Mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, telah menyatakan sokongannya kepada penghibur, Sheikh Haikel, yang baru-baru ini berkongsi secara terbuka mengenai perjuangannya melawan barah usus tahap empat.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 9 September, Puan Halimah berkongsi tentang kunjungan ke restoran Hai Ge Ji Hainanese Chicken Rice di Bussorah Street, dikendalikan Haikel bersama isterinya, Cik Anna Belle Seri Ayu Francis.

“Ia juga merupakan satu kunjungan yang istimewa memandangkan restoran tersebut baru sahaja dibuka semula, dan Haikel pula baru-baru ini tampil secara terbuka berkongsi tentang perjuangannya melawan kanser kolon tahap empat,” katanya di hantaran tersebut.

Meskipun sedang menjalani perjuangan melawan penyakit, Sheikh Haikel, 51 tahun, tetap berada di restoran berkenaan untuk menyambut dan melayani para pengunjung.

Bagi Puan Halimah, situasi tersebut merupakan satu detik yang menyentuh hati, selain memperlihatkan ketabahan, kecekalan dan kegigihan Sheikh Haikel serta isterinya dalam menghadapi dugaan tersebut bersama.

Beliau turut memuji usaha pasangan itu untuk memastikan perniagaan mereka terus bertahan dan berkembang dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang sememangnya kompetitif.

“Semoga Allah memberikan mereka kekuatan dan keberanian untuk melalui tempoh yang amat sukar ini,” tambah Puan Halimah.

Kunjungan beliau itu diadakan beberapa hari selepas Haikel mendedahkan diagnosisnya dengan Berita Harian serta di media sosial pada 4 September, yang kemudiannya mendapat sokongan daripada rakan-rakan industri serta orang ramai.

Antaranya termasuk pelakon kelahiran Singapura, Aaron Aziz yang turut menyatakan sokongannya.

Sheikh Haikel menghidap penyakit barah sejak 2025 dan menjalani kemoterapi selepas menunaikan umrah pada September 2025.

Buat masa ini, tumor yang dihidapinya bersifat agresif dan kini menjalani rawatan bagi melawan penyakit tersebut.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti