Topik diikuti
Pergi ke BHkuSahut ‘panggilan’ Pulau Bukom, hidupkan legasi keluarga rentas tiga generasi
Sahut ‘panggilan’ Pulau Bukom, hidupkan legasi keluarga rentas tiga generasi
Kakitangan respons kecemasan Aster ikuti jejak bapa yang pernah bakti sebagai anggota polis di Bukom
Sahut ‘panggilan’ Pulau Bukom, hidupkan legasi keluarga rentas tiga generasi
Bagi kebanyakan rakyat Singapura, Pulau Bukom dikenali sebagai sebuah tapak penapisan minyak, dengan kawasan yang terkawal dan terhad.
Namun, bagi Encik Md Nidhar Taib, 42 tahun, pulau itu menjadi sebahagian daripada identiti tiga generasi keluarganya.
Apabila Encik Nidhar melangkah keluar dari feri setiap pagi untuk mula syifnya sebagai Penyelaras Kanan Respons Kecemasan di syarikat penapis minyak Aster, beliau bukan sahaja melapor kerja ke kilang penapisan bahkan menjejaki langkah bapanya yang pernah berbakti di sana.
Malah, nenek Encik Nidhar, Allahyarhamha Nahiya Ede’, juga berasal dari Pulau Bukom.
Kerjaya Encik Nidhar sendiri bermula dalam pasukan seragam. Beliau pernah berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk tiga bulan pertama semasa Perkhidmatan Negara (NS), dan bakinya berkhidmat di Pasukan Polis Singapura (SPF).
Seterusnya, beliau menandatangani kontrak dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) selama sembilan tahun di mana lima tahun itu, beliau berkhidmat sebagai Pasukan Bantuan Bencana dan Penyelamat (Dart).
Namun, ‘panggilan’ Pulau Bukom itu akhirnya menariknya bekerja di pulau itu pada 2015.
“Saya sebenarnya telah lulus untuk menyertai anggota Dart. Selepas lima tahun, saya rasa ingin mencari angin baru, sesuatu yang mencabar diri. Itulah buat saya pilih bekerja di Pulau Bukom, dan kebetulan pada masa itu ada kekosongan,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata berusia antara tujuh tahun dan 13 tahun.
Keputusan Encik Nidhar bekerja di Pulau Bukom disambut dengan penuh kegembiraan oleh bapanya, Encik Taib Awang, 69 tahun.
Encik Taib, kini seorang pesara, telah berkhidmat di pulau itu selama 44 tahun. Beliau bermula sebagai antara pegawai polis Pulau Bukom pada 1977 sebelum beralih ke bahagian operasi.
Encik Taib gembira melihat anaknya meneruskan kesinambungan tradisi dalam sebuah masyarakat yang akrab.
“Saya sangat gembira apabila mendengar Nidhar mengikut jejak langkah saya. Persekitaran tempat kerja saya (Bukom) penuh dengan rakan-rakan dan kami mempunyai masyarakat yang saling bekerjasama, baik dari bahagian penapisan, polis, mahupun jabatan keselamatan,” cerita Encik Taib, bapa kepada tiga anak dan datuk kepada lima cucu itu.
Mengenang kembali saat itu juga, Encik Nidhar berkata bapanya menggalaknya untuk tidak berfikir panjang: “Ambil saja... Masuk dulu tak apa.”
Walaupun bangga, Encik Taib tidak menafikan kerisauan yang terbuku di hati memandangkan persekitaran kerja yang berisiko.
Pesanan Encik Taib kepada anaknya sentiasa ringkas namun tegas: “Saya harap Nidhar kekal fokus dan peka semasa bertugas, serta menjaga keselamatan diri dan orang di sekelilingnya apabila menjawab panggilan kecemasan.”
Bagi generasi lama seperti Encik Taib, bekerja di Pulau Bukom bukan sekadar mencari rezeki, tetapi satu lambang kestabilan dan kebanggaan.
Bagi keluarga Encik Taib dan Encik Nidhar pula, Pulau Bukom juga ibarat rumah kedua. Apatah lagi, ibu Encik Taib, Allahyarhamha Nahiya Ede’, dilahirkan di pulau itu pada 1934.
