Walaupun sudah lebih dua tahun bekerja di Sentosa, pekerja asing dari India, Encik Dharmar, tidak pernah berpeluang menjejakkan kaki ke Universal Studios Singapore (USS), apatah lagi menyangka kunjungan pertamanya ke taman tema itu akan ditaja sepenuhnya oleh seorang yang tidak dikenalinya.

Pengalaman itu menjadi kenyataan pada 4 Ogos apabila pencipta kandungan tempatan, Encik Muhammad Imran Shamer Abdul Nasir, 25 tahun, mengajaknya menikmati beberapa tarikan di USS sebagai tanda penghargaan atas usaha dan pengorbanannya bekerja di Singapura.

“Ini merupakan satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan,” kongsi Encik Dharmar, 26 tahu, seorang pegawai Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang bekerja di Sentosa, ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Pertemuan mereka dirakam Encik Imran, atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Aimrun’, dalam sebuah video yang dimuat naik ke TikTok pada 26 Ogos dan telah meraih lebih 100,000 tanda suka.

Video yang memaparkan Encik Imran membelanja tiket masuk USS untuk Encik Dharmar dan membawanya meneroka taman tema itu turut menarik perhatian warganet, dengan ramai meluahkan rasa terharu melihat interaksi antara mereka.

Ketika dihubungi BH, Encik Imran berkata video tersebut merupakan sebahagian daripada usahanya untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

“Walaupun lawatan USS ini mungkin kecil, saya sangat bersyukur diberikan peluang ini untuk menggembirakan Dharmar,” terang Encik Imran.

Menurut Encik Imran, beliau pada mulanya mencari seorang pekerja asing yang boleh diajak menikmati pengalaman di taman tema tersebut.

“Secara kebetulan, saya bertemu Dharmar semasa beliau dalam perjalanan pulang selepas kerja dan beliau bersetuju untuk menyertai saya,” tambahnya.

Bermula sekitar 6.30 petang, mereka mencuba beberapa permainan dan roller coaster, bergambar, serta menikmati makan malam bersama.

Semasa kunjungan tersebut, Encik Imran berkata mereka juga berbual dan berkongsi tentang kehidupan masing-masing, meskipun baru pertama kali bertemu.

Sebagai kenangan, Encik Imran turut menghadiahkan Encik Dharmar seutas rantai kunci berbentuk watak daripada filem Transformers, bersempena permainan bertemakan filem tersebut yang menjadi kegemaran Encik Dharmar pada malam itu.

Mengulas mengenai sebab beliau menghasilkan video tersebut, Encik Imran berkata beliau amat menghormati sumbangan pekerja asing kepada Singapura.

“Saya sangat menghormati pekerja asing kerana mereka banyak membuat pengorbanan untuk menyumbang kepada Singapura.

“Saya berharap ini menjadi sumbangan saya untuk menghargai jasa mereka,” jelasnya.

Sejak mula menghasilkan kandungan pada 2020, Encik Imran dikenali menerusi video berbentuk gurauan atau ‘prank’ yang dimuat naik di TikTok.

Namun, beliau berkata matlamat utama kandungannya adalah untuk menceriakan orang ramai, dengan video berbentuk kebajikan dan memberi semula kepada masyarakat turut menjadi sebahagian daripada kandungan yang dihasilkannya.

“Saya berharap video ini dapat menyebarkan kebaikan kepada orang ramai dan menggalakkan mereka berbuat baik antara satu sama lain,” katanya.