Pemandu bantu penunggang motosikal jatuh di jalan raya, dapat pujian netizen
Pemandu bantu penunggang motosikal jatuh di jalan raya, dapat pujian netizen
Tindakan seorang lelaki yang pantas menghulurkan bantuan kepada seorang penunggang yang terjatuh daripada motosikalnya telah meraih perhatian serta menyentuh hati netizen di TikTok.
Dalam satu video yang dimuat naik ke akaun TikTok @mikeshary, pengguna TikTok berkenaan yang juga individu yang telah menghulurkan bantuan, dilihat membantu seorang penunggang menyusuli motosikalnya tumbang berhampiran lorong penggabungan menuju ke jalan utama.
Pengguna akaun itu, yang perkenalkan dirinya sebagai Encik Mike Shary, memberitahu Berita Harian menerusi TikTok bahawa insiden tersebut berlaku di Paya Lebar Road menghala ke pusat beli-belah Paya Lebar Quarter (PLQ).
Encik Mike, yang bekerja dalam bidang jualan dan logistik, berkongsi bahawa kejadian itu berlaku pada 23 Januari, sekitar jam 9.35 pagi, ketika beliau dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
Dalam video itu, penunggang motosikal itu dilihat mengangkat tangan seperti meminta pertolongan untuk menegakkan semula motosikalnya.
Tanpa berlengah, @mikeshary tampil membantu, memindahkan motosikal berkenaan ke lokasi yang lebih selamat.
Kapsyen yang disertakan pada klip tersebut berbunyi: “Pagi ini, seorang pak cik Melayu hilang kawalan dan terjatuh daripada motosikalnya atas sebab tertentu, namun tiada siapa membantu. Saya kemudian menukar lorong untuk menghalang lalu lintas dan membantu beliau, serta memastikan aliran trafik kembali lancar.”
Klip berdurasi 52 saat yang dimuat naik pada 23 Januari itu telah meraih lebih 42,000 tontonan, lebih 1,700 ‘like’ serta sekitar 110 komen.
Video berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen, dengan seorang pengguna, @tistooshallpass, menulis: “Kemanusiaan itu percuma, tetapi tidak semua yang memberikannya. Semoga Tuhan memberkati anda selalu.”
Seorang lagi pengguna, @forfunjeeee, turut menzahirkan penghargaan dengan menulis: “Terima kasih, Mike, kerana membantu ayah saya walaupun anda tidak wajib berbuat demikian. Perkara kecil seperti inilah yang benar-benar bermakna. Semoga Allah sentiasa melindungi anda di jalan raya, amin.”

