidak sedar cara yang digunakan dilihat kurang beradab.

“Assalamualaikum. Hadir dengan rendah diri, saya ingin memberi penjelasan berkenaan isu ‘gender reveal’ yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

“Pada awalnya, tujuan video tersebut hanyalah sebagai tanda syukur atas kurniaan anugerah Allah swt dan tidak mempunyai niat lain selain itu.

“Ini tidak bermakna kami ingin menegakkan kesalahan yang telah berlaku. Tanpa disedari, kaedah yang digunakan dilihat kurang beradab,” katanya yang sudahpun memadamkan video itu.

Neera berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada petang Rabu 18 Disember.

Dalam pada itu, Neera menjelaskan beliau menerima setiap teguran yang diberikan dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai nasihat yang baik.

Malah, Neera menegaskan kekhilafan ini tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak agensi pelancongan dan sepenuhnya merupakan kesilapan diri sendiri.

“Kami amat menghargai teguran yang diberikan dan menerimanya dengan hati yang terbuka, serta menganggapnya sebagai nasihat yang baik. InsyaAllah, kekhilafan ini tidak akan berulang lagi.

“Akhir kata, saya hanyalah manusia biasa yang tidak lepas daripada melakukan kesalahan.

“Semoga Allah swt mengampuni dosa setiap daripada kita,” jelasnya.

Sebelum ini, tindakan Neera berkongsi momen gender reveal itu menimbulkan kecaman sesetengah netizen kerana dilakukan di hadapan Kaabah iaitu tempat ibadah yang dianggap sangat suci dan seharusnya dijaga adabnya.

Neera diijabkabulkan pada 11 Julai 2025 dengan Muhammad Hafizi Mohd Noor, yang dikatakan seorang mutawif, dan mereka mengenali satu sama lain sewaktu Neera menunaikan umrah.

Beberapa komen di media sosial menyatakan ketika berada di Tanah Suci Makkah, umat Islam patut memelihara adab, doa, dan tumpuan kepada ibadah, dan bukannya menjadikannya latar untuk buat kandungan hiburan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg