Harga COE lambung tinggi didorong pameran motor, Tahun Baru Cina
Harga COE lambung tinggi didorong pameran motor, Tahun Baru Cina
Harga Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) melonjak pada 21 Januari, dengan Kategori A meningkat 7.3 peratus dan Kategori B naik 2.1 peratus.
Premium COE Kategori A untuk kereta dan kenderaan elektrik (EV) yang lebih kecil, mencecah $109,501, naik daripada $102,009 pada bidaan 7 Januari.
Premium Kategori B, untuk kereta dan EV lebih besar, turut meningkat daripada $119,100 kepada $121,634.
Namun, kategori terbuka (Kategori E) menyaksikan penurunan hampir satu peratus, daripada $122,000 kepada $120,891.
Sijil Kategori E ini serbaguna (kecuali motosikal) dan sering digunakan untuk kereta besar.
Ia juga boleh dipindah milik, memberi fleksibiliti kepada pengedar motor untuk mendaftarkan kereta tanpa perlu menunggu bidaan seterusnya.
COE kenderaan komersial (Kategori C) pula turun sedikit sebanyak 0.4 peratus, berharga $75,202 berbanding $75,503 sebelumnya.
Premium COE motosikal (Kategori D) mencatat kenaikan dua peratus, daripada $8,689 kepada $8,860.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengaitkan kenaikan premium COE dengan permintaan bermusim, didorong oleh Pameran Motor Singapura dan sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba.
“Kami menasihatkan pembeli dan pengedar kereta supaya berhati-hati dalam membida COE,” ujar LTA.
Pameran motor itu berlangsung dari 8 hingga 11 Januari di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec.
Pengarah urusan syarikat pengedar BMW Eurokars Auto, Encik Jason Lim, juga mengaitkan kenaikan Kategori A dengan jualan kereta yang memberangsangkan di pameran itu.
Beliau menyatakan acara itu menarik rekod 37 peserta pameran dan sememangnya menjangkakan premium COE akan melonjak selepas pameran tersebut.
Dua pusingan bidaan COE diadakan setiap bulan.
Sijil ini memberi hak kepada pemegangnya untuk mendaftarkan kenderaan di Singapura, dengan kosnya biasanya termasuk dalam harga jualan kenderaan.

