Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesihatan mental setiap warga emas berbeza, perlu dikesan awal

Sebahagian nafi dapatkan sebarang rawatan kerana anggap sebagai asam garam penuaan
Oct 12, 2025 | 5:30 AM
kesihatan mental, warga senja, rawatan, pengesanan, penuaan
Isu kesihatan mental dalam kalangan warga emas sering tidak diatasi kerana mereka enggan mendapatkan bantuan. Keengganan ini biasanya disebabkan oleh stigma dan penafian tentang keadaan diri mereka yang sebenar. - Foto AFP
Pakar Geriatrik Dr Nur Farhan Alami.
Pakar Geriatrik Dr Nur Farhan Alami. - Foto fail
Perunding Kanan dan Ketua Psikiatri Geriatrik di Institut Kesihatan Mental (IMH), Dr Yao Fengyuan
Perunding Kanan dan Ketua Psikiatri Geriatrik di Institut Kesihatan Mental (IMH), Dr Yao Fengyuan - Foto ihsan Dr Yao Fengyuan
Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan Suhairi 
Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan Suhairi  - Foto fail
Pengarah pusat ACES Care Ltd, Encik Loh Wee Hiang
Pengarah pusat ACES Care Ltd, Encik Loh Wee Hiang - Foto ACES CARE

Masalah mental yang dialami warga senja perlu pengesanan awal dan ini memerlukan keupayaan pemberi jagaan selain kakitangan kesihatan untuk mengenal pasti tanda-tandanya, kata pakar.

Malah ada sebahagian mereka, termasuk pemberi jagaan dan warga emas itu sendiri yang mengaitkan masalah mental yang dihadapi mereka dengan penuaan.

Lantas sebahagian mereka menafikan untuk mendapatkan sebarang rawatan berkaitan masalah mental yang dihadapi.

Semasa dihubungi Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang jatuh pada 10 Oktober, Ketua Psikiatri Geriatrik Institut Kesihatan Mental (IMH), Dr Yao Fengyuan berkata antara halangan warga emas mendapatkan rawatan adalah disebabkan anggota keluarga menyalah anggap masalah mental sebagai sakit tua atau ‘perangai orang tua’.

Justeru penting bagi kakitangan penjagaan kesihatan berupaya mengesan, memberi penerangan dan penjelasan bagi mengelak stigma atau tabu warga emas terhadap penyakit berkaitan kesihatan mental, kata beliau.

“Kemurungan yang bermula pada usia senja boleh menunjukkan gejala yang berbeza berbanding golongan muda.

“Kadangkala ia hanya menunjukkan keluhan fizikal atau gejala kognitif seperti masalah ingatan yang mudah disalah anggap sebagai penyakit awal demensia, ataupun pengasingan diri.

“Ini semua memaparkan emosi kesedihan yang tidak jelas,” kata Dr Yao dalam jawapannya kepada Berita Minggu (BM).

Lantas tumpuan perlu diberikan kepada pendidikan, kesedaran dan peningkatan kemahiran individu dalam bidang penjagaan kesihatan, terutamanya yang berhubung dengan kesihatan mental.

Ini termasuk juga doktor keluarga (GP), jururawat, keluarga selain pemberi jagaan, rakan-rakan serta jiran tetangga.

Pakar geriatrik dan pemilik Alami Clinic by Dr Farhan, Dr Nur Farhan Alami menyatakan sistem penjagaan kesihatan perlu menyediakan pengurusan kes yang lebih intensif bagi warga emas yang terasing.

Antara lain, ini boleh dilakukan dengan mempertingkat latihan kakitangan penjagaan kesihatan, kata beliau.

“Meningkatkan kemahiran (pekerja penjagaan kesihatan) ke tahap tertinggi amat membantu.

“Ini dapat membantu GP untuk mendiagnos dan mengurus kes-kes pesakit sedemikian dengan lebih baik.

“Contohnya jururawat boleh dilatih sebagai pengurus kes pesakit yang berdedikasi, seperti contoh menerusi latihan APN (jururawat latihan lanjutan).

“Ini dapat terus mempertingkatkan keupayaan jururawat untuk mempunyai kepakaran dan autonomi yang lebih tinggi,” kata Dr Nur Farhan.

Menurut Dr Nur Farhan, gejala seperti masalah lupa atau keengganan mandi seringkali disalah anggap sebagai penuaan normal, padahal ia adalah isyarat amaran kepada masalah yang lebih serius, seperti kemurungan.

“Perkara seperti ‘penuaan’ bukanlah penyakit.

“Contohnya, jika anda rasa sakit, ia bukan hanya kerana anda tua.

