Perjalanan rutin bas ekspres dari Singapura ke Kuala Lumpur bertukar kecoh selepas percikan api kelihatan keluar dari corong udara siling bas Starmart Express, menyebabkan penumpang panik kerana bimbang berlakunya kebakaran.
Satu video selama 30 saat mengenai kejadian itu, yang dirakam pada 5 Disember, menunjukkan corong udara pada siling bas itu bercahaya ketika percikan api jatuh berhampiran penumpang yang sedang duduk.
Beberapa penumpang dilihat berdiri dalam keadaan cemas, manakala yang lain tetap duduk sambil menggunakan lampu suluh telefon bimbit untuk menerangi suasana bas yang malap.
Dalam klip tersebut, seorang penumpang kedengaran menjerit berulang kali kepada pemandu dengan kata-kata kesat: “Woi, berhentikan bas! Berhentikan bas ni! Buka pagar, buka pagar ni!”
Netizen yang meninggalkan komen tertanya apa maksud ‘pagar’ di sini – ada juga yang membuat kesimpulan ia merujuk kepada ‘pintu’ bas.
Seorang lagi berseloroh: “Secara kebetulan, ada pilihan untuk mengembara menggunakan kereta api ekspres yang baru sahaja bermula.”
Penumpang lain kemudian turut serta menjerit “api, api” dan menggesa pemandu supaya memberhentikan kenderaan tersebut.
Walau bagaimanapun, bas itu tidak berhenti serta-merta. Pada satu ketika, satu suara kedengaran berkata “Ini lebuh raya”, membayangkan bahawa mungkin tidak selamat untuk memberhentikan bas dan membenarkan penumpang turun di laluan tersebut.
Dimuat naik pada 18 Disember oleh @thesgdaily, klip tersebut telah meraih lebih 324,200 tontonan, 6,200 reaksi, dan 345 komen.
Klip video itu kemudiannya menunjukkan sekeping foto bas yang tertera nama KS Global Holidays, sebuah agensi pelancongan yang berdaftar di Malaysia. Nombor plat kenderaan itu juga menunjukkan bahawa ia didaftarkan di Malaysia.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada itu adalah bas yang sama terlibat dalam kejadian tersebut.
Video itu juga menunjukkan invois perkhidmatan perjalanan dari Singapura ke Berjaya Times Square di Kuala Lumpur, dikendalikan oleh Starmart Express AirAsia Liner, yang berlepas dari Singapura pada 11.32 malam, 5 Disember.
Setakat ini, masih tidak jelas sama ada invois ini berkaitan dengan bas yang terlibat dalam insiden itu.
Namun, ada juga yang memandang serius perkara itu, menyatakan bahawa perasaan takut sedemikian “amat difahami” memandangkan betapa cepatnya api boleh merebak di dalam ruang tertutup.
Beberapa pihak mengarahkan kritikan kepada pemandu, mempersoalkan mengapa bas itu tidak berhenti lebih awal.
“Maaf, bas dalam mod pandu automatik. Pemandu mungkin tidak bertindak balas,” seloroh seorang pengguna.
Seorang lagi bertanya terus terang: “Kenapa ambil masa lama sangat nak berhenti?”
Ada juga yang menyuarakan kebimbangan mengenai langkah keselamatan di dalam bas, dengan bertanya: “Kenapa tiada alat pemadam api? Pintu kecemasan? Pecahkan kaca?”
“Harap semua orang selamat,” tulis seorang netizen.
Terdapat juga spekulasi mengenai punca percikan api tersebut, dengan ada yang mendakwa ia berpunca daripada ‘power bank’ – alat bateri mengecas telefon bimbit – yang rosak, manakala yang lain percaya ia mungkin disebabkan oleh komponen yang terlampau panas, memandangkan percikan itu muncul dari arah siling.
Pihak Berita Harian telah menghubungi KS Global Holidays dan Starmart Express namun panggilan telefon tidak dijawab.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg