Topik diikuti
Pergi ke BHkuGaji tertunggak pekerja migran: MOM siasat pengarah firma
Gaji tertunggak pekerja migran: MOM siasat pengarah firma
Dinesh beri jaminan sebahagian besar 407 pekerja terjejas akan diberi kerja baharu dalam dua tiga minggu mendatang
Gaji tertunggak pekerja migran: MOM siasat pengarah firma
Pengarah syarikat di sebalik tiga firma yang kini disiasat atas dakwaan mengenai bayaran gaji pekerja migran yang tertunggak, telah kembali ke Singapura dari India.
Memberikan perkembangan terkini itu di Pusat Riadah Kranji pada 28 Jun, Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, berkata majikan berkenaan sedang membantu siasatan dan pasportnya turut ditahan.
Ramu Palani Velu, seorang Penduduk Tetap Singapura, merupakan pengarah bagi VVR Plant Engineering, SK Industries dan KPA Engineering – tiga syarikat yang terbabit – serta empat syarikat lain di sini.
Firma tersebut disenaraikan sebagai penyedia khidmat alat penyaman udara, kerja pemasangan paip dan perkhidmatan bangunan.
Menurut Encik Dinesh, majikan perlu bertanggungjawab dan mematuhi Akta Pekerjaan dan Akta Pengambilan Tenaga Kerja Asing.
“Sebarang pelanggaran akta akan dikenakan denda antara $3,000 dengan $15,000 bagi setiap pertuduhan, atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam masa yang sama, Encik Dinesh menambah, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berharap dapat membantu pekerja yang terjejas mendapatkan pekerjaan dalam sektor yang setara dalam tempoh dua hingga tiga minggu mendatang.
Encik Dinesh telah mengunjungi pekerja migran di Pusat Riadah Kranji untuk mengagihkan makanan.
Beliau turut berterima kasih atas sokongan Pusat Pekerja Migran (MWC) dan Persatuan Kontraktor Singapura yang tampil menawarkan pekerjaan bagi pekerja migran yang terjejas.
Pada 22 Jun, sekitar 100 pekerja migran yang tidak menerima gaji sekurang-kurangnya dua bulan berhimpun di hadapan bangunan MOM.
Menurut Encik Dinesh, MOM memandang serius perkara itu dan memberi jaminan ia sedang bekerjasama dengan MWC, Persatuan Kontraktor Singapura dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk membantu pekerja migran berkenaan.
Sebahagian besar daripada 407 pekerja migran yang terjejas dijangka akan ditempatkan dalam pekerjaan baharu dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, ujarnya.
Seramai 20 pekerja pula telah mendapat pekerjaan baharu dalam sektor yang sama, sementara 230 pekerja pula akan berpindah keluar dari dormitori di Tuas ke Pusat Orientasi Pekerja Migran MOM di Sengkang.
Encik Dinesh menambah: “Saya juga ingin menggesa pekerja migran yang menghadapi masalah, khususnya mereka yang tidak menerima gaji, supaya mendapatkan bantuan daripada Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) yang boleh membantu mereka mendapatkan semula gaji tertunggak.”
Dalam pada itu, pekerja migran Bangladesh di SK Industries yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Kawsar, 50 tahun, berkata beliau masih tertekan selepas melalui pengalaman pahit itu.
“Sekarang saya mempunyai makanan dan tempat tinggal hasil bantuan beberapa pertubuhan di sini. Mereka juga berjanji akan membantu memindahkan kami ke majikan baharu.
“Tetapi bagaimana pula dengan keluarga saya? Sudah hampir tiga bulan saya tidak dapat menghantar wang kepada mereka. Anak-anak saya masih kecil.
“Saya tidak dapat menghantar wang untuk mereka membeli makanan. Apabila anak saya bertanya bila saya akan dapat gaji, saya tidak tahu bagaimana hendak menjawab.
“Saya berasa sedih, tetapi sekurang-kurangnya saya masih mempunyai tempat tinggal dan makanan di sini,” katanya.
Encik Kawsar, yang bekerja sebagai pemandu dan juga penyelia tapak, berkata beliau masih belum menerima kira-kira $10,000, iaitu gaji bagi tempoh tiga bulan.