“Jika anda pelupa, ia juga bukan disebabkan penuaan,” ujar Dr Nur Farhan mendorong orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan doktor bagi mengenal pasti punca sebenar sesuatu gejala kesihatan.

Presiden Kelab Heal, Dr Khairul Hazwan Suhairi menyatakan bahawa melatih kakitangan barisan hadapan amat penting bagi mengurangkan stigma lantas membantu dalam merawat pesakit.

“Daripada menyatakan bahawa mereka berasa sedih atau bimbang, ramai warga emas meluahkan kesusahan mereka melalui gejala fizikal seperti kelesuan, kesukaran tidur, perubahan selera makan, atau masalah ingatan,” katanya.

Dr Khairul juga menambah alasan yang sering digunakan warga emas untuk mengelak perbualan mengenai kesihatan mental termasuk rasa resah, sering penat, sukar tidur, banyak fikiran, rasa kesepian dan merasakan diri tidak berguna.

Oleh itu, mengesan pengasingan diri, keluhan fizikal seperti sakit badan dan sukar tidur dalam kalangan warga senja adalah penting untuk memastikan masalah yang dihadapi mereka tidak diabaikan.

Sementara itu, Dr Nur Farhan mendapati salah satu psikosis baru yang dikaitkan dengan kesihatan mental yang diperhatikannya ialah bermulanya keganasan dalam rumah tangga.

Beliau berkongsi satu kes di mana kemurungan dan kebimbangan seorang isteri menyebabkan wanita itu mengganggu suami secara berlebihan dan berakhir dengan keganasan.

Masalah ini disalah anggap oleh keluarga sebagai pergaduhan biasa, sedangkan ia adalah isu psikiatrik, bukan masalah rumah tangga semata-mata.

Setelah isteri mendapatkan rawatan, tingkah laku ganas tersebut dapat dihentikan, kata Dr Nur Farhan.

Bagi warga emas yang terasing dan enggan keluar rumah akibat stigma atau keupayaan fizikal, sokongan mesti diberikan kepada mereka.

Pengarah Pusat ACES Care, Encik Loh Wee Hiang, berkata pengasingan daripada masyarakat adalah antara punca utama yang menjejas kesihatan mental warga emas.

Menurut beliau, satu talian hotline yang menghulurkan bantuan kepada warga emas, ACES HelpLife, telah mencatatkan lebih 8,000 panggilan masuk sejak Jun 2022.

Namun, statistik yang lebih signifikan adalah sukarelawan ACES HelpLife yang telah membuat 17,431 panggilan keluar, lebih dua kali ganda panggilan yang diterima.

Ini membuktikan bahawa bantuan perlu disalurkan kepada mereka yang memerlukan, secara langsung melemahkan halangan stigma dan fizikal.

Tiga sebab utama panggilan yang diterima adalah berkenaan pembaikan rumah, kesejahteraan kesihatan mental dan perkhidmatan pemerintah, kata Encik Loh.

“Ramai warga emas hidup bersendirian atau mengasingkan diri dan ini sering membawa kepada tekanan emosi, kesepian dan tanda-tanda awal kemurungan.

“Selalunya, mereka hanya memerlukan seseorang untuk bercakap dan mendengar rintihan mereka,” kata Encik Loh.

“Pasukan kami mengambil setiap kes dengan serius dan memastikan bahawa sokongan susulan disediakan sehingga warga emas menerima bantuan yang mereka perlukan,” tambahnya.

Pada masa yang sama, latihan berterusan juga penting bagi mereka yang bertindak selaku pendamping kepada warga senja yang tinggal sendirian.

Ini dapat membantu dalam pengesanan awal masalah mental dalam kalangan warga senja.

Pengurus penjagaan klinik dan rehabilitasi Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Muhammadiyah (MHCC), Encik Siddiq Rahim bersetuju bahawa sukarelawan dan program pendamping (befriender), memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan di peringkat akar umbi.

Menurutnya, sekitar lima peratus warga emas (29 daripada 650 warga emas) yang disaring Pusat Penuaan Aktif (AAC) Muhammadiyah dan 19 daripada 90 golongan tersebut yang didaftarkan di MHCC, dikesan mempunyai tanda-tanda isu kesihatan mental.

“Melalui penglibatan pendamping yang kerap, perbualan ringkas dan timbulnya kepercayaan, kami sering dapat mengesan tanda-tanda awal dan menghubungkan warga emas dengan perkhidmatan yang sesuai,” kata Encik Siddiq.

Semasa dihubungi, pertubuhan seperti Lions Befrienders (LB) berkata ia mengendalikan secara purata satu hingga dua kes baru warga emas dengan isu kesihatan mental sebulan.