Encik Nidhar masih ingat lagi kenangan masa kecil apabila bapanya membawa mereka sekeluarga bercuti di sana semasa cuti sekolah.
“Bapa akan bawa kami ke clubhouse. Di situ ada panggung wayang kecil, boling, badminton dan kolam renang.
“Saya belajar main pool (biliard) pun di situ,” kata abang sulung tiga beradik itu sambil tersenyum.
“Malah makanan di situ, terutamanya beef hor fun, memang legend. Bila saya mula kerja di sini pada 2015, clubhouse itu masih ada. Kami akan pesan makanan di situ untuk makan bersama pasukan. Itu salah satu cara kami merapatkan hubungan,” imbas Encik Nidhar yang berkata kedai makanan kegemarannya itu sudah tiada lagi sejak 2017 atau 2018.
Encik Taib juga mengenang kembali zaman di mana Pulau Bukom lebih daripada sekadar kilang penapisan.
“Pulau itu telah berubah sikit, sekarang ia hanya pulau penapisan. Dulu, ada keluarga, anak-anak di clubhouse dan berek di mana anda boleh melihat kanak-kanak berlari dan bermain,” kongsi Encik Taib.
Kini, panggung wayang dan pusat boling itu juga sudah tiada, digantikan dengan operasi industri yang lebih ketat dan moden.
Namun, “semangat kampung” Bukom tetap kental dalam sanubari kedua-dua bapa dan anak itu.
Di sebalik uniform kalis apinya, Encik Nidhar memikul tanggungjawab besar untuk memastikan setiap pekerja pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga.
Memandangkan Pulau Bukom terletak di tengah laut, pasukan beliau – yang terdiri daripada 30 orang – merupakan benteng pertahanan pertama sekiranya berlaku kecemasan.
Bagi Encik Nidhar, persediaan rapi adalah kunci kerana mereka sering bertindak sendiri tanpa bantuan segera daripada pasukan lain pada permulaannya.
“Apa-apa pun, kami yang kena hadapi dulu. Untuk satu atau dua jam pertama, kami bertindak sendiri. Sebab itu setiap orang mesti sentiasa bersedia. Ancaman di sini nyata, ia berada di depan mata kami,” jelasnya yang telah mengharungi pekerjaan itu selama 11 tahun.
Pengalaman luas yang ditimba sepanjang bertugas di bawah pengurusan terdahulu sehingga kini bersama Aster, mematangkan lagi perspektif beliau terhadap keselamatan industri penapisan minyak yang sentiasa berkembang.
Meskipun teknologi dan sistem keselamatan semakin canggih, Encik Nidhar percaya bahawa faktor manusia tetap menjadi elemen paling kritikal.
Dalam memimpin pasukannya, Encik Nidhar sering menitipkan pesanan ringkas namun mendalam: “Kerja baik-baik.”
Pesanan itu merupakan azimat yang diwarisi daripada bapanya. Dahulu, itulah nasihat yang sering diberikan Encik Taib kepada rakan sekerja dan anak-anaknya, dan kini Encik Nidhar menggunakan pesanan yang sama sebagai kompas buat dirinya dan pasukan di bawah naungannya.
Apabila ditanya tentang masa depan, Encik Taib menaruh harapan agar legasi ini tidak terhenti di sini.
“Sudah tentu ia adalah satu penghormatan besar bagi saya jika cucu-cucu saya dapat bekerja di Bukom suatu hari nanti. Tetapi, tiada paksaan.
“Saya serahkan mereka untuk buat keputusan, cuma saya harap mereka sekurang-kurangnya dapat melawat Pulau Bukom jika acara keluarga (anjuran syarikat),” kata Encik Taib.
Bagi Encik Nidhar pula, jawapan itu sudah sedia ada dalam jiwanya.
“Saya rasa ini satu warisan peribadi. Saya menyambung legasi datuk sebagai ahli bomba dan legasi bapa di Bukom. Saya adalah gabungan kedua-dua sejarah itu. Ia sememangnya satu panggilan jiwa,” katanya dengan senyuman.
