Topic followed successfully
Go to BHkuPolis siasat kes remaja dipercayai dipukul di Upper Boon Keng
Polis siasat kes remaja dipercayai dipukul di Upper Boon Keng
Polis siasat kes remaja dipercayai dipukul di Upper Boon Keng
Polis sedang menyiasat kes seorang remaja yang dipercayai dipukul oleh dua remaja lebih tua dalam satu kejadian di kolong blok di Upper Boon Keng pada Februari.
Ibu mangsa berkata akibat kejadian tersebut, anaknya yang berusia 14 tahun itu mengalami kecederaan pada bibir, kepala, rusuk dan paha kiri.
Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan kepada Berita Harian (BH) pada 6 Mei bahawa satu laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
Dalam hantaran Facebook yang tular, Cik Siti Zulaiha Karamda berkata anaknya ketika kejadian, diserang dua lelaki berusia 18 tahun yang didakwa berada dalam keadaan mabuk.
Menurut Cik Siti, 39 tahun, kejadian itu berlaku sekitar 11 malam pada 5 Februari ketika anaknya bersama tiga rakannya berada di kolong blok tersebut.
Hantaran yang dimuat naik pada 5 Mei itu kini menerima lebih 100 tanda reaksi, lebih 60 komen dan telah dikongsi netizen lebih 480 kali.
Ketika dihubungi BH, Cik Siti berkata beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas anaknya sendiri memaklumkannya beberapa hari kemudian.
Mengisahkan kejadian berdasarkan maklumat daripada anaknya, Cik Siti berkata:
“Dua lelaki tersebut mempunyai tatu dan berada dalam keadaan mabuk. Mereka menyerang anak saya dan seorang rakannya.
“Anak saya ditendang berulang kali pada kepala, rusuk dan paha, dan juga ditumbuk di dagunya.”
Hantaran Facebook Cik Siti turut disertakan beberapa gambar yang menunjukkan kesan darah anaknya di lantai di kawasan kejadian.
Beliau turut dimaklumkan daripada rakan anaknya bahawa pelaku adalah rakan kepada sepupu salah seorang gadis yang berada di lokasi kejadian.
Menurut Cik Siti, anaknya bermalam di rumah rakannya selepas diserang kerana tidak mahu beliau bimbang tentang kecederaannya.
Tambahnya, anaknya hanya memaklumkan kejadian itu pada 7 Februari, iaitu dua hari kemudian, apabila kesakitan menjadi semakin teruk dan beliau hampir tidak mampu bergerak.
Selepas dimaklumkan, Cik Siti membawa anaknya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pada hari sama untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata anaknya mengalami kecederaan pada bibir, kepala, rusuk dan paha kiri, dan terpaksa dimasukkan hospital selama kira-kira sebulan.
“Anak saya tidak trauma, tetapi sebagai seorang ibu, saya yang mengalami trauma.
“Bayangkan jika ini berlaku kepada anak orang lain. Kita sebagai ibu bapa memberikan kebebasan kepada anak, tetapi mereka pula menjadi mangsa serangan,” kongsinya.
Selepas menerangkan kejadian yang dialami anaknya kepada pihak KKH, Cik Siti berkata mereka menghubungi polis bagi tujuan laporan dan siasatan.
Cik Siti berkata pada 6 Mei beliau masih menunggu perkembangan terkini mengenai kes tersebut.
“Dua pelaku itu masih bebas tanpa sebarang tindakan diambil terhadap mereka.
“Saya akui anak saya mungkin tidak sentiasa berkelakuan terbaik, tetapi keganasan fizikal, lebih-lebih lagi terhadap seorang bawah umur, adalah tidak boleh diterima.
“Bagaimana jika kecederaan yang dialami lebih parah atau membawa maut? Adakah ketika itu barulah kes ini akan dipandang serius?” luahnya.
