Ramai pengguna media sosial mungkin memilih untuk memuat naikkan kandungan yang dirancang dan sudah disunting ke wadah tersebut.
Namun, bagi pencipta kandungan dari Malaysia, Encik Muhammad Danish Firdaus Ahmad Firdaus, 26 tahun, beliau memilih untuk merakam kandungan tanpa skrip, tanpa disunting, atau lebih dikenali sebagai pengalaman ‘raw’, tidak ditapis.
Pendekatan Encik Danish dalam mencipta kandungan ‘live’ di Singapura baru-baru ini menemukannya dengan pengikutnya di Singapura yang menyentuh hati Encik Danish dengan sikap murah hatinya.
Lelaki itu menghantar mesej terus (DM) kepada Encik Danish di media sosial, menyatakan hasrat mahu berjumpa setelah Encik Danish habis sesi ‘live’ pada dinihari, sekitar 3 pagi pada 11 Oktober lalu di Kompleks Fu Lu Shou, di Rochor Road.
Tanpa disangkanya, lelaki tersebut memberinya $250.
Berkongsi dengan Berita Harian, Encik Danish berkata beliau berada di Singapura untuk membuat kandungan video mencari penjaja atau perniagaan kecil yang mungkin meraih manfaat daripada usahanya menguar-uarkan kisah mereka di media sosial.
“Malam itu (10 Oktober) saya ke Singapura. Kita buat cara ‘koboi’, beli tiket bas sehala aja. Lepas sampai, saya buat ‘live’, malam-malam dekat Bugis, depan McDonalds di Queen Street, selambalah dengan pakai singlet, seluar bermuda.
“Saya pun ceritakan kepada netizen yang saya jumpa tempat penginapan berharga RM300 ($92) di Bugis, dan saya nak tinggal hingga Isnin, belanja penginapan akan mencecah RM1,200.
“Lepas itu ada abang ni komen cakap, “Dik baca your DM”. Tapi saya masih buat ‘live’. Selepas ‘live’ itu, abang itu mesej lagi. Dia cakap lagi 10 minit sampai di Bugis. Dia nak bagi saya $200, atau kira-kira RM700. Saya tak kenal abang ni tapi duit itu bolehlah saya guna untuk belanja di sini,” cerita anak ketiga dalam enam beradik itu, yang juga telah ditemani oleh rakannya dalam perjalanannya ke Singapura.
Encik Danish minta rakannya rakam ketika berjumpa abang itu, konsisten dengan caranya yang memuat naikkan kandungan yang tidak ditapis.
Baginya juga, rakaman itu juga ibarat jalur keselamatan memandangkan beliau di negara asing, dan akan berjumpa dengan seorang yang tidak dikenali pada waktu dinihari.
“Abang itu sampai dengan motor, dia macam elak pandang kamera dan terus bagi saya $200. Saya pun nak tahu nama dia, nak kenal dulu tapi abang tu memang nak cepat. Saya tanya “Untuk apa bang (bagi duit ni)? Dia jawab “Ah ni buat belanja-belanja,” dan dia bagi saya extra $50,” singkap Encik Danish yang juga telah memuat naikkan pengalamannya itu ke media sosial pada 12 Oktober.
Dalam videonya itu, Encik Danish juga dilihat membuat sujud syukur di luar Kompleks Fu Lu Shou, setelah menerima wang tersebut sambil berkata, “Allah murahkan rezeki, terima kasih, syukur ya Allah, syukur.”
Video di TikTok dan Instagram itu telah menerima lebih 500,000 tontonan dan meraih lebih 23,000 ‘like’.
Seorang pengguna TikTok D E E, berkata: “10 tahun saya kerja di Singapura, orang Singapura memang jenis tak kedekut. Sebab itu rezeki mereka melimpah.”
Pengguna ‘qalbi_amor’ di Instagram juga komen: “Singapura ke Malaysia, kita serumpun. Mana-mana nampak susah, sama-sama kongsi rezeki. Biar Allah swt sahaja balas. Respect abang ni tak tunjuk muka.”
Berita Harian telah cuba untuk menghubungi ‘abang’ itu tetapi beliau tidak mahu ditemu bual dan mahu merahsiakan identitinya.
Menurut Encik Danish, setelah sesi ‘live’ dan video itu menjadi viral, lebih ramai orang Singapura tampil hulurkan bantuan. Ada yang beri coklat dan ada juga yang taja penginapannya di Crowne Plaza Changi Airport, terletak di Lapangan Terbang Changi.
Walaupun beliau terima sokongan positif, terdapat juga komen negatif yang berkata: “Kau miskin sangat ke? RM300 pun tak mampu. Ada yang tulis, itulah budak sekarang travel tak buat kajian dulu.”
“Setiap pencipta kandungan ada tujuan yang berlainan. Ada mungkin yang ke Singapura sudah rancang nak reviu makan Wingstop. Tapi saya suka yang berlainan jadi saya ke tempat yang berbeza,” ujar Encik Danish.
Encik Danish telah mula membuat kandungan di media sosial sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.
Meskipun berlatar pelajaran Sarjana Muda dalam teknologi maklumat dari Universiti Antarabangsa UNITAR di Petaling Jaya, Encik Danish membulatkan tekad untuk mengejar cita-cita awalnya, iaitu bidang filem, tetapi kini mengkhususkan diri dalam penciptaan kandungan.
Beliau mula membuat video pasaran percuma untuk gerai-gerai di jalanan, dengan niat membantu perniagaan mereka.
Antara kandungannya yang telah menjadi viral – meraih lebih sejuta tontonan – dan membantu peniaga adalah video mengenai gerai pak cik menjual sate semasa PKP di Kampung Bahru.
Kini Encik Danish ingin menyebar kandungannya dan pergi ke negara-negara jiran seperti Brunei dan Thailand.
Singapura merupakan negara pertama beliau mulakan misi rakaman video tanpa ditapis ini, agar orang di Malaysia juga boleh menyokong dan melawat tempat-tempat yang telah dikongsinya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg