Pempengaruh penuhi hajat lelaki tidak dikenali, belikan bola keranjang
Pempengaruh penuhi hajat lelaki tidak dikenali, belikan bola keranjang
Seorang pempengaruh telah dihampiri oleh seorang lelaki tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah Peninsula yang memintanya membelikan bola keranjang.
Tidak pasti sama ada permintaan itu satu helah penipuan, pempengaruh yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Asyraf, 35 tahun, meminta lelaki tersebut – yang mengenalkan dirinya sebagai Encik John – untuk berkongsi masalahnya terlebih dahulu sebelum Encik Asyraf bersetuju untuk membelikan bola itu.
“Saya perlu dengar ceritanya dahulu,” kata Encik Asyraf semasa dihubungi wartawan.
Encik Asyraf berkata Encik John berusia 25 tahun dan dianggapnya sebagai seorang yang ‘istimewa’ (tanpa menerangkan lebih lanjut).
Dalam video itu Encik John mendakwa permintaannya itu telah ditolak oleh sekurang-kurangnya 12 individu lain pada hari tersebut, dengan sebahagian daripada mereka memberikan alasan atas masalah kewangan.
Encik Asyraf mengakui ini merupakan kali pertama beliau dihampiri oleh seseorang dengan permintaan membelikan sesuatu.
“Pada awalnya memang saya terkejut dan menolak permintaan tersebut kerana menggangapnya sebagai satu penipuan. Namun, saya memilih untuk tanya beliau beberapa soalan bagi mendengar kisahnya terlebih dahulu.
“Dari situ saya dapat mengesan bahawa John ini merupakan seorang insan istimewa,” kata Encik Asyraf yang juga merupakan pempengaruh podcast, The Common Folks.
Video interaksi itu yang dimuat naik ke Instagram Encik Asyraf menjadi tular dan menerima banyak reaksi positif, dengan ramai netizen berkata perasaan gembira jelas terpancar di wajah Encik John apabila akhirnya menerima bola keranjang tersebut.
Seorang pengguna Instagram ‘unkle_zee’, menulis : “Terbaik! Boleh lihat keserian di wajah John bila anda setuju untuk belikannya bola itu.”
“Beliau yang tolong orang, kita yang turut gembira. Anda bukan sahaja membuat harinya (gembira) tetapi hari semua yang menontonnya,” kata seorang lagi pengguna ‘avenuethree’.
Encik John turut berkongsi bahawa beliau menetap di sebuah rumah rawatan dan bekerja di sebuah kedai kopi pada 11 pagi hingga 3 petang.
Namun, bayaran yang diterima cukup untuk menampung perbelanjaan seharian sahaja, kata Encik John dalam video tersebut.
Ketika ditanya mengapa beliau (Encik Asyraf) harus membelikannya bola tersebut, Encik John hanya berkata:
“Saya ingin tidur, hidu dan bermain dengan bola itu nanti di rumah.”
Menurut Encik Asyraf, beliau tidak menyangka video tersebut menerima begitu banyak maklum balas positif.
Bagaimanapun, beliau turut menerima beberapa mesej peribadi daripada netizen yang mendakwa pernah dihampiri oleh Encik John atas permintaan yang serupa.
“Ada yang menasihati supaya saya lebih berhati-hati kerana Encik John pernah meminta beberapa barangan lain daripada individu lain. Namun saya memilih untuk berfikiran positif,” tambahnya.
Beliau turut berpendapat bahawa masyarakat Singapura memerlukan lebih banyak nilai baik selain bersikap empati.
“Secara keseluruhannya, ini bukan sekadar tentang membelikan bola keranjang, tetapi tentang kesediaan untuk berhenti seketika dan mendengar cerita atau masalah yang dihadapi oleh orang lain,” katanya.

