Topic followed successfully
Go to BHku‘Takkan belum perang dah serah kalah?’: Cef Bob tekad terus bertahan
‘Takkan belum perang dah serah kalah?’: Cef Bob tekad terus bertahan
‘Takkan belum perang dah serah kalah?’: Cef Bob tekad terus bertahan
Cef selebriti tempatan, dan usahawan makan dan minuman (F&B), Encik Shahrizal Salleh, yang lebih mesra dikenali sebagai Cef Bob, mendedahkan perniagaan terbarunya berdepan cabaran besar selepas kos pelaburan melonjak hingga 50 peratus.
Meskipun mengakui perniagaannya kini sedang mengalami kerugian, beliau tekad mengekalkan harga jualan lama buat masa ini demi prinsip perniagaan.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 8 April, Cef Bob menulis tentang kenaikan harga santan daripada $4.70 kepada $6.30 – iaitu lonjakan 34 peratus – menjadi faktor utama yang menjejaskan margin keuntungan jualan nasi lemaknya.
“Dengan kadar ini, perniagaan saya akan mengalami kerugian jika saya tidak menaikkan harga jualan kami.
“Oleh itu, saya seorang yang praktikal dan cuba sedaya upaya untuk mengikut sunah dalam perniagaan, kami akan terus menjual pada harga sebelum kenaikan kos makanan,” tulis beliau.
Kenaikan kos bukan sahaja melibatkan satu bahan.
Selain harga santan, Cef Bob juga telah menerima mesej daripada pembekal ikan bilisnya pada 15 April.
“Saya baru dimaklumkan pembekal ikan bilis juga akan menaikkan harga sebanyak $1.50 sekilo. Ini satu lagi tamparan bagi kos nasi lemak kami,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Isu kos ini menjadi lebih parah apabila melibatkan peralatan dapur yang kebanyakannya diimport dari Malaysia.
Beliau menyifatkan situasi ini sebagai double blow, atau tamparan berganda ekoran kenaikan harga diesel di negara jiran yang menjejaskan kos logistik.
“Bila saya pergi beli perkakas dapur, pembekal bagi amaran: ‘Beli sekarang, kalau tidak minggu depan harga naik 20 hingga 30 peratus’,” ujar pemilik kafe 9Yards itu.
“Kadar risiko yang kami kira pada awalnya sekarang meningkat sebanyak 40 hingga 50 peratus. Kita belum dapat untung, tapi dah rugi,” tambah Cef Bob lagi.
Menjawab kritikan netizen di media sosial yang meninggalkan komen menyuruhnya menutup perniagaan jika sedang rugi, Cef Bob menjelaskan beliau mempunyai rancangan garis masa pulangan pelaburan (ROI) selama hingga dua tahun.
“Kalau saya sudah berniaga enam atau tujuh tahun dan masih rugi, saya setuju tutup. Tapi ini baru mula. Takkan belum pergi perang, kita dah serah kalah?” jawabnya.
Perniagaan terbarunya, sebuah kedai kopi, Rahsia Bidadari, di Alkaff Crescent, dibuka pada 1 April lalu, selepas perancangan yang bermula hanya pada Disember 2025.
Disebabkan sukar mencari penyewa, Cef Bob dan rakan kongsinya, Kai Emilio, yang juga merupakan seorang usahawan dan pempengaruh, memutuskan untuk mengendalikan lima daripada lapan gerai secara kendiri.
Walaupun sedang rancak mengembangkan sayap, Cef Bob mendedahkan beliau tidak bercadang untuk berada di bawah tumpuan utama selamanya.
“Saya beri diri saya lagi lima tahun untuk berhenti atau lay low. Saya dah penat dalam limelight. Semakin tua, saya lebih menghargai privasi saya,” ujar bapa kepada seorang putera itu.
Buat masa ini, beliau memilih untuk bersabar dan meneruskan operasi tanpa menaikkan harga makanan.
“Buka perniagaan semasa keadaan tidak menentu begini memang bukan dalam rancangan saya. It is what it is. Kita buat yang terbaik,” tambah beliau lagi.