Jurucakap LB menyatakan mereka perlu menjalankan lawatan rumah ke rumah secara kerap kerana terdapat golongan warga emas yang tidak dapat menghadiri kegiatan di AAC mereka.

Antara mereka yang memainkan peranan tersebut ialah eksekutif kanan rakan pendamping, LB, Encik Kee Chun Wah yang menganggap latihan yang dilaluinya telah membantu menyiapkan diri untuk berdepan dengan kes yang kompleks.

“Tugas saya termasuk menziarah dan memastikan kebajikan warga senja yang tinggal sendirian.

“Latihan yang saya lalui membantu dalam mengesan tanda-tanda masalah mental dalam warga senja dan bagaimana untuk mendekati serta membina kepercayaan,” kata Encik Kee yang merupakan jurutera selama lebih 30 tahun sebelum berkecimpung dalam bidang sektor perkhidmatan ini.

Beliau yang telah menjadi rakan pendamping LB sejak 2022, antara lain ditugaskan untuk mendamping dan menjaga 40 warga senja.

Antara yang dijaganya ialah Encik Yusuf (bukan nama sebenar), 66 tahun, yang tinggal sendirian di rumah satu bilik di kawasan barat Singapura.

Menurut Encik Kee, Encik Yusuf dirujuk kepadanya selepas warga senja itu sering mengasingkan diri dan menunjukkan tanda kemurungan yang berlarutan.

Antaranya, Encik Yusuf mempunyai tanda masalah penafian tentang kesihatan mental sejak kali pertama beliau mendampingi lelaki tua itu.

“Saya dah makan ubat. Tak ada apa yang salah dengan saya.

“Hanya kadang-kadang rasa sepi dan keseorangan sahaja” kata Encik Yusuf yang turut mengalami kebas di tangan dan kaki akibat kecederaan pada tengkuknya.

Namun, Encik Kee mengesan wujudnya jurang antara kata-kata dengan tingkah laku Encik Yusuf.

Walaupun warga senja itu mendakwa mematuhi jadual ubat, beliau jelas kelihatan menafikan keadaan sebenar kesihatan mentalnya.

Justeru Encik Kee kini perlu meneruskan pemerhatian rapi dan mengukuhkan jaringan sokongan untuk Encik Yusuf.

“Proses membantu warga senja seperti Encik Yusuf memerlukan kesabaran tinggi dan pendampingan bertahun lamanya.

“Walaupun beliau sering menafikan masalah mentalnya, tugas kami ialah memastikan beliau tidak kembali terperuk di dalam rumah dan terus membina keyakinan,” kata Encik Kee yang bertemu dengan Encik Yusuf sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

Salah anggap dengan gejala demensia

“Kemurungan yang bermula pada usia senja boleh menunjukkan gejala yang berbeza berbanding golongan muda. Kadangkala ia hanya menunjukkan keluhan fizikal atau gejala kognitif seperti masalah ingatan yang mudah disalah anggap sebagai penyakit awal demensia, ataupun pengasingan diri. Ini semua memaparkan emosi kesedihan yang tidak jelas.”
Dr Yao Fengyuan, Ketua Psikiatri Geriatrik Institut Kesihatan Mental (IMH).
Tingkat upaya pekerja kesihatan urus pesakit

“Ini dapat membantu GP untuk mendiagnos dan mengurus kes-kes pesakit sedemikian dengan lebih baik. Contohnya jururawat boleh dilatih sebagai pengurus kes pesakit yang berdedikasi, seperti contoh menerusi latihan APN (jururawat latihan lanjutan). Ini dapat terus mempertingkatkan keupayaan jururawat untuk mempunyai kepakaran dan autonomi yang lebih tinggi.”
Dr Nur Farhan Alami, pakar geriatrik dan pemilik Alami Clinic by Dr Farhan.
Tanda masalah mental

“Daripada menyatakan bahawa mereka berasa sedih atau bimbang, ramai warga emas meluahkan kesusahan mereka melalui gejala fizikal seperti kelesuan, kesukaran tidur, perubahan selera makan, atau masalah ingatan.”
Dr Khairul Hazwan Suhairi, Presiden Kelab Heal.
Peranan pendamping

“Melalui penglibatan pendamping yang kerap, perbualan ringkas dan timbulnya kepercayaan, kami sering dapat mengesan tanda-tanda awal dan menghubungkan warga emas dengan perkhidmatan yang sesuai.” 
Encik Siddiq Rahim, Pengurus penjagaan klinik dan rehabilitasi Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Muhammadiyah (MHCC).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg